Firman Allah: (لقد كان لكم في رسول الله أسوة حسنة) (maksudnya: Sesungguhnya bagi kamu pada Rasulullah itu contoh yang baik).
DENGAN NAMA ALLAH YANG MAHA PEMURAH LAGI MAHA PENGASIHANI


Hidup ini tidak lari daripada perasaan yang bercampur-baur. Kadang-kadang tanpa sedar, kita mudah terjebak dalam fikiran negatif dan cemburu apabila melihat orang lain lebih berjaya, bahagia, atau memiliki sesuatu yang diidamkan. Fikiran seperti ini ibarat racun yang perlahan-lahan melemahkan hati dan membuat kita lupa pada nikmat yang sedang dimiliki. Lebih berbahaya, ia boleh menutup pintu syukur sehingga kita memandang hidup ini hanya dari sisi kekurangan.

Namun, hakikatnya setiap insan punya ujian, bahagia, dan rezeki yang berbeza-beza. Membiarkan diri terus hanyut dalam rasa cemburu hanya akan mencuri ketenangan jiwa dan menjauhkan kita daripada kebahagiaan sebenar. Sebaliknya, apabila kita belajar menghargai diri, melatih hati untuk bersyukur, dan mengawal emosi dengan baik, fikiran negatif dan rasa cemburu akan perlahan-lahan berkurangan. Dari situlah akan lahir perasaan sangka baik pada Allah, sabar, redha dan yakin bahawa Allah sentiasa memberi yang terbaik pada waktu yang paling tepat. Ingat! Cemburu tidak memindahkan apa yang dimiliki orang lain pada kita. Adalah lebih baik, kita ubah hala tuju pandang kita ke arah lain yang menggembirakan diri.

Untuk anda jauhkan diri dari fikiran negatif dan cemburu ini, anda kena kenal pasti apakah penyebab yang membuatkan kita kuat memiliki rasa negatif tersebut. Bila kita sudah tahu, lebih mudah untuk kita ‘divert’ diri ke arah positif, sangka baik, sabar dan zikir (untuk yang beragama Islam).

21 penyebab manusia terjebak dalam fikiran negatif dan cemburu
  1. Perbandingan diri dengan orang lain – terlalu kerap membandingkan kehidupan, pencapaian atau rezeki orang lain dengan diri sendiri. Bila orang lain terima ‘lebih sikit dari kita’, mula kita rasa sakit hati, dengki, cemburu dan berasa orang tersebut tidak layak untuk terima.
  2. Kurang rasa syukur – hati tidak terdidik untuk menghargai nikmat kecil yang ada, lalu hanya fokus pada kekurangan. Kita berpendapat yang pencapaian atau kejayaan haruslah lebih besar baru dikatakan sebagai berjaya.
  3. Trauma atau pengalaman lama – kenangan pahit atau kekecewaan dahulu boleh menjadikan seseorang cepat berprasangka dan cemburu. Perasaan untuk ‘move-on’ susah nak dibuang. Lama kelamaan, perlahan-lahan ia akan jadi tabiat jika tidak dilawan dengan fikiran positif sangka baik.
  4. Rasa rendah diri – keyakinan diri yang lemah membuatkan kita mudah merasa orang lain lebih baik. Kita seolah tidak berbangga dengan apa yang telah kita capai sebelum ini dan beranggapan pencapaian kita tidak sehebat mereka.
  5. Kurang kawalan emosi – tidak belajar mengurus emosi dengan cara sihat, menyebabkan cepat hanyut dalam fikiran negatif. Kita membiarkan diri terus-terusan marah, cemburu dan sakit hati tanpa cuba menyekat emosi negatif yang mula merebak dalam jiwa.
  6. Pengaruh persekitaran toksik – berada bersama individu yang suka mengeluh, mengumpat, atau bersaing tidak sihat. Ia mengajar kita untuk menormalisasikan apa yang dilakukan adalah benar. Orang-orang seperti ini seharusnya cuba dijauhi atau jika anda mampu, cuba untuk baiki mereka.
  7. Pengaruh media sosial – terlalu banyak melihat “kehidupan indah” orang lain yang ditayang, lalu merasa diri ketinggalan. Bila melihat ‘keindahan’ milik mereka, secara tidak langsung ia menerbitkan benih-benih cemburu dan jika tidak dikawal, akan membuatkan kita sanggup melakukan apa sahaja untuk jadi seperti mereka meskipun perkara dilarang.
  8. Takut kehilangan – rasa takut hilang perhatian, kasih sayang, atau peluang boleh menimbulkan cemburu yang berlebihan. Ini terjadi terutamanya dalam keluarga. Bila seseorang anak berkahwin atau pasangan berkahwin lain, hati mula risau takut kasih mereka beralih arah dan mula mengabaikan kita. Perasaan risau inilah yang jika tidak dikawal akan membuatkan orang keliling menjauh.
  9. Kekurangan spiritual – hati jauh daripada zikir, doa, dan ilmu agama yang dapat menenangkan jiwa. Mulut tidak melazimi untuk berzikir atau bercakap benda-benda yang baik. Mulut lebih ringan untuk bercakap negatif, perli atau maki bagi memenangkan hati yang sakit.
  10. Harapan tidak realistik – mengharap kehidupan sempurna seperti orang lain yang dilihat di media sosial atau orang keliling menyebabkan diri mudah berasa kecewa dan tertekan bila realiti berbeza dan tidak seperti diharapkan.
  11. Kekangan ekonomi atau masalah hidup – tekanan kewangan, kerja, atau keluarga membuat hati lebih mudah terikut fikiran negatif. Kita mula berasa segala benda tidak cukup, kerja yang ada tidak bagus dan keluarga yang tidak memahami. Perkara-perkara negatif ini mampu membuatkan diri kita memberontak dan menyalahkan takdir.
  12. Kurang kasih sayang pada diri sendiri – bila tidak mencintai dan menghargai diri, seseorang akan melihat dunia dari kaca mata kekurangan. Diri yang sepatutnya disemai dengan kata-kata semangat, positif dan tidak mudah menyerah kalah, dikalahkan sendiri dengan diri yang tak percaya pada kebolehan dimiliki sendiri.
  13. Kepuasan diri yang tertangguh – terlalu menunggu “bila ada sesuatu barulah bahagia” membuatkan kita rasa hidup kosong. Kita membiarkan diri pada zon selesa tanpa mahu berusaha untuk memperbaiki diri, menambah ilmu dan membahagiakan orang lain. Minda kita telah memprogram bahawa, ‘bila memiliki, barulah bahagia itu datang’.
  14. Kurang tidur & keletihan – badan letih dan otak penat lebih cenderung memikirkan perkara buruk daripada yang baik. Waktu ini, fikiran tidak dapat berfikir dengan sedikit waras dan tenang. Kita lebih mengikut kata-kata emosi yang negatif asalnya ia menenangkan diri.
  15. Tidak menetapkan matlamat hidup – bila hidup tanpa arah yang jelas, kita mudah membandingkan perjalanan kita dengan orang lain. Kita rasa tertekan bila orang lain kelihatannya lebih berjaya dan sukses berbanding kita yang pencapaiannya mungkin biasa-biasa. Mentaliti ini secara tidak langsung menggugah perasaan untuk memperbaiki diri. 
  16. Kerap menyalahkan diri – terlalu keras mengkritik diri sendiri hingga gagal melihat sisi positif diri bila melihat kelebihan orang lain yang berjaya di media sosial mahupun dalam arena mereka. Kita mula memperlekehkan diri sendiri dan membina fikiran negatif dalam diri. 
  17. Rasa tidak dihargai – bila usaha tidak mendapat pengiktirafan yang diharapkan, hati jadi mudah cemburu dengan kejayaan orang lain. Dendam mungkin akan timbul bila melihat orang ‘tersebut’ perlahan-lahan mendaki puncak kejayaan yang kita impikan.
  18. Pengalaman ditolak atau dikhianati – luka lama yang tidak sembuh menjadikan kita curiga berlebihan. Kita berpendapat bahawa semua orang adalah sama yang cuba mengambil kesempatan di atas kebaikan kita. jadi, kita lebih cenderung untuk kekal negatif bagi menjaga diri agar perkara sama tidak berulang.
  19. Tidak mengawal input minda – terlalu banyak membaca atau menonton berita negatif, gosip, atau drama yang penuh perasaan iri hati, sakit hati, sedih, marah atau cemburu. Berita-berita ini jika tidak ditapis, ia mampu membuatkan minda bawah sedar kita dilatih untuk percaya bahawa perkara negatif itu adalah normal dan perkara tidak baik yang sedang berlaku sekarang adalah biasa.
  20. Takut gagal – rasa takut ini membuat kita lebih fokus pada kelemahan berbanding peluang. Kita sukar mengawal otak dan minda untuk berani menghadapi cabaran bila sesuatu rintangan atau ujian itu datang. Pada kita, gagal itu tidak perlu ada.
  21. Mahukan kesempurnaan – Kita setkan dalam fikiran bahawa sempurna itu harus. Jika tidak sempurna, kena buat berkali-kali. Dan bila kita tidak berjaya dan melihat orang lain berjaya, fikiran negatif dan cemburu akan mula terbit dalam diri. Bukan itu sahaja, kita akan mula menyalahkan sesiapa sahaja atas ketidaksempurnaan yang berlaku.
Kesemua 21 sebab ini sebenarnya memberi gambaran bahawa fikiran negatif dan cemburu bukanlah sesuatu yang muncul tanpa punca. Ia lahir daripada hati yang tidak tenang, minda yang terlalu banyak dipengaruhi persekitaran, banyak berfikir bukan-bukan, sukar menerima ketentuan takdir serta sikap diri yang kurang menghargai apa yang sudah ada. Dengan memahami akar masalah ini, kita akan lebih mudah mengenali detik bila fikiran mula condong ke arah negatif, lalu mengambil langkah bijak untuk mengekangnya sebelum ia semakin menjerat jiwa. Bila kita biarkan terlalu lama rasa negatif dan cemburu ini dalam jiwa dan fikiran, ditakuti ia menjadi tabiat yang tidak baik bukan sahaja kepada diri tetapi orang keliling yang kita sayang, Hargai apa yang dilakukan oleh keluarga, teman rapat mahupun rakan sekerja. Mungkin apa yang mereka lakukan tidak sampai ‘expectation’ kita tapi belajarlah bersabar, menerima dan berterima kasih.

Daripada Anas bin Malik r.a, bahawa Nabi s.a.w bersabda:

لاَ يُؤْمِنُ أَحَدُكُمْ، حَتَّى يُحِبَّ لِأَخِيهِ مَا يُحِبُّ لِنَفْسِهِ

Maksudnya: “Tidak beriman (sempurna iman) seseorang itu sehingga dia kasih kepada saudaranya sebagaimana dia kasih kepada dirinya sendiri.”
[Riwayat al-Bukhari]

Akhirnya, mengawal fikiran negatif dan cemburu bukanlah soal menafikan emosi, tetapi soal bagaimana kita memilih untuk bertindak balas terhadapnya. Jika hati dibasahi dengan syukur, sangka baik, doa, zikir, ilmu agama dan usaha memperbaiki diri, maka emosi yang merosakkan ini tidak akan mampu bertahan lama. Jadikan setiap cabaran sebagai peluang untuk menguatkan iman dan keyakinan, kerana jiwa yang tenang dan redha akan sentiasa menemukan kebahagiaan walau dalam keadaan apa sekalipun.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Pelengkap Kegembiraan: Jurnal Kesyukuran

Pelengkap Kegembiraan: Jurnal Kesyukuran
Singkirkan rasa sedih, kecewa dan prasangka kepada rasa bersyukur dan bahagia.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...