Firman Allah: (لقد كان لكم في رسول الله أسوة حسنة) (maksudnya: Sesungguhnya bagi kamu pada Rasulullah itu contoh yang baik).
DENGAN NAMA ALLAH YANG MAHA PEMURAH LAGI MAHA PENGASIHANI

Selasa, 11 Julai 2017

Methi Egg Bhurji, Masakan Daun Halba / Fenugreek


Assalammualaikum & Salam Sejahtera.

Daun halba atau dalam bahasa Inggerisnya, fenugreek ada banyak khasiat. Pada mulanya, saya membeli benih pokok halba ni atas sebab tertentu dan saya pun tak pasti bagaimana hendak menggunanya sangat jika ia membesar. Mungkin boleh dikatakan sebagai eksperimen juga.

Dan Alhamdulillah, pokok halba ini rupanya sangat mudah membiak dan membesar. Pantas sekali ia menjalar di tanah. So, pagi tadi, saya dan ayah mertua godek sikit pokok ni agar ianya nampak kemas. Mana taknya, bila ia nampak subur, orang mula bertanya, pokok apakah ini. Makanya hari ini, saya dapat ilmu baru dalam masakan.


Rupanya, daun halba banyak digunakan dalam masakan masyarakat India di India. Penuh saya lihat gambar resipi menarik di IG orang dari negara India. So, bila digoogle cara membuatnya, rupanya ada bahannya di rumah. Dan, kita cubalah resipi daun halba ni. Ambil masa dalam 15 minit aje untuk masak. Ia sedap dimakan dengan roti, nasi putih mahupun nasi goreng. Orang vegeterian pun boleh makan. Plus, jika lidah anda nak pedas, boleh le potong setangkai dua cili padi dan letak dalam masakan.


Bahan-bahan:
4 biji telur
1 cawan daun halba dipotong (dibasuh bersih dan rendam seketika dalam 10 minit)
1 biji bawang besar didadu
1 inci halia dihiris & didadu
1 sudu kecil bawang putih dihiris & didadu
1 cili hijau dihiris
1 biji tomato didadu (saya guna baby tomato untuk habiskan stok)
1/2 sudu kecil jintan putih
1/2 sudu kecil serbuk cili
1/4 sudu kecil serbuk kunyit
2 sudu minyak untuk memasak
Garam secukup rasa

Penyediaan:
1. Panaskan minyak dalam kuali pada api sederhana.
2. Masukkan jintan. Goreng seketika. Kemudian masukkan bawang besar & goreng sehingga keperangan.
3. Masukkan pula bawang putih, halia & cili hijau. Gaul lebih kurang seminit.
4. Kemudian masukkan pula daun halba, tomato, serbuk cili & serbuk kunyit. Gaul mesra dalam seminit. Masukkan sedikit garam.
5. Masukkan telur dan kacau perlahan-lahan dan berterusan sehingga masak (macam buat scrambled egg tu). Siap


Happy cooking

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...