Firman Allah: (لقد كان لكم في رسول الله أسوة حسنة) (maksudnya: Sesungguhnya bagi kamu pada Rasulullah itu contoh yang baik).
DENGAN NAMA ALLAH YANG MAHA PEMURAH LAGI MAHA PENGASIHANI

Gulai Taucu Masak Ikan


Assalammualaikum & Salam Sejahtera.

Alhamdulillah rezeki hari ini dapat masak.
Nampak ada stok ikan goreng skit semalam & taucu baru beli di sudut dapur, so tetiba teringin nak masak gulai taucu ni.
Lepas aje Pos parcel pagi tadi, singgah jap kedai berhampiran & beli cili hijau.

Jika diikutkan dahulu, gulai ni saya tak pandang langsung masa kecil atau belajar. Rasa pelik di tekak. Jika mama masak pun, dia sorang aje makan. Dan entah bagaimana, ada satu hari tu, sepupu datang rumah. Dia kata dia suka gulai ni sebab kat rumah mereka jika mamanya masak (arwah mak ngah), ramai yang makan.

Dan start dari situ, saya cuba makan. Its not bad at all. Atau mungkin deria rasa orang dah berumur boleh terima benda-benda macam ni. Hehehe...
So, boleh cuba nanti. Nak guna ikan apa, terpulang. Ada orang suka kembung, ada suka ikan sardin, pelaling atau tenggiri. Depends.

Bahan:
4-5 ekor ikan kembung goreng (nak guna ikan lain pun boleh aje)
6 tangkai cili hijau di belah tengah
2 sudu besar taucu / 1 paket taucu
1 cawan air
2 ulas bawang putih dihiris
2 inci halia dihiris
1 labu bawang besar dihiris bulat
Sedikit minyak untuk menggoreng
Garam secukup rasa

Penyediaan:
1. Panaskan kuali & masukkan minyak. Bila minyak sedikit panas, masukkan bawang putih & halia. Goreng hingga naik bau.
2. Masukkan taucu dan air. Kacau sesekali hingga mendidih. Kemudian masukkan ikan goreng, cili hijau & bawang besar. Kacau perlahan-lahan agar ikan tak pecah. Masukkan garam secukup rasa & kacau. Setelah mendidih, siap untuk dihidang.

Happy cooking

Gulai Telur Itik Dengan Belimbing Buluh


Assalammualaikum & Salam Sejahtera semua.

Alhamdulillah, rezeki dapat beli telur itik semalam di #rumahhutan & jumpa belimbing buluh di pasar Nilai.
Rezeki hari ni kita makan kampung style Ada gulai lemak, sambal belacan, ulam raja, ikan goreng & ayam goreng.
Ini resipi untuk gulai telur itik.

Bahan:
7 biji telur
1 batang serai dititik
1 helai daun kunyit disiat
7 biji belimbing buluh
1 kotak santan (250ml)
Garam secukup rasa

Bahan kisar:
1 biji bawang merah (saiz sederhana)
1 ulas bawang putih
2 inci kunyit hidup
10 tangkai cili padi
Penyediaan:
1. Masakkan bahan kisar dengan serai sehingga mendidih menggunakan api yang kecil. Letakkan 2 sudu santan pekat. Kacau seketika.
2. Apabila mendidih, pecahkan telur satu persatu dalam mangkuk kecil dan masukkan perlahan-lahan ke dalam periuk. Jarakkan Sedikit satu telur dengan yang lain. Boleh masukkan sedikit cuka supaya telur tidak pecah.
3. Masak sambil kacau perlahan-lahan sehingga telur sedikit mengeras. Tuang santan pekat, masukkan belimbing buluh, daun kunyit dan garam secukup rasa. Kacau sehingga mendidih agar pati santan tidak pecah minyak. Siap.

Happy cooking

Rumah Hutan Terapi Alam Rozita Ibrahim


Assalammualaikum & Salam Sejahtera

Alhamdulillah rezeki kami bertiga dapat juga ke Rumah Hutan. Meskipun sesat dekat 15 minit, akhirnya jumpa juga. Memang GPS ni kekadang memang bengong. Last minute dah nak sampai, dia salah detect dan beri tempat lain. Memang menguji kesabaran lah time tu, Mana tak nya, kepala dah start pening + terasa nak buang air sebab cuaca sejuk. 

Saya tahu tentang Rumah Hutan ni masa dengar radio IKIM FM. Tapi tak amik port sangat. Dan tak lama lepas tu, ternampak IG Rozita Ibrahim kat area search. Saje ajelah saya tengok isinya. Hati rasa terpaut untuk follow. dan, maka seterusnya saya terus follow untuk ikuti kisah beliau di IG, tentang JRM & Rumah Hutan.

Untuk rakan/kenalan/ahli keluarga yang ingin mendapatkan urutan tradisional sama ada urutan biasa/wanita mahupun slip disc, strok, masalah saraf dan lain-lain, boleh cuba hubungi staf #rumahhutan di 019-2212617 atau 013-2872133 untuk set appointment. Takut nanti jika anda walk in, ramai orang, terpaksa datang lain kali.
Ada 2 pakej urutan ditawarkan buat lelaki mahupun perempuan. Pilih mana yang sesuai dengan penyakit/bajet.

Untuk ke @rumahutan_terapialam ni, boleh ikut jalan Ulu Yam (simpang berhampiran Batu Caves) jika dari Ampang atau boleh juga anda ikut highway nak ke Genting Highland (akan naik kawasan Genting sedikit sehingga jumpa roundabout & ambil jalan ke Batang Kali). Buat saya yang pernah beberapa kali berurut, saya tahu ada sedikit kelainan pada urutan yang diberikan. Sangat berbeza tapi Alhamdulillah berpuas hati. Encik suami yang juga berusaha untuk pulihkan kembali masalah slip disc nya juga pun kata macam ok. Mama tak banyak cerita sebab dia memang dah biasa bab-bab ni. Dia ok aje.

Oh ya, di sini juga anda boleh beli bahan kudapan (sambil menunggu pasangan selesai berurut), ikan susu (ikan terubuk yang lembut & boleh makan dengan tulangnya sekali), telur itik & produk jrm yang lain.

InsyaAllah will come again next time. Encik suami kata nak settlekan masalah slip disc nya.




Tauhu Telur Daging Cincang


Assalammualaikum & Salam Sejahtera.

Menu baru belajar hari ni dari cik @matgebu di blognya.

Saya memang suka tauhu telur ni. Entah bila mula rasa tauhu ni, tak ingat pula. Tapi teksturnya yang lembut dan mudah dimakan, memang enak. Specially time saya baru baik dari cabut gigi geraham ni.

So, this is the recipe that I follow from tiffinbiru web. Ada le menderhaka skit sebab nak cepat. .

Bahan:
3 batang tauhu telur
1 tin cendawan butang, toskan airnya & hiris 4
1 camca besar penuh tepung jagung
2 camca besar air
1 cawan daging cincang, letak dalam tapis dan cuci bawah air paip, toskan
3 ulas bawang putih dihiris
1 tangkai cili merah dihiris
1/2 cawan air

Bahan sos:
2 camca besar sos tiram
1 camca besar kicap cair
1 camca besar kicap lemak manis
1/2 camca teh serbuk lada sulah

Penyediaan:
1. Tauhu telur di potong 6 setiap 1 tiub,letak dalam mangkuk. Satukan tepung jagung dan 2 camca besar air dan kacau. Tuang ke dalam mangkuk berisi tauhu telur. Gaul perlahan dan goreng satu persatu hingga kekuningan. Angkat dan toskan.
2. Goreng cendawan butang hingga layu, angkat dan toskan.
3. Dalam kuali yang sama, tinggalkan minyak dalam 2 camca besar. Tumis bawang putih hingga naik bau. Masukkan daging cincang, kacau rata dan masak hingga airnya kering dan daging cincang berubah warna. 4. Masukkan bahan sos dan air. Kacau rata dan biarkan mendidih. Baki tepung jagung tadi, masukkan ke dalam kuah. Kacau dan masak hingga pekat.
5. Kemudian masukkan tauhu telur dan cendawan. Gaul perlahan-lahan hingga mesra. Tutup api & masukkan dalam mangkuk kemudian taburkan hirisan cili merah. Siap.

Happy cooking

Kupang Masak Pedas


Assalammualaikum & Salam Sejahtera

Rezeki dapat makan kupang. Sebenarnya nak masak lala tapi dek kerana kat pasar & pasaraya takde stok lala & hanya ada kupang, so, kita tukar skit menu untuk makan tengahari keluarga di Ampang. Kupang memang feveret saya, adik & adik ipar. So, memang mengadap le depa makan.

Anda boleh cuba try nanti.


Bahan-bahan:
1. 3-4 tangkai daun kari
2. 2 biji bawang merah dihiris
3. 3 ulas bawang putih dihiris
4. 15 batang cili padi dipotong (nak podeh lagi, tambah ya...) 

Bahan pes (satukan semua dalam mangkuk):
5. 1 pek kecil rempah kari ikan
6. 2 sudu besar kicap pekat
7. 5 sudu besar kicap cair
8. 3 sudu besar sos tiram
9. 1 sudu kecil lada hitam yang ditumbuk
10. 1-2 cawan air
11. 1kg kupang
12. 2 sudu besar minyak masak
13. Garam & gula secukup rasa


Penyediaan:
1. Panaskan minyak dalam kuali dan tumis bawang besar, bawang putih, cili padi dan daun kari. Goreng sehingga naik bau atau bawang sedikit garing.
2. Masukkan pes tadi dan kacau. Masak sehingga pecah minyak dan tambah air. Bila mendidih, gaul dan tambah sedikit garam secukup rasa.
3. Masukkan kupang dan gaul perlahan-lahan sehingga mesra. Kemudian tutup kupang di atas kuali dengan tutup periuk nasi atau apa aje yang sesuai bagi memastikan kupang masak sekata. Biarkan dalam 4-5 minit api sederhana.
4. Angkat penutup dan gaul perlahan-lahan tersebut & jika anda dah pasti kupang sudah masak semuanya, bolehlah tutup api (jika masih belum masak sebab kuantiti banyak, tutup sekali lagi dengan penutup periuk dalam 2-3 minit). Siap.

Happy cooking

Sambal Telur Rebus Goreng


Assalammualaikum & Salam Sejahtera.

Alhamdulillah dapat saya masak sambal telur rebus goreng ni untuk keluarga.
Exactly nak masak menu lain tapi dek kerana abang jual sayur yang selalu datang ke kawasan perumahan kami ni cancel datang, makanya kita masak le apa aje bahan yang ada di dapur. Nasib stok telur ada banyak dalam fridge.

Untuk dapatkan telur rebus yang cantik, jangan lupa letak sesudu garam masa rebus. InsyaAllah mudah dikopek. Tips dari isteri sepupu saya. InsyaAllah menjadi :)

Lepas dah kopek telur tu, anda goreng dalam minyak masak dalam 4-5 minit. Golek-golek skit telur tu dalam kuali tapi jangan selalu sangat. Kadang-kadang. Kang terpecah plak telur tu. 

Ini resipinya.
Sambal Tumis
Bahan:
25 tangkai cili kering digunting dua dan masak dalam air mendidih dalam masa 5-7 minit. Tapis.
3 biji bawang besar dipotong 4
1 liter air
1 1/2 cawan minyak masak
1/2 cawan air asam jawa
4-5 sudu gula (secukup rasa)
2-3 sudu kecil garam (secukup rasa)
9-10 biji telur rebus yang telah siap digoreng


Penyediaan:
1. Panaskan minyak dalam kuali pada api sederhana.
2. Kisar halus cili kering, bawang besar dengan 300ml air dahulu. Masukkan bahan kisar ke dalam minyak panas. Kacau dan tambahkan baki 700ml air ke dalamnya. Biarkan cili masak dan kacau sekali sekala. 
3. Bila sambal kelihatan hampir masak atau gelap sedikit (jika masih merah, tambahkan air dalam 1-2 cawan dan biarkan cili betul-betul masak), masukkan air asam. Kacau dan masak dalam 3-5 minit.
4. Masukkan gula dan garam. Kacau seketika dan bila sambal kelihatan sedikit kering, masukkan pula telur rebus goreng tadi dan masak dalam 4-5 minit agar telur tersebut disadur dengan sambal seadanya. Siap

Sedap dimakan dengan nasi panas, makan cicah dengan roti atau ratah macam tu aje. Makan dengan nasi lemak pun sedap...

Happy cooking

Bihun Goreng Sedap...


Assalammualaikum & Salam Sejahtera.

Alhamdulillah, rezeki pagi ni dapat buat bihun yang cantik di mata saya dan sedap di tekak. Bertahun saya cari resipi bihun yang sedap dan mudah tapi bila masak aje, kekadang jadi kekadang tak jadi.

Alhamdulillah, kali ni bihun goreng warna merah saya menjadi. Kali ni saya guna resipi Chef Lin di YouTube.

So, sesiapa nak try, boleh le. Nak resipi lain, boleh ke YouTube Chef Lin.

Bahan:
2 keping bihun brand faiza (rendam dengan air suam dalam 20 minit. Brand lain pun blh aje)
1/2 bawang besar dihiris
3 ulas bawang putih dihiris
3 sudu besar cili giling
1/2 cawan air
2 sudu sos cili
2 sudu sos tiram
2 keping fish cake dihiris (fish ball pun ok)
1 keping dada ayam dihiris (saya guna lebihan ayam goreng semalam)
2 biji telur
1/2 batang lobak merah diparut
Garam secukup rasa
3 tangkai cili putih dihiris (saya kutip kat #kebunkiutrinarudy )
6-8 helai daun selasih (basil)

Penyediaan:
1. Panaskan sedikit minyak untuk menggoreng. Minyak sudah panas, masukkan bawang besar & bawang putih. Goreng hingga naik bau. Masukkan pula cili giling dan kacau. Bila sudah sedikit garing, masukkan air untuk masakkan seketika cilinya.
2. Setelah cili sudah naik minyak, masukkan ayam & fish cake. Kacau seketika. Masukkan pula sos cili & tiram. Gaul mesra. Masukkan telur yang dikocok ke tepi bahan dalam kuali. Biarkan ia sedikit masak baru digaul dengan bahan lain. Biarkan seketika.
3. Kemudian, masukkan bihun yang sudah lembut itu & ditoskan ke dalam kuali. Masukkan juga lobak merah. Gaul mesra. Jika kelihatan kering, letakkan sedikit air & gaul. Taburkan garam secukup rasa. Masak seketika & siap. Taburkan cili putih & daun selasih di atas bihun yang sudah dipindah bekas. 

Happy cooking

Kuih Lapis, Kuih Lama Yang Enak


Assalammualaikum & Salam Sejahtera.

Kuih lapis menu kudapan petang ni.

Malam semalam, tengah layan YouTube Chef Lin, tetiba tertengok cara dia masak kuih lapis. Dan tetiba bangun pagi tadi, teringin nak makan kuih ni yang bertahun tak makan.

Alhamdulillah ada rezeki membuatnya walaupun pewarna merah dah habis di kedai & diganti dengan kordial merah + pewarna merah strawberi. Tu yg dapat warna pink layer kuih tu.


Bahan:
2 cawan tepung beras
1/2 cawan tepung gandum
1/2 cawan tepung jagung
1 cawan gula pasir
4 cawan santan (1 cawan santan pekat + 3 cawan air)
1/4 sudu teh garam
sedikit pewarna merah dan perisa ros/strawberi

Penyediaan:
1. Panaskan pengukus dan sediakan loyang berukuran 8 inci yang disapu rata dasar & sekelilingnya dengan sedikit minyak. Ketepikan.
2. Masukkan santan ke dalam periuk/kuali. Panaskan seketika tapi jangan sampai mendidih. Kacau sesekali & tutup api.
3. Dalam mangkuk lain, masukkan tepung beras, tepung gandum, tepung jagung, gula dan garam. Masukkan santan. Gaul rata hingga tidak berbintil / biji.
4. Bahagikan adunan kepada 2 bahagian sama rata. Satu warna putih (natural) & satu lagi letakkan pewarna merah & perisa Ros/strawberi. Kacau.
5. Masukkan loyang yg telah di sapu minyak tadi ke dalam kukusan. Tuang 1 cawan adunan warna putih ke dalam loyang. Kukus selama 5 minit dengan api kuat. Setelah lapisan pertama masak, tuang pula satu cawan adunan merah. Kukus lagi. Ulang proses hingga kedua-dua warna habis.
6. Setelah masak, keluarkan kuih dari kukusan dan biarkan sejuk dalam 1 jam. Untuk proses memotong, gunakan pisau plastik / pisau potong kek birthday tu & sadurkan sedikit minyak di kiri kanan pisau. Ia bagi memudahkan proses memotong & kuih tidak melekat di pisau. Siap.

Lepat Labu


Assalammualaikum & Salam Sejahtera.

Lepat labu
Rasa lepat ini tidak semanis lepat pisang tapi rasanya tetap enak. My 1st attempt. Alhamdulillah jadi tapi suami kata kurang manis skit. Jika tambah gula skit rasanya ok.

Ini resipi yang saya dah tambah sukatan gulanya. Happy cooking...

Bahan:
1 biji labu besar (buang kulitnya)
4 cawan tepung gandum
1 cawang tepung jagung
3/4 cawan gula
1/2 cawan kelapa parut putih
1/2 sudu teh garam
daun pisang dibersih & dilayur


Penyediaan:
1. Labu dibersih & rebus sehingga empuk kemudian toskan. Biarkan dalam 2 minit untuk sejukkan seketika labu tersebut. Kemudian masukkan labu tadi dalam mangkuk besar & lenyek sehingga halus.
2. Masukkan tepung gandum, tepung jagung, gula, dan garam ke dalam mangkuk gaul hingga mesra.



3. Ambil adunan 1 sudu besar & letakkan di tengah daun pisang. Kembangkan sedikit guna sudu & letak beberapa cubit kelapa parut. Katup perlahan-lahan daun pisang tadi & bungkus kemas-kemas. Letak dalam bekas berlubang pengukus. Buat sehingga selesai.
4. Kukus selama 20 minit dengan api sederhana. Setelah masak, buka penutup & sejukkan seketika. Siap.

Happy cooking

Pelacur Menjadi Wanita Solehah


Syeikh Badruddin Al-Hassani, seorang ulama & muhaddis terkemuka dari Syria yang telah meninggal sekitar tahun 1940-an. Dikatakan beliau pernah diberi hadiah dengan duit yang banyak oleh kerajaan Uthmaniyyah pada masa itu. Bila diberikan hadiah kepadanya, beliau telah mengumpul duit-duit tersebut & diletakkan dalam uncang-uncang kecil dengan jumlah yang tertentu. Kemudian dia memanggil muridnya supaya pergi menemui sejumlah perempuan-perempuan iaitu pelacur.

Muridnya ini disuruh pergi memberikan uncang-uncang tersebut kepada pelacur-pelacur & menyatakan kepada mereka bahawa Syeikh Badruddin Al-Hassani berkirim salam kepada mereka dan dia bermohon kepada mereka supaya mendoakan syeikh diberikan oleh Allah taufik & hidayah kepadanya.

Hampir keseluruhan perempuan-perempuan ini terkejut & menepuk dahi masing-masing & mencelakakan diri sendiri. "Aku seperti ini, Syeikh mahu aku mendoakannya? Aku yang sepatutnya meminta doa darinya."

Dan natijah daripada itu, Allah membuka hidayah kepada mereka dan mereka bertaubat kepada Allah. Dan mereka kemudiannya menjadi wanita-wanita yang solehah yang kuat beribadat kepada Allah sepertiga malam, banyak berpuasa sunat, banyak berzikir & berusaha menjadi orang-orang yang menghampirkan diri kepada Allah.

Lihatlah, siapakah yang membuka hati manusia. Bukankah Allah yang Maha Berkuasa & Maha segala-galanya.

Rujukan: Kuliah Syarah Al-Hikam. Dr. Zulkifli Muhamad Al-Bakri. Februari 2013. Masjid Negeri Selangor.

Kuih Dangai @ Dangi Guna Periuk Ajaib


Assalammualaikum & Salam Sejahtera.

Subhanallah Alhamdulillah Allahu Akbar.
Rezeki saya hari ini kerana dapat buat kuih yang disukai suami. Kuih ini saya kenal 7-8 tahun lalu bila suami balik ke Taiping. Jika Ada rezeki, selalu beli di Pekan Changkat Jering. .

Kuih ini saya masak guna kuali ajaib ikan tu aje. Jika guna oven, tahap rasa kelapa yang hangus tu tak sama. Satu lagi ilmu PENTING. Sila masak 5-6 minit aje sebab takut nanti ada bahagian yang hangit (akak dah terkena hangit sebelah tadi). .

Bahan:
4 cawan kelapa parut
2 cawan tepung pulut
1 cawan gula
1 1/2 sudu kecil garam


Penyediaan:
1. Gaulkan semua bahan sebati. Jangan biar kelapa atau gula berketul.
2. Tuang ke dalam loyang yang telah disapu mentega. Mampatkan sedikit tapi jangan tekan kuat sangat.
3. Bakar pemanggang ajaib, guna api perlahan supaya kelapa tak hangit/hangus dalam 5-6 minit sahaja & selepas itu terbalikkan kuali bawah ke atas agar kuih garing rata kedua-dua belah. Bakar dalam 5 minit juga. Tutup api.
4. Keluarkan dari kuali biarkan seketika & potong. Siap.


Happy Cooking

Ikan Masak Kicap Pedas


Assalammualaikum & Salam Sejahtera :)

Resipi ni saya masak hari Ahad semalam. Dah boring makan ayam, kita makan ikan kembung pula.
Untuk hubby yang kurang makan ikan, saya goreng nugget ayam aje. Senang.

Menu ni agak mudah. Anda boleh cuba. :)

Bahan:
3 ekor ikan kembung digaram kunyit & goreng seketika (jangan garing sangat nanti keras)
3 ulas bawang putih dihiris
2 inci halia dihiris halus
1 batang kayu manis
1 kuntum bunga lawang
2 sudu besar cili giling
1 cawan air
2 sudu besar kicap pekat
3 sudu besar kicap manis
1 tangkai cili merah dihiris (jika tak mahu, ok aje)
1 tangkai cili hijau dihiris (jika tak mahu, ok aje)
1 labu bawang besar dihiris bulat
Minyak untuk menggoreng

Penyediaan:
1. Panaskan minyak & masukkan kayu manis, bunga lawang, bawang putih & halia. Masak hingga naik bau. Masukkan pula cili giling & goreng hingga sedikit garing. Masukkan 1/2 cawan air. Kacau & biarkan masak seketika.
2. Masukkan kicap pekat, kicap manis & baki 1/2 cawan air. Kacau seketika & masukkan ikan, bawang & cili merah & hijau. Masak hingga mendidih & kacau sesekali. Siap.

Gulai Labu dengan Pucuk Manis


Assalammualaikum & Salam Sejahtera.

Sehari dua ni asyik terdengar & tonton tentang buah labu, makanan kesukaan Rasulullah s.a.w. Dan tengah jogging pagi Jumaat lepas, teringin nak masak bila fikirkan pasar Nilai 3 dekat aje dengan tempat riadah.
Alhamdulillah, dapat juga masaknya untuk keluarga pada hari tu, Sempena Maulud Nabi.

Ini resipinya. Boleh cuba 

Bahan:
1 cekak pucuk manis, lurutkan daunnya, cuci dan toskan.
1/2 biji labu, buang kulit dan dadu besar (jika kecil cepat hancur)
2 keping tempe, potong 6
1 biji bawang besar, dihiris
3 ulas bawang putih, dihiris
50ml santan cair
200ml pati santan (senang cerita, 1 kotak santan tu, bahagikan santan cair & pati santan)
Garam dan gula secukup rasa
400ml air


Penyediaan:
1. Masukkan labu ke dalam periuk bersama bawang besar, bawang putih dan santan cair. Masak hingga mendidih & kemudian masukkan tempe.
2. Pucuk manis diramas sedikit & masukkan dalam periuk, kacau perlahan-lahan. Masak hingga pucuk manis lembut. Tuang pati santan, letakkan garam secukup rasa dan sedikit gula. Masak sehingga mendidih. Siap.

Happy cooking

Kari Udang Kapitan


Assalammualaikum & Salam Sejahtera.

Bila mama tanya nak masak apa, tetiba teringat kari udang. So, godeklah resipi yang ada dalam Google plus, guna apa yang ada dalam dapur. Ingatkan nak letak sayur munggai sikit tapi takde orang jual kat pasar. Takde rezekilah bab tu. Anyway, sedap aje bila makan dengan nasi panas, telur masin & sayur taugeh goreng.

Bahan:
500 g udang, dibuang kepala
250 ml santan
1 biji bawang besar, didadu
1 camca besar gula
1 sudu besar rempah kari
3 tangkai daun limau purut
1 keping kecil asam keping
Garam secukup rasa

Bahan kisar:
4 tangkai cili kering, gunting, rendam dalam air panas dan toskan
4 tangkai cili merah
3 ulas bawang putih
2 biji buah keras
1 inci kunyit hidup
3/4 inci lengkuas
2 batang serai
1 inci belacan

Penyediaan:
1. Udang dilap kering dan goreng selama 30 saat hingga bertukar warna kemerahan, angkat dan toskan. 



2. Dengan api sederhana, panaskan minyak dalam kuali, tumis bawang besar hingga naik bau masukkan rempah kari, bahan2 kisar, daun limau purut dan tumis hingga terbit minyak. Masukkan udang, gaul rata dan tuang sedikit air. Kacau dan biar mendidih.


3. Masukkan asam keping, santan, gula dan garam secukup rasa. Bila mendidih, anda boleh tambah apa sahaja sayur yang berkenan (timun kuning/nanas/tomato/sayur munggai) dan masak hingga sayur lembut. Siap.

Happy cooking

Roti jala untuk kudapan


Assalammualaikum & Salam Sejahtera...

Tetiba saya teringin nak makan roti jala.
Alhamdulillah Allah beri kembali selera makan saya. Kena demam dekat 2 minggu aritu. Selera makan putus langsung. Makan sikit aje demi nak kuatkan badan dan makan ubat. Baru saya faham bila orang-orang tua kata selera hilang atau dah takde. Memang penangannya lain sangat bila dah alami sendiri. Moga anda yang demam-demam tu, sihat kembali hendaknya...

Untuk buat sendiri roti jalanya, rupanya tak semudah yang saya bayangkan. Masak kari InsyaAllah dah ok cuma untuk 1st time buat roti jala, menguji kesabaran specially time menapis adunan dan menjala. Extend dekat sejam dari masa dianggarkan siap.

Meh saya kongsi resipi buat roti jala yg diambil dari Che Mat Gebu. Ada bahan yang saya kurangkan. Sebab takde di rumah.

Bahan:
2 cawan tepung gandum
3 2/4 cawan air
3 biji telur, dikacau sedikit
4 camca besar minyak zaitun
2 sudu kecil garam

Penyediaan:
1. Satukan semua bahan-bahan di atas. Kacau rata dengan whisk dan tapis bancuhan tadi untuk elak ketul-ketul tepung. Ketepikan 10 minit.
2. Panaskan non-stick pan. Lenser dengan sedikit minyak masak (lap dengan paper towel bersih yang dicelop sedikit minyak). Bila kuali panas, masukkan sesenduk adunan ke dalam bekas berlubang untuk menjala (jika anda guna botol, itu mudah juga). Buat bulatan.


3. Masak dengan api kecil, bila permukaan roti jala nampak pucat, lipat kiri dan kanan ke tengah , kemudian dari pangkal, gulung perlahan2 hingga ke hujung guna sudip & sudu. Kemaskan dan alih dalam pinggan. Buat kaedah sama untuk baki adunan yang lain. Siap.

Happy cooking

Sambal Burger yang mudah


Assalammualaikum & Salam Sejahtea buat semua.

Kali ni saya kongsikan resipi mudah dari keluarga mertua saya. Sambal burger.
1st time masa mula-mula kahwin dulu dan mak mertua masak, saya pelik. Memang tak pernah le makan. Tapi rupanya, sambal ni, selain makan dengan nasi, boleh aje makan dengan roti. Kapit aje. Sedap untuk anda yang diet makan nasi :)

Plus, menu ni mudah time kejar masa.
Dalam 20 minit siap.

Bahan2:
1 pek burger daging
1 labu bawang merah dihiris
3 ulas bawang putih dihiris
4 sudu cili giling
1 cawan air
4 sudu sos cili
Secubit habbatus sauda' (jika suka)
2 keping asam keping / suku cawan air asam
2 sudu besar gula
Garam secukup rasa

Penyediaan:
1. Goreng daging burger (jangan garing sgt). Dah siap, potong dua jika suka.
2. Panaskan 3 sudu minyak masak & masukkan bawang besar & putih. Goreng hingga naik bau.
3. Masukkan cili giling. Goreng seketika & masukkan air. Kacau seketika & biarkan cili masak sebentar.
4. Masukkan habbatus sauda' & asam keping. Kacau. Masukkan pula sos cili. Kacau lagi.
5. Kemudian gula & garam. Jika sambal macam kering, tambah stengah cawan air lagi. Kacau. Kemudian masukkan daging burger & gaul hingga mesra. Biarkan mesra seketika & gaul sedikit lagi & siap.

Happy cooking

Penyakit Ujub & Bagaimana Mengubatinya

Assalammualaikum & Salam Sejahtera.

Saya baru baca bab ujub dalam buku 'Sekalipun Benar Dia Pendosa'.
Ada banyak sebab kita menjadi pendosa. Adakala dengan mulut, hati, mata & telinga
Saya rasa, kita semua adakala terdetik akan rasa Ujub ini pada masa muda ataupun pada waktu tertentu. Dan kali ini saya kongsikan apa itu Ujub & bagaimana untuk Mengubatinya.


Apa itu Ujub?
"Ujub ialah rasa kagum akan diri sendiri atas suatu kejayaan dan pencapaian diri. Dia melihat hasil usahanya berpunca daripada peluh & keringatnya sahaja, bukannya nikmat daripada Allah."

Berdosa sangatkah ujub ini?
Ujub adalah haram kerana sikap ini termasuk dalam perkara syirik. Ibnu Taimiyah dalam al-Fatawa al-Kubra berkata, "Betapa banyak sekali riyak digandingkan dengan ujub. Kerana riyak termasuk dalam perbuatan syirik dengan makhluk manakala ujub termasuk perbuatan syirik dengan diri sendiri."

Imam al-Ghazali dalam Ilya' Ulum al-Din pula berkata, "Ketahuilah bahawa ujub adalah tercela dalam Kitabullah dan sunah RasulNya, Allah berfirman:
"Dan pada hari Hunain tatkala mereka berasa kagum dengan bilangan mereka yang banyak lalu hal itu tidak bermanfaat untuk kamu sedikit pun!"
(Surah al-Tawbah 9: 25)

Rasulullah s.a.w bersabda:
"Ada 3 perkara yang membinasakan: kedekut yang diikut-ikut, nafsu yang dituruti & ujub seseorang akan dirinya."
(Riwayat al-Baihaqi)

Bahaya sangatkah ujub kepada kita?
1. Melahirkan sikap riyak dan takbur
2. Amalan kebaikan boleh bertukar sia-sia
3. Berkemungkinan mendapat hukuman segera di dunia
4. Semakin payah melihat kekurangan dan kelemahan diri
5. Semakin tidak bersyukur kepada Allah dan kurang menghargai makhluk lain
6. Semakin tidak bersungguh-sungguh beramal

Bagaimana mengubati ujub?
1. Siapkan serangan balas mental automatik
Contohnya:
- Jika rasa diri banyak kelebihan, ingatkan diri dengan aneka keaiban diri yang sudah tentu lebih banyak
- Jika rasa diri begitu hebat, ingatkan diri tentang orang yang lebih hebat
- Jika rasa kagum dengan amalan kebaikan diri, ingatkan tentang maksiat & keterlanjuran yang pernah dilakukan
- Jika rasa kagum dengan ilmu & pengetahuan diri, ingatkan bahawa itu bukannya atas kepandaian diri sebaliknya tidak lain melainkan kurniaan Allah.

2. Latih diri husnuzhan, yakni bersangka baik dengan sesiapa sahaja

3. Jangan berhenti menuntut ilmu agama

4. Banyakkan bersyukur

5. Melatih diri merendah diri pada Allah dengan doa (ada beberapa doa disertakan dalam buku ini untuk rujukan anda)

Diriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w bersabda, "Kalaulah kamu semua tidak pernah berdosa, nescaya aku bimbangkan akan menimpa kamu sesuatu yang lebih besar iaitu ujub!"
(Riwayat al-Bazzar)

Sayidatina Aisyah pernah ditanya, "Bilakah seseorang boleh menjadi jahat? Beliau menjawab, "Sebaik sahaja dia merasakan dirinya baik!"
(Ihya' Ulumal-Din)

Cuti-cuti Banda Aceh Day 4


Assalammualaikum & Salam Sejahtera...

Ini hari terakhir kami di Banda Aceh. Subhanallah, sekejap aje masa berlalu. Rasa macam baru aje check-in di KLIA2 dah nak balik. Tapi, itulah lumrah. We need to face everything whether we like it or not.  Nikmatilah hidup selayaknya sebagai hambaNya.

Hari ni kami check out dalam jam 8.30 pagi. Check-out awal sikit agar mudah nak terus ke Bandara (airport) nanti. Our 1st pit stop ialah Kapal di Atas Rumah di Lampulo. Kapal ini sekarang betul-betul terletak di kawasan perkampungan masyarkat Lampulo. Menurut sejarah, 59 nyawa terselamat di atas kapal ini saat tsunami berlaku termasuklah tuan rumah. Kapal ini terseret hampir 1 km dari tempatnya. Jika diikutkan sejarah, ada kapal lain juga terseret di kawasan perkampungan ini tapi menjadikan kapal ini unik kerana ia betul-betul terletak di atas rumah. So, pihak berkenaan di Banda Aceh membangunkan tempat ini sebagai tempat tarikan sejarah buat semua (tuan rumah ini pun turut mengizinkan).

Oh ya, ada satu kisah menarik yang diceritakan di papan kenyataan mereka. Rupanya, ketika air mulai surut ada seekor buaya besar berada di bawah kapal mereka. Dan saya rasa, buaya tu sekarang ada kat Zoo Aceh. Ngeee...

Jika anda datang ke sini, anda akan lihat keadaan di dalam ruang rumah yang masih dikekalkan. Namun, di satu ruang di dalam rumah, satu banner besar menyenaraikan nama-nama mangsa korban tsunami yang dikenalpasti. Itu yang dikenalpasti tau, tak termasuk yang tak dikenali. Hampir 1000 orang. Allahu Akbar... Moga roh mereka dicucuri rahmat.

Di luar kawasan ini, dibina satu platform berjalan kaki untuk memudahkan pengunjung melihat kapal ini dengan lebih dekat dan mengambil gambar. Turut disediakan di area bawah platform, papan kenyataan yang menceritakan tentang sejarah kapal atas rumah ini berserta dengan gambar. Di situ juga ada peniaga kecil yang menjual buku-buku tentang sejarah tsunami dan juga sejarah Aceh. Anda boleh aje beli guna duit Rupiah atau RM. Berhampiran dengan tapak kapal ini, ada 2 buah gerai kecil menjual cenderahati. Harganya ok juga (kot le tak cukup key chain / fridge magnet yang dibeli).

Dari kejauhan dah nampak kapal ini. Betapa tingginya ia tersadai.

Platform dibina di sebelah kanan untuk memudahkan pengunjung mengambil gambar tempat bersejarah ini.

Batu bersurat tentang kisah Kapal Tsunami Lampulo ini. 

Batu penyanggah dibina untuk mengukuhkan letak kapal ini. Jika dilihat, dek hadapan kapal ini di atas bilik mandi rumah. 

Antara senarai nama-nama mangsa yang terkorban. Bila lihat nama-nama ini, tak terbayang bagaimana jenazah yang banyak dijumpai bergelimpangan di serata tempat. Innalillah... 

Papan kenyataan yang menceritakan serba sedikit tentang sejarah kapal ini ketika tsunami 2004 

Anda boleh tulis nama pelawat di sini dan jika berminat, boleh membeli sekeping sijil kenang-kenangan. Buku-buku yang dijual menarik untuk bacaan anda. 

Kot ada tak cukup cenderahati yang dibeli atau tak sempat nak beli sebelum ini, boleh aje singgah di gerai kecil ini. Harga key chain & fridge magnet dalam Rp5000 sebiji manakala beg,kopi, topi, bergantung pada saiz. 

Macam comel pulak beca ni depan Kapal Atas Rumah. Akak saje amik gambar kenang-kenangan.

Selesai aje kami di sini, kami teruskan perjalanan ke Jalan Sri Ratu Safiatuddin, Peunayong untuk beli cenderahati yang special untuk ahli keluarga yang tercicir dari list (sudah ada ahli keluarga baru itu yang kakak ipar saya terlupa). Yang menariknya, ketika Shah bawa kami mengikut jalan kampung yang menyusuri jeti menangkap ikan, suasana sangat tenang dan unik. Dan tiba-tiba mata kami berempat terpandang susunan ikan-ikan fresh yang saiznya sangat besar di tepi jalan. Memang besar. Tak pernah lagi saya tengok saiz ikan tu kat Pasar Nilai 3. Rasanya panjang seekor ikan dalam saiz meja makan untuk 6 orang. Nasiblah kita orang dalam kereta dan kejar masa, kalau tidak confirm kami dah minta Shah berhenti sebab nak tengok ikan tu. So, anda boleh letak dalam list melancong untuk pergi ke kawasan ini. Just feel the new experience.

Once dah sampai Jalan Sri Ratu Safiatuddin ni, sederet tu ada macam-macam kedai cenderahati dan kopi untuk dibeli. So, pick any yang mana suka. Untuk panduan, masa saya beli ni, harga untuk belian 3 t-shirt biasa dalam sekitar Rp100000. Jika nak yang kualiti ok sikit, sehelai dalam Rp80000. Jika nak beli kopiah (untuk kedua2 ayah saya), harga 1 kopiah dalam Rp30000. Kat area sini ada dijual kopi aceh pelbagai jenis (pilih aje mana yang nak beli), t-shirt, baju batik, kain pelekat, kopiah, fridge magnet, key chain, rencong kecil, beg, aksesori wanita, telekung dan juga kudapan seperti dodol & lontong paris.

Kedai ni ada all in one barang cenderahati. 


After settle aktiviti shopping, kami ke Muzium Tsunami Aceh pula. Ramai juga pengunjung hari ni. Mungkin sebab hari Sabtu, ada yang bercuti. Tiket lawatan untuk dewasa dalam Rp10000. Sebelum kita masuk ke dalam muzium, kita 'dihidangkan' dengan bangkai helikopter yang musnah ketika tsunami. Helikopter ini ingin menyelamatkan mangsa pada awalnya tapi tidak mampu melawan hebatnya kuasa tsunami waktu itu. Permulaan masuk ke dalam muzium, kita akan melalui satu lorong gelap yang sedikit lembab. Terasa air memercik pada pengunjung. Ia mungkin seperti keadaan tsunami pada waktu itu atau mungkin juga maksud tersiratnya, mangsa yang masih hidup menghadapi suasana kelam yang menakutkan untuk terus hidup, namun, walau bagaimanapun keadaannya, ada cahaya di hujung jalan sana.


Heli ini turut menjadi mangsa. Saksi bisu pada kejadian yang berlaku.

Berpuluh standing screen tv memaparkan detik-detik yang berlaku ketika tsunami melanda

Selepas melalui lorong tersebut, kami tiba di sebuah bilik yang menempatkan berpuluh standing screen tv yang merakamkan detik-detik ketika tsunami berlaku. Semua pengunjung terpaku menonton video pendek yang ditayang. Encik hubby sempat rakam tayangan tersebut.

Selepas itu, kami memasuki 'Fighting Room'. Bilik yang agak suram. Bilik ini dibina seperti cerobong. 2/3 dari dinding bilik ini tertulis nama-nama mereka yang terkorban manakala 1/3 lagi kosong. Di puncak bilik tertulis kalimah Allah. Menunjukkan bahawa hanya dia yang tahu selebihnya dan hanya pada Dia sahaja tempat mereka yang hidup meminta pertolongan untuk terus survive. Di bilik ini berkumandang bacaan ayat suci al-quran.



Kemudian kami tiba di Jambatan Harapan (Hope Bridge). Di atas lelangit jambatan ini, tergantung 52 buah bendera negara-negara yang membantu mangsa tsunami pada waktu itu. Simboliknya pula, jambatan ini dibina meninggi ke atas seolah-olah menunjukkan bahawa musibah yang berlaku mampu membangunkan Aceh kembali perlahan-lahan dengan bantuan dari semua pihak. Selepas melintasi jambatan ini, kita disajikan dengan tayangan video berdurasi 10 minit tentang keadaan tsunami pada ketika itu sehingga bantuan mula tiba. Takde kata-kata yang mampu diungkapkan. Hanya sebak menakung dada.

Selepas itu kita akan masuk ke beberapa bilik yang menempatkan bukti-bukti penting ketika tsunami, peperangan yang pernah berlaku di Aceh, kisah-kisah silam tentang kerajaan Aceh serta miniatur yang direka khas untuk menunjukkan bagaimana tika dan saat tsunami menghentam Aceh.

Kat sini pun akak serba salah nak senyum ke idak depan kamera. Udahnya ambil biasa aje untuk kenangan.

Ungkapan dalam ini sungguh mendalam. Kita sebagai umat Islam dan percaya pada pembalasan Allah, pasti akan mengakuinya secara tidak langsung. Fikirkanlah...

Ruangan yang menempatkan kisah-kisah tsunami dan sejarah Aceh. Tayangan di tv itu pula adalah temuramah dengan mangsa tsunami yang masih hidup. 

Bukti bergambar yang dikumpulkan untuk tatapan umum 

Ini menarik. Jika sebelum tsunami, nilai produksi perikanan di Aceh rendah namun selepas musibah tersebut, perlahan-lahan angka meningkat sehingga sekarang. No wonder kami nampak ikan yang besar di jeti. Benarlah seperti firman Allah, setiap kesulitan pasti ada kesenangan. Bila dan bagaimana, hanya Dia mengetahui.  

Pahlawan Aceh yang termahsyur demi menjaga kedaulatan Aceh


Di tingkat 3 muzium pula menempatkan ruang untuk orang awam mengetahui tentang gempa bumi gunung berapi di Indonesia, plus ada kedai souvenir. Tang ni kami tak sempat nak naik sebab masa terhad (ni semua ada sebab kena datang Aceh lagi ni akan datang... hehe...).

Shah kemudiannya bawa kami ke satu lagi tempat kunjungan pelancong iaitu PLTD Apung. Yang ni pun takde rezeki nak masuk dalam sebab rupanya ia dibuka pada umum sehingga 12 tengahari aje. Alahai... kita ambil gambar dari luar aje. Menurut sejarah, di bawah kapal ini masih ada jenazah yang tidak dapat dikeluarkan. Mereka bersemadi terus di bawahnya. Moga Allah merahmati mereka yang bersemadi di bawah kapal besar ini. Amin...

Kapal PLTD Apung 1 ini beratnya 2600 ton. Ia adalah kapal penjana elektrik buat rakyat Aceh pada waktu itu. Kapal ini terseret hampir 5km dari tempat asalnya iaitu di Pelabuhan Ulee Lheue. 

Kemudian, Shah bawa kami ke tempat letaknya kubah masjid yang terdampar di tengah kawasan sawah padi. Memang keliling kawasan ini hanya ada penempatan penduduk kampung dan sawah padi bukit. Catatan menyatakan ia terdampar sejauh 2.5km dari tempat asalnya iaitu masjid Jamek di Kampung Lamteungoh. Maha Suci Allah, hanya air yang Allah kirimkan untuk menghanyutkan kubah yang beratnya 80 ton itu.

Kubah ini terdampar di kawasan kampung dan sawa padi 


Bayangkan kawasan keliling kubah ini digenangi air yang melimpah. Allahu Akbar...

Our last pit-stop selepas selesai melawat tempat bersejarah Aceh ialah Kedai Makan Ayam Pramugari. Kenapa dipanggil ayam pramugari, anda google aje k. Banyak ceritanya di internet. Tapi memang sedap aje makan di sini di kala perut tengah lapar dan dihidangkan dengan lauk yang panas-panas.

Ayam pramugari dan gulai daging kambing dengan nangka. Alhamdulillah sedap. Plus, dagingnya tidak berbau. Pandai orang ni masak.

Gulai kari ayam. 

Air timun teruk dan air sirap betik+buah kabung+cincau. Sedap...

Selesai makan, Shah terus bawa kami ke Bandara Antarabangsa Sultan Iskandar Muda. Selesai sudah percutian kami. Moga ilmu bermanfaat yang dipelajari di sini dapat kami praktikkan dan ianya juga dapat membantu anda sedikit sebanyak untuk merancang di sana.

InsyaAllah jika ada rezeki pada masa akan datang (dan rezeki anda juga), kami teringin nak ke Rumah Cut Nyak Dien, Makam Sultan Iskandar Muda, Benteng Iskandar Muda & Benteng Indraprata, Muzium Aceh, jeti tempat naik ikan berhampiran Peunayong, Taman Gunongan, Taman Putroe Phang (Puteri Pahang) dan of course ke Pulau Rubiah untuk ngetest snorkeling.

Anyway, ada banyak tempat menarik di Aceh ini cuma kita tidak mengetahuinya sangat kerana informasi yang terhad.

InsyaAllah, jika ada ke tempat lain lagi, kami akan kongsikan.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...