Firman Allah: (لقد كان لكم في رسول الله أسوة حسنة) (maksudnya: Sesungguhnya bagi kamu pada Rasulullah itu contoh yang baik).
DENGAN NAMA ALLAH YANG MAHA PEMURAH LAGI MAHA PENGASIHANI

Resipi sambal tempoyak pucuk kayu dengan petai, bila makan dengan nasi panas, tak pandang kiri kanan dah


 Assalammualaikum dan salam sejahtera. Kali ni saya nak share menu yang berjaya dibuat, sambal tempoyak pucuk kayu dengan petai. Saya memang suka menu ni. Masa tak berapa pandai masak dulu, kalau pergi rumah orang Negeri Sembilan atau kedai makan Orang Noghori, saya akan cari menu ni. Kalau ada, memang happy aje menyenduknya dalam pinggan letak kat tepi nasi putih.

Saya pernah tanya mak mertua adik saya daun apa dia letak dalam lauk tempoyak yang ada daun ni. Bila dia sebut aje nama daun-daun tu, saya dah tercengang-cengang. 'Ah sudah! Apa daun pun tak kenal ni. Tahu pucuk ubi aje'. Masa tu memang saya tak reti sangat masak. Dan betullah bak mama cakap, "Camne nak kahwin, potong bawang pun tak reti". Tapi, Alhamdulillah sekarang dah jauh beza tau. Saya dah kenal sayur, potong bawang dan masak lauk yang dulu memang tak tahu langsung. Pengalaman dan keinginan itu mengajar kita untuk cuba kan.

Saya order dengan Ali Ikan sayur yang saya mahu untuk buat lauk sambal tempoyak pucuk kayu dengan petai ni. Alhamdulillah semua ada kecuali daun kaduk. Bukan rezeki dan dapat daun tu kali ni (mungkin Allah takdirkan letak daun ni lain kali). 

Ini bahan-bahan untuk masak lauk tradisional ni.
1 cawan tempoyak
1 ikat pucuk ubi. Ambil bahagian daun bahagian tengah hingga ke pucuk
5 helai daun kunyit
6 batang serai
1/2 pek petai 
1 genggan ikan bilis. 2/3 untuk goreng & 1/3 basuh gitu aje
1 batang kunyit hidup
1 genggam cili padi
1 kotak santan
2 cawan air
2 sudu besar gula
1 sudu kecil garam

Bahan-bahan asas untuk sambal tempoyak pucuk kayu. Boleh tambah daun kaduk, pucuk paku dan pucuk labu.

Penyediaan:
1. Sediakan satu mangkuk air garam. Hiris halus serai dan masukkan dalam bekas air garam tu. Fungsi utama serai dimasukkan dalam air garam adalah untuk mengekalkan warna serai, melembutkan serai, mengurangkan rasa pahit serai, mengeluarkan aroma serai bila masak dan membersihkan serai. 


2. Hiris daun ubi kayu, daun kunyit dan apa sahaja daun yang puan ada stoknya nipis-nipis. Petai pula potong setengah. Daun-daun ini dihiris nipis adalah kerana memudahkan daun cepat empuk bila dimasak, mengurangkan rasa pahit sesetengah daun (rasa pahit tak terlalu menonjol), supaya kuah

tempoyak meresap sekata, memudahkan daun bercampur sekata dan menghasilkan rupa hidangan yang lebih kemas (mudah juga orang tua untuk mengunyah). Lepas dah hiris, celur daun-daun ini dalam air panas mendidih. Kacau sebentar sampai warna hijau daun keluar dan kemudian tapis.


Saya mampu hiris senipis ni aje. Inipun ambil masa setengah jam baru siap.

3. Bila dah nak start masak, kita goreng dulu 2/3 ikan bilis yang direndam dan dibasuh bersih. Bila dah rangup, angkat dan ketepikan. Tuang baki minyak ke dalam bekas lain. 


4. Kisar cili padi, kunyit hidup dan 1 cawan air. Masukkan bahan kisar ini ke dalam kuali panas (api sederhana ya). Kacau sesekali. Biarkan masak dalam 10 minit baru kita letakkan santan + 1 cawan air lagi. Kacau hingga sebati dan sehingga mendidih. 

Biarkan cili masak sebentar agar bila makan tak sakit perut. 

5. Masukkan pula tempoyak. Kacau hingga tempoyak mencair dan mesra. Bila dah mendidih masukkan daun-daun yang dihiris tadi. 


Daun yang dihiris tadi dicelur sebentar dalam air panas mendidih dalam 5 minit bagi mengeluarkan warna hijau dan sedikit pahitnya.

6. Kemudian, masukkan serai yang dihiris tadi. Kacau sehingga semuanya mesra. Masak lebih kurang 5 minit sebelum masukkan bahan lain. 


7. Masukkan pula ikan bilis biasa dan petai. kacau sebentar dan selepas itu masukkan ikan bilis goreng. Kacau lagi hingga sekata. 


Jika suka petai banyak, letaklah dalam 1 paket atau 3 papan petai. Tapi dek kerana petai tu saya nak reserve masak lauk lain, saya letak 2/3 aje dari sepaket. 


8. Bila nampak semua dah sebati dan air dah sedikit memekat, masukkan gula dan garam secukup rasa. 


9. Masak sambal tempoyak pucuk kayu dan petai ini sehingga kuah betul-betul memekat (tapi still ada kuah sikit bukannya kering). 

Ini rupa proses mengacau sambil menunggu kuah memekat. Lebih kurang dalam setengah jam gitu. 

10. Setelah pekat dan anda rasa kena dengan rasanya, bolehlah tutup api dan masukkan dalam bekas untuk dihidang. Menu atau lauk sambal tempoyak pucuk kayu dengan petai ni sesuai sangat makan dengan ikan goreng atau ayam goreng, kuah kicap telur atau kuah pindang asam. 




Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Pelengkap Kegembiraan: Jurnal Kesyukuran

Pelengkap Kegembiraan: Jurnal Kesyukuran
Singkirkan rasa sedih, kecewa dan prasangka kepada rasa bersyukur dan bahagia.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...