Assalammualaikum & salam sejahtera. Ayah mertua yang baik, itu yang saya berikan pada dia. Minggu ini, minggu yang sedih buat kami sekeluarga. Ayah mertua saya, Haji Nazar B. Harun @ Pakcik Ramli telah pergi meninggalkan kami sekeluarga pada tanggal 11 Ogos 2025. Perginya membawa kenangan yang baik buat anak cucu serta menantu. Tak sampai 2 bulan abah sakit dan sakitnya itu bukan kerana sakit lama yang dihidapinya.
14 Jun 2025, Hari ni bangun dalam jam 8 pagi gitu. Setelah beberapa hari tak cukup tidur settlekan order customer, harini bangun lambat skit. Keluar aje dari bilik mandi, saya dengar seperti ada orang memangkas pokok depan rumah. Saya tahu, ni mesti ayah mertua saya. Beberapa hari lepas, dengar dia menelefon biras bertanyakan anak dia. Dia nak minta tolong potongkan pokok depan rumah. Terdengar dia berkata, "Umar dah kerja? Abah ingat nak minta dia potong pokok depan rumah. Dia kerja kat mana?" Entah apa dijawab, saya tak pasti. Tau-tau pagi ni, dia dah buat aktiviti potong pokok. Terus kejutkan suami, "Yang, bangun. Abah awak potong pokok tu. Kang apa-apa hal, jatuh plak."
Suami yang demam, terkejut. Pelan-pelan dia bangun dan segarkan skit muka dan keluar bilik. Tak sempat keluar rumah sebab kena bersihkan kencing kucing depan pintu, tau-tau abah dah siap potong pokok. Waktu ni, saya yang baru keluar bilik dengan baldi baju kotor, nampak dia berehat kat kerusi depan dengan mak. Dia rehatkan diri kejap. Dalam pada saya uruskan apa yang patut kat dapur, tiba-tiba abah tanya, "Fisyah, mesin baju dah gerak ke?" "Dah bah. Esok ajelah basuh baju lain," jawab saya. Lepas tu, dengarlah dia mandi bagi legakan diri.
Tak lama kemudian, tengah saya perangatkan kuah sup untuk makan dengan bihun, nampak mak mertua masuk dapur. Dia ke tempat cawan dan nak buat air. Saya pula yang tengah paling nak amik alas letak periuk, dari sisi mata, nampak abah masuk ke dapur. Nak sarapan sama dengan mak. Tengah tangan saya nak capai alas yang tersangkut di dinding, tiba-tiba, Gedegang! Bunyi jatuh.
Saya paling. Kelihatan abah dah jatuh terlentang sambil mata pandang atas. Saya terus jerit nama dia. Abah yang terlentang tu macam terkejut rupanya. Suami yang tengah buat kerja dalam bilik, bergegas keluar bila dengar saya jerit. Kami berdua lekas bangunkan abah. Abah duduk kat lantai kejap. Wajah dia macam blur dan tertanya-tanya. Lepas semangat dia dah datang skit, pelan-pelan kami bangunkan dia dan dudukkan di kerusi meja makan. Suami dah risau. Dia tengok kepala abah kalau ada pecah atau darah. Alhamdulillah takde. Pantas dia amik kain dan letak ais kiub dalam fridge dalam kain tersebut. Dia tekap area kepala abah yang terhentak tu. Risau takut ada darah beku atau apa-apa kecedaraan dalaman yang tak nampak.
Tak lama kemudian, kami sediakan sarapan abah dan biar dia makan dengan mak dulu. Abah makan skit aje masa ni. Rasanya mood terkejut dia masih ada. Dia bangun dari kerusi dan nak letak cawan ke sinki, suami kata takyah. Nanti dia basuh. Pelan-pelan abah jalan ke depan. Suami bangun juga dan
bawa abah duduk di sofa depan. Masa tu, kami makan dalam suasana tak banyak cakap. Suami pun dah siap wasap adik-beradik dia.Lebih kurang sejam, anak sulung abah datang dengan wife and sorang anak lelaki dia. Mereka bawa abah ke klinik berhampiran untuk buat pemeriksaan doktor. Masa abah kat klinik dan buat x-ray, suami inform, abangnya nak abah duduk semalam di rumahnya. Doktor minta pantau abah dalam 24 jam. Risau kejadian darah beku atau masalah lain muncul. Jika apa-apa berlaku, mudah abang bawa abah ke hospital. Suami terus inform mak dan minta siapkan baju untuk ke Pajam. Selesai urusan di klinik, abang bawa abah balik dan bawa mak sekali tinggal semalam di rumahnya. Waktu ni, kami harap takdelah apa-apa buruk berlaku.
15 Jun 2025, Suami wasap jiran sebelah yang pandai bertukang. Minta tolong dia potong pokok jambu yang buat mak abah asyik risau aje bila tumbuh melebat (sebenarnya tidaklah lebat mana sebab pokoknya kecik aje dan jarang berbuah). Bila suami dah terangkan, dalam jam 8.40 dia datang ke rumah. Depa berdua sekejapan aje potong sebab dia ada chainsaw.
![]() |
Inilah pokok jambu yang depa berdua dok risaukan. |
Kami borak-borak kejap dan bila dah nak masuk rumah, jiran depan rumah balik dari luar dan nampak apa kami buat, terus dia kata, "Eh? Bukan semalam abah kau trim pokok ni ke? Tetiba hari ni dah potong?" Udahnya, encik suami ceritalah apa yang berlaku. Dia cakap lepas dengar cerita, "Itulah semalam. Aku keluar rumah. Nampak dia naik tangga dan siap potong pokok. Aku cakap le pakcik, hati-hati kang jatuh. Dia kata tak adalah. Udahnya aku tunggulah dari jauh tengok dia siap kerja baru aku pi kerja." Syukur masa ni kami ada jiran yang prihatin. Dalam pada masa yang sama, kami tahu, ada jiran mungkin tertanya kenapa biar abah potong pokok dan bukan kami yang anaknya buat. Jawapan pada persoalan mereka, "Pernahkan anda jaga orang tua dan bila kita nasihat mereka tak berapa nak dengar? Pernahkah anda hadapi situasi yang kita kata tak payah tapi dia nak buat juga? Dan pernahkah anda berkali-kali cuba maklumkan pada mak ayah tak perlu itu, tak perlu ini, rehat aje, tapi mereka still nak buat juga?"
Ibubapa kita ada ketika ada degilnya yang tersendiri. Pada mereka, apa yang anak cakap tak perlu nak dengar dan ikut sangat. Sama situasinya dengan ayah saya sendiri. Dia ada masalah jantung tapi ada waktu, dia tak nak makan ubat jantung. Dan pernah sekali, dekat 2 tahun dia skip makan dengan alasan katanya dah ok. Padahal lepas tu, tiba-tiba dada rasa sesak. Ke hospital juga sudah jawabnya.
Berbalik pada ayah mertua yang baik ini, lepas asar aje, tau-tau depa berdua laki bini dah balik ke rumah. Kami musykil. Ingatkan nak duduk sana sampai isyak. Tapi rupanya, mereka berdua tak sabar-sabar nak balik. Entah apa alasan depan nak balik cepat, tak tau lah. Dan petang tu, saya masak lebih skit. Saya buat beef sausage bread, nasi goreng dan telur dadar. Saya ajak famili kak ipar datang. Tahu, mereka semua pun risaukan ayah mertua yang dah berusia 85 tahun ni. Sampai aje mereka lps isyak, saya biarkan mereka berbual dengan mak ayah mertua. Masing-masing risau bila dah jadi begini.
Dari pada hari kejadian hingga 2 minggu pertama, Alhamdulillah tiada apa yang berlaku. Abah macam biasa. Sarapannya, makan tengaharinya, solatnya, tengok tvnya dan tidurnya seperti biasa. Dan syukur, dalam masa ni, abah dan mak sempatlah bercuti dengan keluarga kakak ipar. Salah sorang cucunya belanja atuk dan nenek sempena dapat gaji dari pekerjaan pertamanya. Ingat lagi, punya tak sabar abah nak cuti di PD sampaikan saya yang balik dari jumpa doktor sebab vertigo dia tanya, "Kau sakit-sakit ni, pergi tak ke PD?" "InsyaAllah bah. Pergi. Cuma sibuk skit tu yang tak berapa sihat."
![]() |
Gambar akhir abah mak yang berjalan beriringan semasa bercuti. Suami kena pimpin mak dia juga sebab masa ni mata mak dah makin teruk kataraknya dan jalan pun agak-agak aje. |
Bila terkenang kembali saat makan malam kat restoran di PD, abah ok aje. Sampai dia pergi ke meja orang masak satay dan minta kuih lebih. Esok paginya pula, kami semua elok aje bersarapan kat bilik hotel mereka ramai-ramai. Abah berselera aje makan nasi lemak dan minum teh ais. The way he behave, react, eating, tak nampak dia sakit. Cuma. Cuma satu yang perasan dalam sebulan dua sebelum dia jatuh, ada ketika dia tidur petang dalam bilik. Saya tak pasti sama ada dia sakit masa ni tapi tak nak beritahu anak atau dia sengaja temankan mak mertua yang baring di bilik. 2 minggu yang pertama ini, Alhamdulillah tiada apa-apa yang berlaku. Masuk minggu ke-3, dah start tanda-tanda kesan dari jatuh di dapur kepada ayah mertua yang baik ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan