Pada saya, sama ada kita berkahwin atau tidak, ada zuriat atau tidak, hidup kena belajar percaya pada perancangan Allah. Ingat sentiasa firman Allah ini, “Allah tidak membebankan seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya. Dia mendapat pahala kebaikan apa yang telah dia usahakan dan dia juga menanggung dosa kejahatan yang telah dia lakukan,“(Surah al-Baqarah 2: 286).
Ujian tiada zuriat: Percaya pada perancangan Allah
Pada saya, sama ada kita berkahwin atau tidak, ada zuriat atau tidak, hidup kena belajar percaya pada perancangan Allah. Ingat sentiasa firman Allah ini, “Allah tidak membebankan seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya. Dia mendapat pahala kebaikan apa yang telah dia usahakan dan dia juga menanggung dosa kejahatan yang telah dia lakukan,“(Surah al-Baqarah 2: 286).
Bagaimana hendak konsisten dalam menulis jurnal?
Dan ini saya kongsikan 5 tip bagaimana hendak konsisten dalam menulis jurnal kesyukuran atau apa sahaja jurnal.
- Mulakan dengan 3 perkara – Tak perlu panjang, cukup tuliskan tiga perkara yang anda syukuri setiap hari. Ini membantu mengurangkan rasa tertekan untuk menulis banyak benda.
- Letak di tempat yang mudah dilihat dan dicapai – Letakkan jurnal anda di tempat yang mudah dicapai seperti di tepi katil atau meja kerja, supaya anda sentiasa diingatkan untuk menulis.
- Tetapkan waktu khusus untuk menulis – Pada saya, saya lebih selesa menulis pada waktu awal pagi atau kadang-kadang lewat malam. Jika saya menulis waktu pagi, saya akan recall balik apa yang terjadi semalam. Mungkin sedikit ambil masa sebab kita terlupa tapi jika itu yang memudahkan kita untuk menulis dan mencatat, silakan aje.
- Khususkan apa yang kita suka untuk menulis – Ada orang suka menulis perkara yang disyukuri, maka dia akan ada jurnal kesyukuran. Ada orang suka mengumpul kenangan tempat dia bercuti atau pergi, maka dia boleh mulakan dengan jurnal percutian atau junk journal. Ada orang suka melukis dan doodle, pastinya dia akan ada jurnal doodle atau jurnal melukis. Apapun jenis jurnal, pastikan ada suka dengan apa yang dicatatkan atau dikumpulkan.
- Pelbagaikan warna, corak dan apa sahaja di dalam jurnal kita – Ada waktu kita rasa macam plain aje hidup bila guna pen hitam atau biru aje bila menulis jurnal. Jadi, untuk ceriakan jurnal kita, guna aje pen pelbagai warna bila mencatat. Bukan itu aje, ada boleh letakkan sticker, potongan perkataan, letak benang, gam butang atau gambar menarik yang ada atau apa sahaja untuk menceriakan jurnal anda. Ada waktu, keceriaan itu buat kita rasa ‘hidup’. Dapatkan idea menceriakan jurnal dari medsos. Ramai orang kongsikan jurnal mereka.
Apa yang saya tulis dalam jurnal kesyukuran?
Ini rangkuman apa yang saya tulis dalam jurnal kesyukuran:
- Kesihatan yang baik – Ini sangat saya syukuri. Kerana dengan kesihatan badan. emosi, mental, kita dapat menjalankan aktiviti harian dengan lebih baik dan menghargai nikmat tersebut. Sejak beberapa tahun ini saya ada alami masalah vertigo. Saya tahu situasinya bila vertigo datang. Apa kerja pun susah nak lakukan terutama bila kepala pusing dan mual serentak.
- Anggota badan yang mampu bergerak – Bayangkan bila kaki kita yang selalu melangkah tiba-tiba cramp atau terpaksa bertatih untuk berjalan. Kita akan rasa sangat sedih, tertekan dan rasa diri seperti menyusahkan orang lain. Itu yang juga saya pernah alami dalam 2022 lalu. Kaki tiba-tiba kena plantar fasciitis. Hampir 2 bulan kaki tak mampu nak bergerak. Solat, naik tangga, bangun tidur, semuanya seperti sengsara.
- Kejayaan kecil yang tak tersangka – Syukuri, hargai kejayaan kecil yang kita berjaya capai Sebagai contoh, anda suka makan kek tapi bila memasak, banyak kali kek jadi bantat. Tapi once bila kek naik dengan jayanya, tentu kita akan rasa seronok sangat. Jadi, hargailah momen ini. Tulis dalam jurnal kesyukuran anda. Kalau boleh, tepek sekali gambar kek yang lawa tu.
- Kejayaan menyiapkan to-do list harian – Saya mula menulis to-do list ini dalam 5-6 tahun kebelakangan ini. Alhamdulillah sangat membantu saya untuk menguruskan diri dan mengingatkan kerja-kerja atau urusan yang perlu diselesaikan (kita takde setiausaha, jadi to-do list inilah setiausahanya). Bila kita dapat selesaikan separuh daripada kerja yang disenaraikan dalam sehari, kita bukan sahaja rasa lega tetapi bersyukur kerana Allah bantu.
- Pengalaman baru – Saya sangat hargai sekarang ini apa sahaja pengalaman baru yang Allah berikan. Ia sesuatu yang Allah berikan untuk kita rasai sendiri momen tersebut. Sebagai contoh, pengalaman baru saya dapat mencetak jurnal kesyukuran pertama berbahasa Melayu di Malaysia merupakan pengalaman yang tak pernah saya sangka dapat lakukan. Jadi, saya belajar tentang design, editing, susun atur, pemasaran, pembungkusan dan sebagainya. Ia memang beri pengalaman baru.
- Makanan enak dan rezeki pemberian Allah – Alhamdulillah saya dikurniakan Allah rezeki untuk merasa pelbagai jenis makanan. Dan bersyukur kerana lidah saya boleh masuk makanan-makanan baru yang dicuba. Cuma bab isi dalam haiwan atau makanan yang terlampau pelik, saya takkan cuba. Jadi, rezeki dapat merasa, menikmati dan memasak makanan tertentu, memang saya sangat hargai.
- Penghargaan pada orang yang beri kita rasa bahagia, tenang – Saya sangat hargai orang yang banyak memudahkan urusan saya, membantu saya di saat memerlukan. Pertolongan mereka, saya abadikan dalam jurnal kesyukuran kerana Allah datangkan mereka untuk membantu saya.
- Ilmu baru – Dahulu, saya pernah ada dalam situasi kurang hendak mempelajari ilmu baru. Pada saya, ilmu yang ada dah cukup. Tapi sebenarnya saya salah. Allah ajar saya dengan ‘caraNya’. Syukur, sejak 7-8 tahun lalu, Allah celikkan mata saya. Saya belajar kembali apa sahaja yang penting untuk meneruskan hidup dan kerja saya. Saya belajar juga bab agama, bab memasak, bab menghargai orang dan lain-lain.
- Perkara hebat yang berlaku dalam hidup – Sudah semestinya kita banyak bersyukur kepada Allah bila kita dapat capai sesuatu perkara yang hebat dalam hidup. Allah beri apa kita mahu atau impikan. Dia jadikan ia realiti. Maka, sudah seharusnya kita bukan setakat menulis dalam jurnal, mengucapkan Alhamdulillah tetapi juga buatlah sujud syukur.
- Keindahan alam – Alam ciptaan Allah ini sangatlah cantik, hebat, saujana mata memandang dan mendamaikan. Jika kita berkesempatan berjalan di pantai, mendaki bukit atau gunung, menaiki kapal terbang hatta berjalan kaki di kawasan tempat tinggal, kita dapat lihat betapa beruntungnya kita menikmati dan melihat keajaiban ciptaan Allah pada alam ini. Warna langit yang membiru, angin berpuput lembut, hijau daun yang pelbagai bentu, semua itu sebenarnya secara tidak langsung adalah terapi diri.
- Bantuan yang diterima untuk permudahkan kerja – Pernahkah anda dalam situasi yang menekan dan tiba-tiba ada orang lain datang membantu memudahkan urusan anda? Sudah pasti pada masa itu kita sangat bersyukur kerana ada orang yang menolong kita dalam situasi tersebut. Saya sendiri, sejak membaca buku berkaitan kesyukuran dan terima kasih, saya bersyukur jika suami atau ahli keluarga lain menghulurkan tangan saat saya sedang tak sihat mahupun sibuk dengan urusan tertentu. Mereka telah meringankan beban kerja dan emosi saya. Terima kasih sangat-sangat.
- Apa sahaja perkara baik yang berlaku pada hari tersebut – Tuliskan apa sahaja perkara baik yang berlaku pada anda pada hari itu. Ia adalah kenangan penghargaan pada apa yang Allah berikan. Yang pasti, ia memberi kita rasa gembira, bahagia, syukur, positif dan ceria.
Setiap hari sebenarnya terlalu banyak nikmat yang Allah berikan. Cuma kadang-kadang kita terlupa dan alpa. Jari kita dapat bergerak, mata kita dapat melihat, ada rezeki untuk berbuka puasa, ada ahli keluarga yang sayang kita, itu semua antara nikmat yang kadang kita terlepas pandang dan ambil enteng. Pada saya, jika anda ingin mula menulis perkara yang disyukuri, syukurilah dahulu perkara asas yang banyak beri kita kekuatan dan kesejahteraan hidup, terutama dari segi kesihatan, akidah dan rezeki menikmati makanan. Mama saya, pernah satu ketika, dia terpaksa berpuasa selama 5 hari tanpa makan dan minum melalui tekaknya. Doktor hanya membenarkan air glukos dan antibiotik dimasukkan melalui jarum suntikan. Mama waktu itu, sampai termimpi-mimpi minum air sirap ais untuk hilangkan keinginan dahaganya.
Sejak dari peristiwa itu, bukan sahaja mama, saya sendiri terkesan dengan nikmat rezeki makanan yang Allah berikan. Itu antara perkara penting apa yang saya tulis dalam jurnal kesyukuran awal tahun 2025 ini. Melihat pada mama yang berusaha untuk sihat, mendengar sendiri kata-kata seorang makcik yang menghidap kanser usus di HKL, saya tahu pada usia yang semakin bertambah ini, sudah semestinya kita kena banyak bersyukur berbanding hanya mendengki. Ingatlah pesan Allah selalu dalam surah Ibrahim ayat 7, “Dan (ingatlah) ketika Tuhan kamu memberitahu, “Sesungguhnya! Jika kamu bersyukur pasti Aku akan tambahkan nikmat-Ku kepada kamu dan sesungguhnya, jika kamu kufur, sesungguhnya azab-Ku amatlah dahsyat”.
Sebarkan kegembiraan dan mudahkan urusan
Daripada Abu Maryam al-Azdi, dia berkata kepada Muawiyah, ‘aku mendengar Rasulullah s.a.w bersabda, “Barangsiapa yang diamanahi sebahagian urusan kaum Muslimin oleh Allah kemudian dia menghindar tidak mahu berbuat kebaikan untuk mereka dan menutupi diri daripada melayani keinginan dan keperluan mereka, maka Allah pun akan menutup diri mereka daripada-Nya dan tidak melayani keinginan serta keperluannya.” Setelah mendengarnya, Muawiyah lantas menugaskan seseorang untuk mengurus keinginan manusia. (HR Abu Daud dan at-Tirmizi)
Daripada Abu Musa, Nabi s.aw. bersabda, “Sebarkan kegembiraan dan janganlah menyebabkan orang lain menjauh diri (dengan memerintahkan mereka suatu perbuatan yang berat). Mudahkanlah urusan dan jangan disukarkan.” (HR Muslim)