Menulis banyak manfaatnya. Wanita yang tahu dalam dirinya ada rasa cemburu yang agak tinggi dan terlalu banyak berfikir yang bukan-bukan (dan takut ia menjadi kebimbangan melampau pula) cubalah menulis. Meluahkan rasa hati dalam buku dan pada masa yang sama menjaga mulut daripada mengucapkan perkara tidak baik adalah lebih baik. Beberapa hasil kajian universiti juga jurnal sains menunjukkan bahawa menulis jurnal atau apa sahaja boleh membantu mengurangkan stres, mengurus emosi, mengurus diri dan meningkatkan kesejahteraan mental. Hasil kajian ini saya akui ada betulnya. Sejak menulis buku sehinggalah kepada blog dan jurnal, saya dapati fokus saya untuk rasa cemburu pada orang lain atau dengki atau sedih dapat dikurang. Ia tidak hilang begitu sahaja tapi mampu dikurangkan.
- Wanita yang banyak berfikir (Overthinker): Wanita jenis ini selalu dan sering memikirkan perkara yang sama setiap masa. Susah nak ‘move-on’ dan ‘switch-off’ perkara yang dah lepas. Menulis sebenarnya membantu mereka mengeluarkan pemikiran yang berselirat dan menjadikan ianya lebih tersusun dan jelas. Cuba untuk mengambil pendekatan positif pada perkara yang berlaku dan mengurangkan rasa bimbang. Pertama sekali kena berusaha sangka baik pada Allah.
- Wanita yang sedang hadapi tekanan (stressed dan burnout): Wanita jenis ini selalunya terbeban dengan tanggungjawab yang besar mungkin dalam kerja, keluarga, peribadi mahupun kesihatan. Menulis sebenarnya mampu membolehkan mereka meluahkan emosi tanpa rasa dihakimi dan memberi ruang untuk reflesi diri sendiri dalam membuat keputusan.
- Wanita yang ingin mengenali diri sendiri (self-discovery): Wanita jenis ini selalunya berusia dalam lingkungan 30 hingga 40 tahun. Mereka dalam fasa mencari makna hidup kembali, tujuan atau minat baru. Ada ‘sesuatu’ yang selalunya terjadi pada fasa umur ini. Menulis membantu mereka menggali perasaan sebenar dan memahami keinginan hati. Perasaan ingin berubah dan memperbaiki diri perlahan-lahan meresap masuk dalam diri. Teknik journaling seperti stream of consciousness (menulis tanpa henti) boleh membantu mereka menemui jawapan dalam diri.
- Wanita yang mengalami fasa perubahan hidup: Selalunya terjadi kepada wanita yang baru berkahwin, baru mendapat cahayamata, baru bertukar kerja atau tempat tinggal, kematian orang tersayang dan apa sahaja yang memberi impak agak besar dalam hidup. Menulis membantu mereka menyesuaikan diri dengan perubahan dan mengurus emosi dengan lebih baik. Sebaiknya menulis perkara-perkara baik yang berlaku setiap hari berbanding rasa terbeban, negatif atau yang tidak disukai.
- Wanita yang mencari ketenangan dan kesyukuran: Wanita jenis ini sudah mula mahu menghargai hidup-hidup seharian dan momen kecil yang berlaku dalam hidup. Jika sebelumnya kejayaan hidup adalah dengan melihat perkara besar yang berjaya dirangkul atau diraih tapi kali ini, untuk lebih bersyukur, apa sahaja perkara kecil yang berlaku turun dihargai. Menulis jurnal kesyukuran adalah salah satu cara memberi fokus kepada perkara positif dan meningkatkan kebahagiaan dalaman.
- Wanita introvert atau yang sukar meluahkan perasaan: Wanita jenis menyendiri ini lebih mudah untuk meluahkan perasaan dengan menulis. Jika tidak menulis sekalipun, pasti akan dilakukan pekerjaan yang meralitkan diri untuk tidak memikirkan perkara negatif berpanjangan. Andai jika dia menulis, ia menjadi medium untuk mereka menyatakan apa yang terpendam dan melepaskan tekanan emosi.
Menulis, terutamanya dalam bentuk jurnaling atau diari, boleh menjadi alat refleksi diri yang berkesan. Menulis perkara-perkara baik yang disyukuri, dihargai dan dinikmati adalah antara cara yang mampu menenangkan hati dan menggembirakan diri bukan sahaja untuk saya tetapi wanita lain di luar sana yang ingin membuang rasa cemburu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan