Firman Allah: (لقد كان لكم في رسول الله أسوة حسنة) (maksudnya: Sesungguhnya bagi kamu pada Rasulullah itu contoh yang baik).
DENGAN NAMA ALLAH YANG MAHA PEMURAH LAGI MAHA PENGASIHANI

Jenis-jenis jurnal yang anda boleh tulis (sesuai dengan jiwa anda)

Anda ingin menulis jurnal atau diari tapi tak pasti hendak bermula dari mana? Di sini saya senaraikan jenis-jenis jurnal yang sering ditulis oleh orang di luar sana dan juga saya (saya tulis jurnal kesyukuran). Ada boleh pilih mana yang sesuai dengan jiwa dan memenuhi keperluan diri. Pastikan anda suka dengan hobi baru ini. Sebenarnya menulis jurnal ni bukanlah setakat hobi tetapi lebih kepada kita merakam apa yang terjadi pada diri. Tak mengapa, anda baca dulu dan kemudian pilih.


Jenis-jenis jurnal yang anda boleh pilih untuk meluahkan rasa hati dan melegakan jiwa:
  1. Jurnal harian / Diari harian: Mencatat apa sahaja peristiwa yang berlaku pada hari tersebut. Tidak kira sama ada ia positif, negatif, gembira, sedih atau apa sahaja emosi dan tragedi yang berlaku. Menulis jurnal/diari harian ini membantu mengimbas kembali kenangan dan perasaan dengan lebih jelas.
  2. Jurnal kesyukuran: Mencatat perkara-perkara baik dan nikmat yang diterima sepanjang hari. Sebagai contoh dapat bangun pagi dengan mudah tanpa rasa sakit badan, kawan belanja sarapan, dapat beriadah di taman dengan keluarga, dapat berpuasa sunat dan lain-lain yang anda rasa patut syukuri. Ia lebih kepada rasa menghargai meraikan apa yang berlaku pada diri. Anda boleh dapatkan jurnal kesyukuran pertama anda di laman web ini, Ekspresi Syukur dan anda akan lihat kelebihannya.
  3. Jurnal matlamat: Merekod impian tidak kira sama ada jangka pendek atau jangka panjang, mingguan, bulanan atau tahunan. Biasanya akan disertai dengan strategi untuk mencapainya. Kejayaan dan kegagalan akan direkodkan untuk dijadikan panduan.
  4. Jurnal kewangan: Jurnal ini lebih menjurus kepada mencatat perbelanjaan, simpanan dan pelaburan. Jurnal ini membantu pemiliknya mengawal perbelanjaan, merancang apa yang perlu dibuat dalam jangkamasa tertentu dan mecatat cara mengurus yang terbaik untuk diri dan keluarga. Perancangan tak terjangka juga sudah pasti akan disenaraikan jika berlaku sebarang masalah ekonomi.
  5. Jurnal kesihatan, pemakanan dan kecergasan: Jurnal ini selalunya membantu merekodkan senaman, pemakanan, tidur, kesihatan fizikal dan tahap pemakanan. Jurnal ini membantu anda untuk tampil lebih sihat, bertenaga, mencapai berat dan penampilan ideal serta jika anda sakit, jurnal ini merekodkan aktiviti anda untuk kembali sihat dan mungkin boleh membantu orang lain. Ia juga boleh merekodkan tahap kesihatan ibubapa kita jika mereka hadapi penyakit tertentu yang perlu diberi perhatian. 
  6. Jurnal refleksi diri: Jurnal jenis ini ditulis oleh orang yang mahu menambahbaikkan dirinya. Dia tahu dia ada kekurangan dan kelemahan pada bahagian tertentu dalam hidup, jadinya, dia mahu memperbaiki diri agar lebih baik. Sebagai contoh, jika penulis jurnal ingin memperbaiki cara beribadahnya, mungkin dia boleh tulis solat di awal waktu, baca buku agama dan hadis, bersedekah, puasa sunat dan lain-lain. Jika penulis mahu menjadi seorang yang pembersih dan terurus, dia boleh mulakan catatan dengan membersihkan rumah bahagian mana, guna peralatan apa yang mudah, waktu yang sesuai untuk bersihkan halaman atau dapur. 
  7. Jurnal kreatif (Junk journal): Jurnal jenis ini mengandungi apa sahaja yang berkaitan dengan kreativiti pemiliknya. Anda boleh membuat kraf kertas, lukis doodle, letak puisi atau lagu kegemaran, fesyen terkini, mewarna, melukis atau apa sahaja idea kreatif yang terlintas di fikiran. Anda bereksperimen dengan seni anda sendiri. 
  8. Jurnal melancong dan berjalan: Jurnal ini khas untuk anda yang suka melancong tak kira di mana sahaja. Penulis boleh merekodkan tempat-tempat yang dilawati sepanjang tahun sama ada dalam atau luar negara. Boleh juga meletakkan kisah-kisah menarik yang berlaku sepanjang melancong/melawati tempat tersebut. Saya pernah menulis jurnal ini dahulu tapi lebih di dalam blog internet. Jika anda nak melawat Brunei, Acheh, Ho Chi Minh, boleh try ke blog saya ini, masih ramai yang dapatkan info darinya. Blog Alfimohd. 
  9. Jurnal bullet (Bullet journal): Jurnal ini selalunya ditulis oleh orang yang suka ringkas, padat dan melukis simbol. Ia gabungan diari, perancangan dan lukisan ringkas. Adakala jurnal doodle ini boleh digabungkan sekali dengan jurnal harian atau kesyukuran. 
  10. Jurnal keibubapaan: Jurnal ini khas buat ibubapa yang ingin mencatat dan merekodkan tentang perkembangan anak-anak mereka, pengalaman sebagai ibubapa dan apa sahaja momen yang berlaku sepanjang tumbesar anak-anak. Ia juga mencatatkan pengalaman ibubapa ketika berhadapan dengan situasi anak yang pelbagai dan bagaimana menyelesaikannya. Jurnal ini membantu mengimbas kembali kenangan ibubapa ketika membesarkan anak-anak. 
  11. Jurnal idea: Jurnal jenis ini sesuai ditulis oleh orang yang terlalu banyak idea dan perancangan yang ingin dilakukan. Bagusnya jurnal ini ia membantu menyimpan idea untuk projek perancangan masa hadapan, perniagaan ataupun inovasi yang ingin dilakukan dalam diri. Jurnal ini membantu merekodkan ilham yang datang secara tiba-tiba dan berusaha mengembangkannya menjadi sesuatu yang bermakna.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Pelengkap Kegembiraan: Jurnal Kesyukuran

Pelengkap Kegembiraan: Jurnal Kesyukuran
Singkirkan rasa sedih, kecewa dan prasangka kepada rasa bersyukur dan bahagia.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...