Assalammualaikum dan salam sejahtera. Pesta buku baru ni, saya ada beli satu buku resipi masakan di booth Karangkraf. Buku ni buku lama tapi sebab mereka nak habiskan stok, makanya penerbit jual murah, RM3 aje. Bila buka aje plastik buku Lauk-Pauk Kampung ni, tengok isinya, menarik juga. Walaupun ada beberapa resipi memang dah biasa buat, saya boleh cuba resipi lain yang mudah dan sebelum ni saya tak tahu nak masak (ada satu resipi tu saya suka makan masa arwah makngah ada dulu tapi saya tak pernah tahu cara nak masaknya).
Dalam buku ni, ada lebih kurang 60 resipi. Semuanya lauk simple dan kampung. Dan kali ni, saya nak share a few tips yang ada di hujung bab tentang petua di dapur. Bab Petua Dapur ni ada tu saya lihat saya baru tahu dan kalau boleh nak orang lain pun tahu juga (kita kongsi ilmu yang baik).
![]() |
| Ini buku resipi yang saya beli di PBAKL tu. |
Untuk artikel ni, saya kongsikan 20 petua dapur yang kita boleh gunakan ketika memasak. Moga bermanfaat untuk kita bersama.
- Baca dan fahami resipi sebelum mula kerja memasak.
- Lebih mudah menggunakan sudu untuk mengupas kulit halia kerana bahagian yang berliku itu dapat dikikis tanpa menggunakan pisau.
- Untuk dapatkan air perahan limau yang banyak, guling-gulingkan limau di atas kaunter dapur. Tapis bijinya menggunakan penapis kecil. Lebihan jus boleh dibekukan dan digunakan apabila membuat tomyam atau lauk lain.
- Apabila mengupas sayuran dan buahan, sediakan sebuah besen kecil untuk menampung kulitnya. Kaedah ini memudahkan anda dan dapur kelihatan kemas.
- Apabila membekukan makanan, gunakan bekas yang agak leper. Ini membolehkan bekas diatur kemas dan menyelamatkan ruang. Jika anda ingin membekukan sayuran, celur dahulu dan atur atas dulang. Bekukan sebentar dan barulah masukkan ke dalam plastik dan tutup.
- Parut halia, kunyit, lengkuas dan bawang. Ini lebih pantas dari menggunakan pemutar atau lesung batu.
- Gunakan pisau yang tajam. Bukan sahaja memudahkan pemotongan bahan-bahan bahkan anda tidak mudah luka bila menggunakan pisau tumpul.
- Untuk memastikan hirisan daging cantik dan nipis, bekukan daging separuh beku. Dengan menggunakan pisau tajam ia akan memudahkan masakan anda kerana daging cepat lembur dan masak sekata.
- Sebelum memasukkan kuah atau sos ke dalam bekas, sembur dahulu dengan minyak supaya dapat mengelakkannya dari bertanda.
- Besen dan bekas yang berminyak lebih muudah dibersihkan apabila disapu dengan sedikit cuka.
- Rebus telur dengan satu sudu kecil garam untuk mengelakkankulit telur rebus pecah atau retak.
- Jika sup terlebih masin, masukkan beberapa biji kentang dan didihkan. Kentang ini akan menyerap lebihan garam tadi.
- Untuk memastikan kesegaran telur, letakkan dalam bekas berisi airi dalam anggaran ketinggian 10sm. Telur yang berada di bawah dasar merupakan telur yang paling segar. Jika berada di tengah, ia masih segar tapi hendaklah digunakan segera. Jika telur terapung, ia tidak segar dan hati-hati bila menggunakannya.
- Apabila menyimpan bekas plastik kosong, tabur sedikit garam supaya ia tidak berbau.
- Untuk menyelamatkan nasi yang hangus, letak sekeping roti selama 5 minit untuk menyerap bau hangus tadi. Pastikan jangan mencedok sehingga ke bawah bahagian yang hangus.
- Apabila menggaul bahan yang mengandungi hirisan cili, minyakkan tapak tangan anda supaya kepanasan bahang cili tidak melekat.
- Periuk aluminium akan kelihatan berseri apabila anda merebus kulit epal dengan sedikit air di dalamnya.
- Untuk mendapatkan biskut yang segar, renyokkan 2-3 helai tisu dan letakkan di bahagian bawah kepingan biskut. Tisu akan dapat meresap kelembapan.
- Untuk memastikan daun salad segar lama, balut dengan tuala atau tisu dapur dan isikan ke dalam plastik bertutup.
- Goreng beberapa keping halia untuk menghilangkan bau minyak lebihan gorengan.
Moga tips ini membantu anda di dapur.


Tiada ulasan:
Catat Ulasan