Firman Allah: (لقد كان لكم في رسول الله أسوة حسنة) (maksudnya: Sesungguhnya bagi kamu pada Rasulullah itu contoh yang baik).
DENGAN NAMA ALLAH YANG MAHA PEMURAH LAGI MAHA PENGASIHANI

Isnin, 21 Oktober 2013

Cinnamon Rolls yang lembut dan sedap


Alhamdulillah... berjaya juga saya buat roti cinnamon rolls ni.
Saya bukanlah seorang yang pandai memasak. Nak buat roti, tak pernah seumur hidup membuatnya kecuali buat pizza instant atau puding roti. Saya lebih suka buat masakan yang tidak memerlukan saya menguli roti atau yang sewaktu dengannya. I'm not a pro makanya tak nak lah membazirkan bahan.

Namun, dek kerana dah ditakdirkan makan cinnamon rolls yang adik saya buat masa cuti Hari Raya Aidil Adha hari tu, maka, akhirnya saya terjebak dalam aktiviti menguli tepung ni. Itupun sebab dah teringin sangat nak makan dan for sure kat Nilai takde orang jual cinnamon rolls. Saya godek-godek le You Tube dan akhirnya terjumpalah resipi yang akan-akan macam my sister buat. Jom saya kongsikan resipinya.

Bahan-bahan:
1. 1 paket kecil yis
2. Tepung serbaguna / Tepung gandum (beli yg pek 1kg tu. Saya sarankan guna tepung faizah kerana ia kurang bahan peluntur)
3. 200gm mentega (tak kisah apa brand pun tapi kalau nak ok, amik yang ada ala2 macam salted skit)
4. 1 cawan susu. (Saya guna susu jenama Anchor)
5. Gula perang
6. Serbuk kayu manis
7. Air
8. Garam
9. Gula kastor
10. 2 biji telur
11. Sedikit minyak sayuran / masak. Untuk diratakan di dalam dulang pembakar.
12. 2 buah dulang pembakar.

Penyediaan:
1. Masukkan 1 cawan susu ke dalam periuk kecil. Masak sehingga kelihatan buih-buih kecil. Kemudian masukkan 1/2 dari mentega. Dalam 200gm. Kacau sehingga mentega cair.
2. Letak 1/2 cawan air ke dalam bahan tadi dan kacau sehingga sedikit menggelegak. Padamkan api dan biarkan ia sejuk sedikit.
3. Untuk menguli, sediakan mangkuk besar. Campurkan di dalam bekas 1 paket yis, 2 cawan tepung serbaguna/gandum, 1 cawan gula kastor, 1 sudu teh besar garam dan 2 biji telur. Gaul bahan-bahan tadi agar ia mesra. Kemudian curah sedikit demi sedikit bahan campuran susu dan mentega ke dalam adunan tepung. Curah sehingga habis campuran susu dan mentega tersebut.
4. Tambah sedikit demi sedikit tepung bila adunan masih cair. Tambah tepung dan uli sehinggalah ia agak kental. Jika sudah tidak boleh diuli di dalam mangkuk, letakkan adunan tepung tadi di atas papan atau meja yang sudah ditaburkan dengan sedikit tepung (taburan tepung ini untuk pastikan adunan tidak melekat di atas papan dan mudah diuli). Uli sehingga ia lembut dan tidak melekat sangat di tangan.
5. Kemudian, bulatkan adunan tersebut dan bahagikan adunan kepada dua. Untuk 2 dulang pembakar.
6. Dalam bekas lain, sediakan campuran 1 sudu teh besar serbuk kayu manis dan juga 2 cawan gula perang. Gaul agar ianya bercampur. Letak ke tepi dahulu.
7. Ambil satu adunan dan mula leperkan adunan menggunakan rolling pin. Leperkan sehingga 0.5cm atau jangan nipis dan tebal sangat. Sedang-sedang aje.
8. Setelah itu, sapukan mentega di atas adunan tepung yang leper tadi. Ratakan. Selepas itu, ratakan campuran gula dan serbuk kayu manis tadi di atasnya. Pastikan anda tidak rata ke seluruh permukaan. Tinggalkan bahagian tepi setiap sudut. Ia bagi memudahkan proses anda ketika menggulung dan memotongnya.
9. Untuk menggulungnya, mulakan pada bahagian yang lebar. Gulung perlahan-lahan sehingga hampir ke hujung. Di bahagian hujung akhir nanti, sapukan sedikit air sebagai gam pada adunan gulungan tersebut. Setelah itu, gulung sehingga akhir.
10. Sapukan minyak ke dalam dulang pembakar. Sapu rata ke setiap bahagian.
11. Kemudian anda potong gulungan tersebut sebesar ibu jari anda. Dan potongan tersebut disusun ke dalam dulang pembakar. Setelah penuh diisi, tutup dulang tersebut dengan plastik atau kain lembab dan biarkan ia 1-2 jam untuk kembang. Kalau nak masak esok, boleh aje simpan dalam peti ais sehingga sehari semalam.
12. Setelah kembang dalam 2 jam, bakar adunan roti tersebut ke dalam ketuhar antara 170C - 190c. Bakar lebih kurang 20-25 minit atau apabila cinnamon rolls sudah keperangan permukaannya.
13. Keluarkan dari ketuhar dan biarkan sejuk seketika. Potong roti cinnamon rolls tersebut mengikut petak-petak yang ada padanya. Dan... jom makannnnn...

Rupa cinnamon rolls masa mula-mula masuk dalam dulang...

Rupa cinnamon rolls after 2 hours selepas dia kembang dan montel. :)

Oh ya, jika anda ingin buat krim di atas roti cinnamon tersebut, boleh aje cari di you tube ya. Bukan apa, sesetengah orang tua tak tahan manis, itu yang saya tak buat tu. :)

HAPPY COOKING

Jumaat, 18 Oktober 2013

Resipi Kimbap @ Sushi @ Pulut Gulung untuk semua :)

Assalammualaikum semua...

Dek kerana fenomena Korea ni dah hampir 3 tahun dan sehingga sekarang ini masih lagi kuat (mana taknya, siapa yang kaki 2 days 1 night atau Running Man mesti tunggu aje cerita tu bila time slotnya), saya pun tetiba ada rasa macam nak buat kimbap. Kan dah gi ngetest makan kimbap kat 2 kedai makan korea sebelum ni, so, rasa tu memang tak larilah kan. Masuk aje dek tekak ni.

Dan sudah ditakdirkan Allah, tetiba kawan saya di FB pun sarankan saya buat aje kimbap sendiri. Dia pun dok sarankan beras mana yang sesuai dan siaran kat you tube mana yang patut digunakan untuk cara memasaknya. Dan... Alhamdulillah, masa Hari Raya Aidil Adha baru ni, saya dan adik perempuan saya akhirnya berjaya membuat kimbap korea. Seronok gitu...
Dan yang paling seronoknya, bila our parents yang bukannya suka sangat makan benda pelik2 ni akhirnya menyumbat juga kimbap ke mulut dalam seketul dua. Mak mertua adik saya pun boleh aje makan kimbap ni. Kami suka suka suka tengok mereka makan.... Mungkin barangkali beras yang digunakan rasanya sedikit macam pulut. Itu yang mereka suka dan boleh masuk ke mulut.

Jom saya kongsikan bahan-bahan untuk buat kimbap ni. InsyaAllah senang. :)

Bahan-bahan:


1. Beras short grain (saya guna jenis Sumo mcm gambar di atas). Beras ni ketot-ketot aje tau. Lagi ketot dari beras yang kita biasa makan di Malaysia.
2. Seaweed atau rumpai laut yang dileperkan (alah... macam dalam gambar di atas). Pastikan anda cari yang ada logo halal ya sebab kalau yang semuanya bahasa asing, susah juga sebab tak tau kandungan apa yang ditulis dalam bahasa tu).
3. Minyak bijan
4. Minyak masak (sedikit aje gunanya)
5. Telur 2-3 biji (bergantung berapa banyak anda nak buat kimbap ni)
6. Sebatang lobak merah
7. Sebatang timun
8. Sosej (ayam atau daging, bergantung pada mana yang anda suka)
9. Sedikit garam
10. Bamboo mat atau dalam bahasanya tikar bamboo kecil (boleh le kot ayat ni, hehehee...)

Cara-cara penyediaan (Gambar penyediaan ada di bawah ya. Silalah scroll... :

  1.  Masak nasi dalam 3 pot. Cuci beras macam kita selalu masak tu. Selalunya kalau 3 pot beras, airnya mesti 6 pot. Dan selalunya, jika 3 pot beras anda masak, anda akan dapat dalam 6 gulung panjang kimbap tu.
  2. Masa menunggu beras masak, kita goreng telur dadar. Tarukkan secubit garam dalam adunan telur tu. Goreng seperti biasa. Potong memanjang bila sudah masak.
  3. Buang kulit lobak merah dan potong memanjang seperti mana macam telur juga.
  4. Untuk timun pula, potong kedua-dua hujungnya dan potong memanjang seperti lobak tadi cumanya, jangan ambil bahagian tengah timun yang berair. Tak sesuai untuk diletakkan dalam kimbap. Takut cepat basi. Potong memanjang timun tersebut, Jangan nipis sangat tau. At least, sebesar saiz jari kelingking.
  5. Sosej pula, anda potong empat bahagian memanjang. Sama seperti timun dan lobak.
  6. Goreng lobak merah yang dipotong ke dalam kuali yang diletakkan sedikit minyak. Sedikit aje tau. Kemudian angkat dan ketepikan.
  7. Goreng sosej pula dengan minyak yang sedikit. Setelah agak masak, angkat dan ketepikan. Saya sarankan anda lap minyak yang ada pada sosej dan lobak agar ia tidak terlalu berminyak di dalam gulungan kimbap. Untuk kesihatan juga kan...
  8. Setelah nasi masak, dan agak suam-suam, masukkan ke dalam satu mangkuk besar dan titiskan sedikit minyak bijan ke atas beras dan letakkan beberapa cubit garam. Tang ni, ikut citarasa anda. Kiranya suka rasa tawar, kurangkan garam. Tapi kalau nak sedap, suka-suka hatilah bak kata Chef Amar... Gaul nasi, garam dan minyak minyak itu agar mesra. 
  9. Ambil papan pemotong atau pinggan besar dan letakkan bamboo mat ke atasnya dan letakkan pula sekeping seaweed ke atasnya. Letakkan sedikit nasi yang telah digaul tadi sedikit demi sedikit di atas seaweed dan benyekkan nasi tersebut. Macam gambar kat bawah ni. Benyek keliling kepingan seaweed tu tapi yang dihujung tu jangan taruk banyak sangat sebab takut bila digulung nanti, nasi terkeluar di hujungnya. Tak cantik sangat dah kimbap tu dan membazirlah kan... 
  10. Kemudian, ambil timun dan letakkan ditepi sekali. Ambil sosej, telur dan lobak merah dan letakkan rapat-rapat. Ala-ala macam bertindan.
  11. Bila hendak menggulung, pastikan tangan anda menggulung perlahan-lahan sambil menekan isi kimbap agar tidak terkeluar. Sambil menggulung, tekan sedikit kuat di bamboo mat berisi kimbap tersebut agar seaweed, nasi dan isi kimbap mampat. Gulung pelahan-lahan hingga ke hujung. dan kemudian gelek ke hadapan dan ke belakang bamboo mat berisi kimbap tu. 
  12. Setelah selesai menggulung, kimbap anda akan kelihatan panjang. Untuk memotongnya, potong saiznya sebesar ibu jari. Kalau rasa nak tebal, bolehlah potong ikut suka-suka hati... :)
  13. Dah siap potong semua, bolehlah dihidangkan di atas pinggan panjang atau bulat. Enak dimakan dengan mayonis, sos black pepper dan paling 'hebat' sekali adik saya buat, dibantainya makan dengan sambal tumis ikan bilis. Hehehe...







HAPPY COOKING EVERYONE...

Sabtu, 5 Oktober 2013

Nasi kosong & ayam sahaja

Assalammualaikum...

Entri kali ini bukan berkaitan dengan resipi. Entri kali ini lebih kepada rasa bersyukur sangat atas pemberian Allah kepada saya. Nikmat Allah yang mana hendak kita nafikan...

Saya dan hubby makan tengahari di sebuah kedai makan berhampiran dengan USIM. Kami kadang-kadang suka ke situ kerana lauknya yang banyak, rasanya bolehlah tahan dan harganya juga berpatutan. Kawasan pelajar, rasanya anda sedia maklum yang harga dan kuantiti makanannya memang menarik :)

Masa saya dan hubby hampir selesai makan, tiba-tiba muncul sekumpulan pelajar USIM yang baru selesai ko-kurikulumnya (berdasarkan pakaian yang dipakai). Masa tu takde apa-apa yang menarik sangat. Tapi, sebaik saya duduk kembali selepas cuci tangan, saya terpandang sekumpulan pelajar lelaki dalam 6 orang duduk berhampiran dengan meja kami.

Entah bagaimana, mata saya tiba-tiba tertancap pada pinggan seorang pelajar. Saya pandang. Agaknya dalam 2-3 kali. Lepas tu, saya pandang pula rakan yang duduk di hadapannya. Menu mereka sama. Saya memandang pula pada rakan mereka yang seorang lagi. Ok, ada perbezaan. Untuk pelajar lain, saya tidak perasan tapi terlindung. Dua orang pelajar tersebut hanya makan berlaukkan nasi putih, ayam goreng dan kuah. Tiada sayur. Tiada lauk lain meskipun kedai yang kami makan tersebut, rasanya ada dekat 50 jenis lauklah.

Ya Allah, sedih saya lihat. Saya tahu mereka bukan mereka memilih makanan. Mereka kurang wang saku. Mereka terpaksa berjimat untuk makan. Hanya itu yang mereka mampu. Bila melihat situasi tersebut, saya teringat zaman sewaktu saya belajar dulu. Ya. Saya pernah tempuhi dan alami apa yang mereka rasa. Saya kurang wang. Saya terpaksa ikat perut untuk jimat duit. Saya terpaksa menahan segala macam nafsu untuk berbelanja. Dan pernah sekali, saya hanya makan nasi kosong, berlaukkan telur dan ikan bilis goreng serta kicap. Adakala, saya hanya dapat makan maggi dan roti putih dicelup dengan kuah maggi untuk menghilang lapar. Untuk beberapa ketika...

Memang rasa sedih. Tapi jika difikirkan kembali, semua itu memberi pengajaran dan pengalaman yang tidak boleh ditukar ganti. Allah memberi saya pengalaman itu untuk saya hayati, rasai dan pada masa yang sama bersyukur kerana meskipun saya hanya makan nasi kosong berlauk sedikit tetapi masih ada pelajar yang tiada langsung duit untuk membeli makanan berbuka puasa. Sehinggakan seorang sahabat saya yang baik, memberika separuh daripada makanannya kepada pelajar tersebut. Ya Allah... jika difikirkan kembali, saya masih beruntung. Beruntung yang amat.

Bila melihat orang miskin atau kurang kemampuan, fikiran saya mula kembali pada masa lalu. Adakala saya terkilan dengan status rakan-rakan di FB yang Allah telah kurniakan mereka sedikit nikmat kemewahan hidup berbanding dulu. Mereka lupa yang mereka dulu bagaimana. Mereka lupa yang masih ada manusia yang yang perlukan pertolongan mereka. Mereka lupa semuanya itu nikmat dari Allah untuk dikongsikan dengan orang lain. Mereka lupa kerana mereka sudah senang.

Saya sayang rakan-rakan dan ahli keluarga saya. Moga Allah memberikan hidayah dan membuka pintu hati mereka kembali untuk melihat akan kesengsaraan orang lain. Membantu mereka yang kurang upaya kerana mereka dahulu pernah sebegitu.... Dan yang paling penting, bantu membantu itu memberi ganjarang yang tidak terperi indahnya oleh Allah di dalam jiwa...


LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...