Firman Allah: (لقد كان لكم في رسول الله أسوة حسنة) (maksudnya: Sesungguhnya bagi kamu pada Rasulullah itu contoh yang baik).
DENGAN NAMA ALLAH YANG MAHA PEMURAH LAGI MAHA PENGASIHANI

Isnin, 22 April 2024

Sambal paru orang noghori, lagi pedas lagi best


 Assalammualaikum dan salam sejahtera. 

Saya dah suami memang penggemar paru. Cuma selalunya kami beli dan makan di luar. Jika masak pun, mertua saya selalu buat rendang. Jadi, suami aje yang makan, saya kureng skit. 

Malam raya lepas, adik ipar saya masak sambal paru. Sedap plak rasanya. Raya kedua pula, dia masak sambal paru versi merah pulak. Sedap juga tapi tak cukuplah sebab kami meraikan tetamu yang datang beraya. Jadinya, saya order dengan ali ikan sekilo paru. Apalagi, puas hati dapat makan berulang. 


Bahan:
1 kilo paru direbus 2 jam dan kemudian dihiris nipis
1 biji bawang besar
3 biji bawang merah
3 ulas bawang putih
1 inci halia
1 inci kunyit hidup
2 batang serai dititik
4 batang cili merah
1 genggam cili padi
1 keping asam keping / 1/2 cawan air asam
5 helai daun limau purut dikoyak kasar
Garam dan gula secukup rasa
Minyak untuk menggoreng dan memasak


Penyediaan:
1. Paru yang direbus dihiris nipis. Kemudian, sadurkan dengan serbuk kunyit dan garam. Goreng paru sehingga 80% garing (jangan garing sangat, nanti keras, susah nak makan).


2. Sambil menunggu paru siap digoreng, sediakan bahan sambal. Kisar bawang besar, bawang merah, bawang putih, halia dan kunyit hidup dengan sedikit air. Selepas paru siap digoreng, guna kuali baru, letakkan setengah cawan minyak masak. Panaskan minyak dan kemudian masukkan bahan kisar tadi. 
Masak sehingga sedikit garing.
3. Sementara tunggu garing, kisar kasar cili merah, cili padi dan sedikit air. Setelah bawang tadi garing, masukkan pula cili kisar. Masak sehingga pecah minyak.
4. Selepas itu, masukkan serai dan asam keping. Kacau sebentar dan biarkan ia masak.


5. Masukkan garam dan gula secukup rasa. Masukkan pula daun limau purut. Kacau sebentar dan masukkan paru yang digoreng tadi. Jika ingin ada kuah, masukkan sedikit air. Kacau hingga semuanya mesra dan tutup api. Siap untuk dihidang. 



Ahad, 21 April 2024

Ayam goreng berempah ala kedai nasi kukus


 Assalammualaikum dan salam sejahtera. 

Kali ni, saya gunakan resipi dan teknik adik ipar saya yang pandai masak. She's a good cooker. Jadinya, bila dia balik beraya ni, saya belajar benda baru dengan dia. Dan syukur, teknik dia ajar kali ni membuatkan rumah jadi harum macam kedai nasi kukus 😆😆

Bahan:
1 ekor ayam dipotong ikut saiz yang disukai
3 biji bawang besar
5 ulas bawang putih
2 inci halia
2 inci lengkuas
2 sudu besar serbuk kunyit
1 1/2 sudu kecil garam
7 batang serai
1 sudu besar rempah kari
1 sudu besar biji ketumbar
1 sudu besar jintan manis
1 sudu besar jintan putih
3 tangkai daun kari
Sedikit air untuk kisar bahan
Minyak untuk menggoreng


Penyediaan:
1. Masukkan ke dalam pengisar bawang besar, bawang putih, halia, lengkuas, serai, biji ketumbar, jintan manis, jintan putih dan sedikit air. Kisah hingga 90% lumat. Tips penting: Tapis bahan kisar ini dan masukkan hanya bahan kisar tanpa air ke dalam mangkuk berisi ayam. 
2. Masukkan serbuk kunyit, garam, rempah kari dan 1 tangkai daun kari ke dalam mangkuk ayam. Gaul mesra kesemua bahan tadi. Perap sekurang-kurangnya 2 jam.



3. Bila hendak menggoreng, panaskan minyak dalam kuali guna api sederhana. Tips penting: Goreng ayam sahaja tanpa bahan kisar rempah ratus tadi. Setelah semua ayam siap digoreng, barulah goreng bahan kisar lumat tadi. Goreng guna api sederhana dan masukkan baki daun kari 2 tangkai tadi ketika menggoreng. Goreng sehingga warna bertukar menjadi coklat. Angkat dan tapis minyaknya. 
4. Setelah minyak tersejat, taburkan rempah goreng tadi ke atas ayam goreng. Hiaskan dengan daun kari dan cili padi.


Sabtu, 20 April 2024

Kurma goreng, resipi paklong dan arwah maklong


 Assalammualaikum dan salam sejahtera.

Kurma goreng, resipi paklong & arwah maklong. Enak bila dimakan bila berbuka, lepas tarawikh dan dijadikan kudapan bila teringin. Ini resipinya. Moga bermanfaat.

Bahan:
15-17 biji kurma jenis mariami
3 sudu besar tepung gandum 
1 sudu besar beras
3 sudu besar tepung goreng pisang
Secubit garam
1/3 cawan air (bergantung pada kepekatan adunan)
Minyak untuk menggoreng


Penyediaan:
1. Dalam satu mangkuk, masukkan tepung gandum, tepung beras, tepung goreng pisang, garam dan air. Kacau hingga dapat adunan yang tidak terlalu pekat & tidak terlalu cair.
2. Panaskan sedikit minyak dalam kuali guna api sederhana. Selepas minyak panas, celupkan sebiji demi sebiji kurma dalam adunan dan goreng dalam kuali. Sekali goreng, masukkan dalam 5-6 biji kurma aje.


3. Bila sudah warna keemasan, angkat dan toskan. Goreng kurma yang lain sehingga selesai.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...