Assalammualaikum & Salam Sejahtera semua.
Alhamdulillah, saya baru saje selesai baca buku Cerita Korea Kami 2 hari lepas. Kisah yang sangat menarik.
Sebelum buku ini diterbitkan, saya ada membaca beberapa artikel yang dikongsikan oleh Prof Muhd Kamil di FB tentang 'kisah Korea' penulis Ummu Hani Abu Hassan. Kisah yang dikongsikan dari sudut pandang dan pengalaman sebagai seorang pelajar, isteri & ibu secara tidak langsung membuka satu penceritaan baru selain daripada kisah backpackers yang banyak dikongsikan sekarang.
Secara tidak langsung, kita mengenali 'Korea' sedikit dari jauh.
Sebaik buku ini diterbitkan, saya sudah ada cita-cita untuk memilikinya kerana ingin tahu kisah selanjutnya. Dan kisah dari 4 penulis ini memang tidak mengecewakan. Banyak ilmu, perkongsian, kisah, tip dan sejarah dipelajari secari tidak langsung.
Korea yang terkenal dengan negara gunung dan pulau ini pada sudut pandang penulis amat memandang tinggi pada bangsa sendiri melebihi bangsa lain. Maharaja pertama mereka menyerap tulisan Cina demi mencipta tulisan mereka tersendiri iaitu Hangeul. Mereka juga seperti Jepun, cukup bangga dengan bahasa mereka sendiri sehinggakan sesama mereka juga tidak akan bercakap bahasa lain kecuali Bahasa Korea. Namun mereka ada beberapa kelemahan tersendiri yang dilihat oleh para penulis secara tidak langsung. Jika anda datang dari negara Amerika ataupun berkulit putih layanan atau sudut pandang mereka pada anda akan berubah. Ini yang dikongsi oleh 2 orang penulis dalam buku ini. Ketaksuban mereka kepada Amerika anda dapat lihat jelas pada Kpop, drama hatta rancangan mereka yang lain di tv. Bukan itu sahaja, bahkan wujudnya pelbagai francais kedai kopi ala barat di Korea seperti cendawan tumbuh selepas hujan.
Ketaksuban mereka pada barat mampu membuat mereka cuba menjadi lebih tinggi, lebih galak matanya & lebih mulus kulitnya kebanyakannya dimonopoli oleh mereka yang muda tapi masih ditakuti oleh mereka yang berusia. Kerana ia secara tidak langsung menghilangkan identiti ataupun jatidiri yang ada pada mereka.
Ada satu kisah tentang lagu puisi Permata Untuk Isteri yang disalah anggap oleh para pelajar Bahasa Malaysia di Korea. Silalah baca sedikit artikel kisah di bawah...
Lain budaya, lain cara fikirnya. Saya yang juga suka lagu ini dan juga pernah dihadiahkan encik hubby bait-bait lagu ini masa kami bercinta dahulu menjadi tersenyum sendiri bila membaca kisah ini.
Kisah lain berkaitan berdakwah cara Islam mahupun Kristian membuatkan saya terfikir beberapa perkara. Saya pernah alami situasi yang ada di dalam buku ini satu ketika dahulu ketika menyambung pelajar ke peringkat sarjana. Sebagai seorang Muslim, pegangan agama itu penting. Ia bukan sahaja untuk keperluan diri kita tetapi juga bila sampai masanya bila ada bangsa lain yang berlainan agama bertanya tentangnya, kita mampu menjawabnya dengan cara berhemah. Hidayah itu milik Allah namun berusahalah kita untuk menyebarkan keindahan Islam itu dengan cara sebaik & semoleknya.
Ada beberapa tip yang dikongsikan oleh para penulis jika anda ingin melancong dan membuat sedikit pemerhatian ketika ke Korea.
- Duduk di kerusi khusus dalam kenderaan awam: Jika anda menaiki subway, jika ada kerusi kosong diruangan untuk orang tua, wanita mengandung, orang cacat & anak kecil, anda tidak boleh duduk di kerusi tersebut. Jika anda duduk, mata-mata akan memandang anda sebagai 'tidak bertanggungjawab'
- Jangan biarkan nasi melekat pada penyepit: Dalam budaya Korea, jika anak-anak membiarkan nasi melekat, mereka akan ditegur atau dimarahi ahli keluarga yang lebih tua. Perbuatan ini mirip prinsip Islam yang melarang pembaziran walau hanya sebutir nasi.
- Menulis nama dengan pen merah: Jangan memberi kad ucapan yang ditulis oleh anda menggunakan pen merah. Dalam budaya Korea, jika nama ditulis dengan pen merah bermaksud orang tersebut akan mati dalam masa terdekat atau kita mahu orang tersebut mati dan menjauhi kita.
- Menerima sesuatu dengan sebelah tangan: Di Korea, anda perlu menerima atau memberi hadiah atau berjabat salam menggunakan dua belah tangan. Ini kerana ia dianggap kurang ajar di sana.
- Makan tanpa menghiraukan orang yang lebih tua: Di Korea, jika diajak makan d restoran, anda perlulah mandahulukan rakan yang lebih tua untuk makan. Jika anda makan dahulu, anda dipandang kurang sopan.
- Tidak membawa buah tangan: Jika anda dijemput ke rumah orang Korea, itu tandanya mereka amat menghargai anda. Maka, bawalah buah tangan sebagai menghormati mereka juga.
Jika ingin ke Korea Selatan, tidak perlu bimbang dengan makanan. Kerana kebanyakan makanan mereka adalah dikukus & panggang. Banyak pilihan makanan yang halal. Ada yang harganya berpatutan seperti di pasar-pasar ikan. Syaratnya kenalah menyiasat sedikit apa yang ditawarkan di sana.
Saya kongsikan sedikit beberapa kisah dalam buku ini untuk bacaan anda. Jika ada yang bercadang untuk ke Korea pada masa hadapan, atau belajar di sana atau bekerja di sana, diharap ilmu & perkongsian dalam buku ini dapat membantu...