Firman Allah: (لقد كان لكم في رسول الله أسوة حسنة) (maksudnya: Sesungguhnya bagi kamu pada Rasulullah itu contoh yang baik).
DENGAN NAMA ALLAH YANG MAHA PEMURAH LAGI MAHA PENGASIHANI

Hari Raya dan hubungan silaturrahim keluarga

 


Selamat Hari Raya Aidil Fitri semua. Rasanya tak terlewat lagi untuk ucapkan Selamat Hari Raya kepada pembaca blog EkspresiSyukur. Seminggu sebelum raya, saya busy skit uruskan penghantaran jurnal syukur yang diberi percuma kepada pengunjung Threads yang bertuah. Seminggu pertama raya, saya busy pulak beraya, memasak, mengemas, mengupdate jurnal sendiri dan rehat. Hari ni, baru sempat ngadap blog balik.

Gais, ada beberapa perkara yang saya perasaan sewaktu menyambut hari raya tahun 2026 ni. Ia berkaitan dengan hubungan silaturrahim keluarga. Saya ada 4 kisah untuk dikongsikan dan mungkin dengan kisah ini, anda lebih menghargai orang yang ada pertalian dengan kita tak kira jauh atau dekat.

Kisah Pertama: Ini kisah tentang hubungan makcik dan anak saudara yang tak pernah kenal seumur hidup.

Saya tak pernah jumpa dan kenal anak abang saudara saya seorang ini. Ditakdirkan Allah, 2 tahun lepas, saya dan arwah ayahnya berjumpa di tanah perkuburan area Gombak kerana pengkebumian maklong saya (bulan Ramadan). Kami bertukar nombor telefon dan berbual sebentar dengan mama dan ahli keluarga lain. Dan bila nak raya, saya teringatkan arwah ayahnya. Saya jemput dia dan family untuk datang open house Raya kami sekeluarga di Ampang. Dan disitulah saya dan ahli keluarga berkenalan dengan anak saudara seorang ini.

Waktu ni, kami berbual kejap aje sebab saya dan adik-beradik perempuan + menantu sedang sibuk memasak untuk jemputan yang hampir sampai. Saya pun jumpa dengan ayahnya kejap aje. Waktu mereka nak balik, saya suakan balang cabutan bertuah. Masa tu anak saudara ni mula ingat saya sebab bila dia pergi rumah open house lain, takde bab cabutan bertuah ni (itu yang dia maklumkan bila berwasap).

Oktober 2024, saya dapat wasap maklumkan yang ayahnya telah meninggal dunia akibat masalah kegagalan pada fungsi hati. Entah kenapa, saya teringat terus ke dia. Masa kecil, ibunya telah dijemput Allah, dan kini ayahnya pula. Kiranya seawal umur 20-an, dia dah tiada ibu ayah. Kalau saya di tempat dia, entah bagaimana keadaannya. Dan sejak dari situ, saya sering wasap dia bertanya khabar. Dan masuk tahun 2026 ini, telah menjadi rutin saya untuk menjemput dia datang beraya dengan pakcik belah ibunya serta sepupunya ke Ampang setiap kali mama buat open house. Secara luaran hubungan kami tak sekuat mana tapi oleh kerana saya mengenangkan arwah nenek dan datuknya serta ayahnya yang baik dengan saya waktu kecil dahulu, saya layan baik juga pada dia. Saya nak arwah maklong tahu (mungkin jumpa masa soal jawab depan Allah nanti), hubungan silaturrahim itu masih ada meskipun berpuluh tahun dia telah pergi.


Kisah Kedua: Walaupun 10 tahun sekali berjumpa, air dicincang takkan putus.

Korang pernah ada tak sepupu atau makcik pakcik yang dapat berjumpa 10 tahun sekali atau lebih? Saya ada beberapa orang sepupu yang susah nak jumpa. Selalunya situasi gini berlaku bila mereka duduk/bermastautin jauh, bila kita nak jumpa selalunya timing kita atau dia tak kena, tak berapa rapat dan the worst one bila merajuk atau marah tapi kita tak tahu sebabnya dan bila jemput datang ke rumah atau kita nak ke rumahnya, dia mengelak. Pada saya, semua ni ada hikmahnya dan Allah dah takdirkan.

Dan raya kali ni, entah bagaimana, rezeki saya dapat berjumpa dengan kakak sepupu yang 10 tahun tak jumpa. Sebelum ini ada ziarah mak ayahnya tapi dia tak ada sebab bekerja. Oleh kerana sekarang mak ayahnya tinggal berhampiran dan dia dah pencen awal, dapatlah saya dan family berziarah. Walaupun masa masing-masing limited tapi bila dapat berjumpa dalam sejam tu, rasa rindu dan kenangan yang tersimpan terluah waktu itu. Kita bertanya khabar, mendengar cerita, bercerita, berbual benda yang lama dan baru serta bergelak ketawa untuk kenangan atau topik tertentu. Apapun masalah yang ada, kita tolak ketepi dan bincang sekadarnya aje. Raya adalah waktu untuk kita eratkan silaturrahim tanpa mengungkit perkara yang menyakitkan atau buat stres. Hopefully, ada rezeki, kami dapat berziarah lagi dia dan sepupu-sepupu lain yang jarang bersua muka.


Kisah Ketiga: Hubungan kawan sekolah yang baik itu akan kekal sampai bila-bila.

Nikmat mana lagi hendak kita dustakan dari Allah. Syukur sangat dapat berjumpa kembali dengan jiran-jiran lama merangkap kawan sekolah rendah adalah salah satu rezeki yang baik dari Allah dalam lingkunga silaturrahim ini. Mama dalam tak mahu berjalan sangat masa raya dan orang datang ke rumah kerana tahap kesihatan dia yang macam yoyo, tiba-tiba aje dia buat planning dengan abah. Mereka berdua jemput jiran tetangga yang duduk berhampiran dan ada untuk datang ke open house rumah raya kedua. Weh…! Terkejut badak kejap kami tengok orang yang datang. 3 kali jugalah kami memasak nasi dan lauk (nasib baik adik ipar dan standby pes nasi dalca dia, jadi laju aje siap).

Siap aje bahan masak untuk butter chicken dan saya serahkan bab goreng ayam pada sorang adik saya, saya ke depan kejap. Masa ni mata terus tertangkap wajah yang lama sangat tak berbual panjang dan susah nak jumpa. Jiran merangkap rakan sparring silat saya masa sekolah ada datang dengan familinya. Wah!! Seronok betul kami berborak masa tu. Cerita macam-macam masa tu. Dan nak dijadikan cerita, abah saya boleh pulak dia cetak gambar lama kami semua kecik-kecik bergambar kat tangga berkeping-keping. Dia bagi gambar tu kat famili jiran saya ni. Makin meriah bercerita. Lepas tu, kami berempat + 1 (mewakili abangnya) bergambar kenangan kat tangga rumah kami. Dah comei aje rupa masing-masing.

Gambar lama ni abah boleh hantar pi cuci berkeping-keping kat kedai gambar. Pastu dia edarkan kat setiap family jiran yang datang.

Nah! Ini gambar kami yang ada waktu raya tu. Cuba amik posisi masing-masing. Ini kalau tambah lagi 4-5 orang, mau extend ke belakang skit sebab masing-masing dan besar 🙂

Dan rezeki jumpa kawan lama ni pula berlanjutan lepas asar. Anak-anak makcik pakcik depan rumah datang beraya (mereka ni juga biras adik ipar saya). Bila jumpa aje mereka, hanya Allah yang tahu gembira rasa kat hati. Sambil teman mereka makan, kami borak-borak. Bukan setakat cerita lama tapi cerita tentang mak mereka yang bedridden juga ayah mereka yang semakin lupa (demantia). Bila dengar cerita mereka ini, saya faham dan saya rasa beban kesukaran mereka menjaga. Ditakdirkan Allah juga, adik lelaki bongsu yang satu-satunya juga telah tiada akibat penyakit SLE. Moga Allah beri mereka kekuatan untuk buat yang terbaik demi mak ayah.

Bila mereka dah nak habis makan dan nak balik, tetiba dengar adik ipar cakap nak jumpa member sparring saya kat luar rumah sebab dia wasap nak jumpa (Oh ya, masa saya sibuk di dapur masak butter chicken, saya dengar orang gelak kuat kat depan. Tertanya gak hati. Rupanya adik ipar saya senior member sparring saya ni kat sekolah di Ipoh. Dah memanjang jadinya silaturrahim keluarga kami). Apa lagi, settle aje member adik kakak ni makan, kami keluar rumah. Makin meriah kami berempat berborak kejap. So, saya appreciate sangat momen ni jadinya saya minta adik saya snap gambar untuk kenangan. Kita tak tahu siapa akan dijemput dahulu, jadi gambar itulah kenangan yang ada untuk dikenang dan dihargai.

Ini kalau tambah lagi 4 orang, lagi meriah berborak. Macam-macam benda satgi keluar cerita.

Kisah Keempat: Hari raya dan hubungan silaturrahim keluarga yang sakit

Hari raya ketiga, kami sekeluarga ziarah ahli keluarga mama yang duduk tak berapa jauh dari kami. Mama insist nak pergi juga walaupun tak sihat. Mama nak pergi sebab nak jumpa isteri sepupunya yang didiagnosis kanser usus dan hati tahap 4 dua minggu selepas puasa. Terus tahap 4 ya, takdelah 1,2 atau 3. Jangan katakan maklong saya tu terkejut, suami dan anak menantu pun terkejut sama. Bila bertanya dengan anak sulungnya, dia cerita asalnya maknya tak boleh buang air besar 5-6 hari masa puasa tu. Bila letak ubat klinik untuk mudahkan buang air besar pun tak jalan. Dan entah macam mana, satu hari, maklong sakit perut yang teruk. Paklong bawa ke klinik dan klinik terus buat referral letter untuk bawa ke hospital. Dan waktu ini lah maklong dah masuk wad kecemasan dalam 3 hari dan doktor detect saluran ususnya dah pecah dan nanah merebak kebahagian terdekat. Mereka terpaksa buat pembedahan terus dan pada masa yang sama mereka detect ada tyroid dan rahim kena buang. Allahu Akbar, saya yang dengar sepupu ni bercerita aje dah seriau. Lemah lutut rasanya.

Masa temankan mama jumpa maklong untuk berborak (dia dah 3 hari keluar hospital), saya lihat mama yang ada masalah pendengaran kali ini betul-betul fokus mendengar dan cuba tenangkan hati maklong. Bila saya lihat mama faham apa yang maklong luah dan cerita walaupun suara slow, saya biarka mereka berdua. Tapi ada satu ayat yang buat saya sedih bila dengar sebelum bangun, “kak, saya tak sangka sangat kak. Saya tak sangka..” sambil lap air mata. Aduh… ujian kesihatan ini memang tak disangka. Untuk kuatkan semangat dan yakini diri waktu ini memang sukar. Saya cuma boleh berharap agar Allah kurniakan maklong semangat juang yang tinggi, sabar dan kembali sembuh (dengan izin-Nya) selepas buat rawatan kemoterapi bulan April ni.


Melihat kepada banyaknya rezeki silaturrahim yang Allah kurniakan pada kami dalam beberapa hari sebelum dan selepas raya ini, apa yang saya dapat simpulkan ialah:
  1. Selagi masih hidup, berziarahlah, berjumpalah kerana kita tidak tahu siapa yang akan dijemput Allah dahulu. 
  2. Selagi masih sihat dan ada sedikit kemampuan, berziarahlah. Once bila Allah tarik nikmat sihat, kita dah tak dapat nak berjumpa lagi (terutama jika sudah terlantar di katil).
  3. Ramadan dan raya membuatkan hubungan adik-beradik dan keluarga menjadi rapat. Bukanlah tiada masalah cuma kita ketepikan rasa hati yang tak best tu dulu dan raikan apa yang sepatutnya diraikan.
  4. Dapat berjumpa dengan wajah-wajah lama yang rapat dengan kita buatkan diri kita rasa gembira, bahagia dan teruja. Waktu itu, hati kita penuh dengan rasa bahagia dan cinta yang hanya Allah sahaja tahu.
  5. Meskipun ada saudara mara kita sudah dijemput Ilahi, itu bukan tanda kita biarkan ahli keluarganya sendirian. Ajak mereka, jemput mereka, raikan mereka. Biar mereka rasa nikmat berkeluarga itu meskipun orang tersayang dah tiada.
  6. Jangkamasa yang panjang tidak berjumpa bukan alasan untuk kita tidak berziarahi mereka. Mungkin pada masa itu, Allah belum izinkan. Dan sekarang, bila Allah sudah beri peluang, kita grab. Jangan suatu masa nanti kita menyesal kerana melepaskannya.
  7. Jiwa dan emosi kita berasa tenang dan gembira bila jumpa dengan orang-orang yang jarang kita jumpa tapi membahagiakan jjiwa ini. Jika dulu ada masalah, kita minta maaf dan tolak ego. Lihatlah selepas itu, kita boleh berbual seperti anak-anak kecil yang tak kisah apapun.
  8. Silaturrahim ini secara tidak langsung mengeratkan hubungan kekeluargaan. Kita bertanya khabar, beri kekuatan bila mereka perlukan (terutama buat mereka yang sakit) dan memanjangkan legasi keluarga agar kenal antara satu sama lain.

Antara pesanan Nabi s.a.w kepada umatnya tentang hubungan silaturrahim ini yang kita kena kekalkan ialah;

Daripada Abu Hurairah r.a., Nabi s.a.w bersabda, “Sesiapa yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat maka hendaklah seseorang itu menyambung silaturrahim”. (HR al-Bukhari)

Daripada Anas bin Malik, Nabi s.a.w bersabda, “Sesiapa ingin dilapangkan baginya rezekinya dan dipanjangkan untuknya umurnya, hendaknya dia menyambung silaturahim.” (HR al-Bukhari dan Muslim)

Daripada Jubair Bin Muth’im r.a, Nabi s.a.w bersabda, “Tidak masuk syurga orang yang memutuskan silaturrahim”. Maksud “tidak masuk syurga” di sini adalah tidak masuk bersama golongan terawal (bukan ertinya dia tidak akan masuk syurga selama-lamanya padahal dia memiliki iman.” (HR al-Bukhari dan Muslim)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Pelengkap Kegembiraan: Jurnal Kesyukuran

Pelengkap Kegembiraan: Jurnal Kesyukuran
Singkirkan rasa sedih, kecewa dan prasangka kepada rasa bersyukur dan bahagia.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...