Firman Allah: (لقد كان لكم في رسول الله أسوة حسنة) (maksudnya: Sesungguhnya bagi kamu pada Rasulullah itu contoh yang baik).
DENGAN NAMA ALLAH YANG MAHA PEMURAH LAGI MAHA PENGASIHANI

15 barangan yang membantu wanita menangani stres, sedih dan ribut jiwa


Tahukah anda dalam membantu wanita menangani stres, ribut jiwa dan sedih perlukan juga barangan fizikal untuk membantu penyembuhan dan mengembalikan semangat dalam diri? Ada beberapa barangan yang mampu membantu wanita menangani kemelut emosi yang dialami. Walaupun barang ini bukan penyelesaian mutlak, kehadirannya boleh menjadi alat sokongan emosi dan membantu menstabilkan emosi secara lembut. Penggunaan barangan ini pun tidak seharusnya tertumpu hanya pada satu ke dua jenis sahaja tapi gunakan mana-mana sahaja mengikut situasi dan keinginan yang anda mahu lakukan.

Di sini, kami senarai 15 barangan membantu wanita menangani stres, ribut jiwa juga kesedihan dalam diri.

1. Tasbih atau Tasbih Digital

Fungsi: Ada dua jenis tasbih, terpulang kepada anda selesa guna yang mana satu. Tasbih ini membantu anda fokus kepada zikir-zikir ringkas yang mampu memberi ketenangan jiwa.

Kenapa berkesan: Zikir yang diulang dengan irama perlahan boleh menenangkan degupan jantung dan membawa ketenangan rohani. Allah juga berfirman dalam al-Quran, “(Iaitu) orang yang beriman dan yang tenang hati mereka dengan zikrullah. Bukankah dengan zikrullah itu hati manusia akan menjadi tenang?” (Surah Ar-Rad 13: 28)

2. Al-Quran Fizikal (kecil dan mudah dibawa)

Fungsi: Membaca atau hanya memegang Al-Quran boleh memberi rasa tenang dan selamat. Bukan itu sahaja, bila kita baca terjemahan atau tadabbur ayat al-Quran, ia seolah seperti memberi ilmu baru juga mengingatkan diri akan banyak lagi ujian sukar yang dihadapi oleh para Nabi dan Rasul terdahulu. Kisah-kisah peringatan dari Allah sedikit sebanyak mampu membantu kita menghadapi ujian yang dihadapi.

Kenapa berkesan: Ayat-ayat Al-Quran adalah sumber ketenangan dan memberi rasa dekat dengan Allah. Allah berfirman, “Wahai manusia! Sesungguhnya telah datang kepada kamu al-Quran yang menjadi pengajaran daripada Tuhan kamu dan menjadi penawar bagi penyakit-penyakit batin yang ada di dalam dada kamu dan juga menjadi hidayah serta sebagai rahmat bagi orang yang beriman.” (Surah Yunus 10: 57)


3. Lilin Aromaterapi (Contoh: lavender, ros, sandalwood, serai dll)

Fungsi: Aromanya memberi isyarat kepada otak untuk bertenang dan mengawal emosi. Aroma juga mebebaskan zat-zat kimia yang ada di dalam tubuh badan secara tidak langsung, membuat tubuh menjadi lebih releks dan sebagai pengatur dalam mendapatkan mood yang baik.

Kenapa berkesan: Bau tertentu boleh menenangkan sistem saraf autonomi dan mengurangkan rasa gelisah. Hasil kajian daripada pengkaji di Yogyakarta, Indonesia, penggunaan lilin aromaterapi daripada sirih dan pandan kepada penghidap pesakit hipertensi seperti penghidap stres, cemas, insomnia dan depresi menunjukkan bahawa mereka mampu untuk berasa lebih tenang berbanding sebelumnya.


4. Bantal Kecil atau Bantal Berat (Weighted Pillow)

Fungsi: Memberi tekanan ringan yang menyenangkan seperti pelukan. Memberi rasa nyaman dan tenang. Mengurangkan stres dan kecemasan.

Kenapa berkesan: Tekanan ringan ini boleh membantu otak menghasilkan serotonin dan melawan hormon stres. Mampu mengendurkan sistem saraf yang sedang hadapi tekanan.

5. Jurnal Syukur atau Diari Peribadi

Fungsi: Tempat mencurahkan perasaan dan menulis perkara yang disyukuri. Menyenaraikan perkara-perkara baik yang diterima daripada Allah pada hari tersebut dan secara tidak langsung kita berterima kasih kepada-Nya.

Kenapa berkesan: Menulis secara fizikal dapat mengatur fikiran, mengurangkan beban mental dan meningkatkan perspektif positif. Bersyukur mampu memberi kesan positif bukan sahaja kepada kesihatan fizikal dan psikologi tetapi juga kepada orang sekeliling. “Amat menakjubkan urusan orang yang beriman kerana setiap urusannya adalah baik, dan itu tidak akan berlaku kepada seorang pun kecuali kepada orang yang beriman, Jika dia mendapat sesuatu yang menyenangkan dia bersyukur, maka itu adalah kebaikan baginya. Dan jika dia ditimpa kesusahan dia bersabar, maka itu adalah kebaikan baginya.” (Hadis riwayat Muslim daripada Suhaib r.a)


6. Cawan Kesukaan dengan Minuman kegemaran

Fungsi: Minum perlahan dengan menggunakan cawan atau mug kesukaan memberi rasa keselesaan pada diri. Jika ditambahlagi dengan minuman kegemaran, rasa stres yang ada terasa seperti berkurangan.

Kenapa berkesan: Memberi rasa stabil dan perlahan, yang membantu keluar dari mood “fight or flight”. Bukan itu sahaja, perasaan memiliki waktu tersendiri dengan barang kegemaran mencipta momen tersendiri buat diri.

7. Selimut Lembut atau Shawl Kegemaran

Fungsi: Jika anda perasan, dalam beberapa filem atau drama luar, mereka meletakkan selimut di kerusi panjang, di kerusi bacaan dan semua katil ada selimut? Sebenarnya, mengikut beberapa hasil kejian, menyelimutkan sebahagian atau 90% peratus anggota tubuh sebenarnya memberi rasa selamat dan dilindungi.

Kenapa berkesan: Sentuhan fizikal yang lembut boleh mengaktifkan hormon oxytocin dan melegakan tekanan. Bukan itu sahaja, ia mampu meningkatkan kualiti tidur dan memberi rasa nyaman apabila berselubung.

8. Minyak Aromaterapi Roll-On atau Dititis Dalam Air Mandian

Fungsi: Minyak aromaterapi dengan haruman menyegarkan yang diletak dalam botol roll-on atau diletak dalam botol kecil mampu membantu anda yang stres pantas menghidup haruman tersebut untuk melegakan ketegangan dan ribut jiwa yang datang tiba-tiba.

Kenapa berkesan: Haruman pati dari minyak aromaterapi ini membantu secara tidak langsung anda yang sedang stres dan mengalami perasaan emosi yang tidak keruan untuk meredakan tekanan, kegelisahan dan kemurungan. Bukan itu sahaja, ia membuatkan diri lebih segar, lebih fokus dan peka serta memberikan perasaan tenang. Diriwayatkan daripada Anas bin Malik r.a menceritakan; “Rasulullah s.a.w memiliki wangian bernama sukkah (atau bekas minyak wangi bernama sukkah) di mana Baginda memakai wangian daripadanya.” (Hadis riwayat Abu Daud)


9. Headphone atau Earbuds

Fungsi: Untuk mendengar bacaan Al-Quran, zikir atau muzik yang menenangkan tanpa gangguan.

Kenapa berkesan: Audio tenang secara langsung boleh mengalihkan perhatian dari tekanan dan menstabilkan emosi. Bukan itu sahaja, telinga mendengar perkara-perkara baik dari alunan al-Quran dan zikir berbanding mendengar perkara tidak bermanfaat.

10. Krim Tangan Beraroma atau Losyen Badan

Fungsi: Menyapukan krim perlahan-lahan sambil berzikir membantu bukan sahaja menenangkan diri tetapi juga mengaktifkan deria sentuhan juga bau. Antara bauan yang sering digunakan untuk losyen badan seperti vanilla, lavender, ros, aprikot, minyak argan, aloe vera dan yang sesuai dengan citarasa anda.

Kenapa berkesan: Membantu memberi kelembapan pada kulit dan mengelak dari kulit menjadi terlalu kering. Wangian di dalam losyen turut berperanan menjadikan rawatan kulit ini mesra pengguna dan menenangkan.


11. Kit Melukis atau Mewarna untuk Dewasa

Fungsi: Mewarna mandala (corak simetri yang sering digunakan untuk relaksasi dan meditasi, corak Islamik atau ayat motivasi yang boleh menenangkan minda.

Kenapa berkesan: Aktiviti kreatif mengalihkan fokus dan melegakan tekanan mental. Diri disibukkan dengan melakukan perkara yang disukai semasa kecil. Cuma kali ini tiada orang yang akan ‘judge‘ lukisan atau warna kita teruk.


12. Bakul atau Sudut Kecil dengan Barang “Rasa Selamat”

Contoh isi: Kad motivasi, balang penawar sanubari, ayat Quran pilihan, foto kenangan, permainan yang menyibukkan diri seperti jigsaw puzzle atau alatan kraf bagi mencantikkan jurnal peribadi.

Fungsi: Bakul ini seperti tempat “berlindung” secara emosi bila hati terasa kacau. Kita hanya perlu pilih apa yang mahu dilakukan bagi melegakan rasa hati yang sedang hadapi ribut petir atau banjir.

13. Botol Air Personal

Fungsi:
Minum air dengan segera agar hati dan emosi dapat ditenangkan. Padamkan kemarahan dengan air, itu sunnah Nabi s.a.w.

Kenapa berkesan: Dehidrasi boleh memburukkan stres, jadi botol berisi air ini membantu dengan pantas untuk meredakan kemarahan atau ketidakselesaan pada diri.

14. Buku Motivasi dan Agama yang Mampu Mengembalikan Kembali Rasa Tenang Dalam Diri

Fungsi: Kita menangani stres, ribut jiwa dan sedih dengan cara lebih matang lagi. Iaitu mendekatkan diri kepada agama dan membaca buku-buku motivasi untuk membantu menyembuhkan diri dengan cepat.

Kenapa berkesan: Ini sangat berkesan kerana kita belajar untuk menyembuhkan diri dengan cara diredhai Allah dan belajar daripada cara Nabi s.a.w, para sahabat dan orang alim. Bukan itu sahaja. dengan membaca dan menambah ilmu, kita tahu setiap apa yang berlaku pada diri dan orang sekeliling kita ada sebab tersendiri yang Allah ‘hadiahkan’. Daripada Abu Darda’ r.a, Nabi s.a.w bersabda; “Sesungguhnya para ulama adalah pewaris para nabi. Nabi-nabi pula tidak mewariskan dinar dan dirham. Mereka mewariskan ilmu. Siapa yang mengambilnya ia telah mendapat bahagian yang banyak dan sempurna.” (Hadis riwayat Abu Daud, Tirmizi, Ibnu Majah dan Ibnu Hibban)


15. Barangan Mudah Guna dan Capai Untuk Senaman Ringan (Contoh: tikar/alas senaman, kerusi kecil, tali skipping)

Fungsi: Mengalih dengan pantas rasa sedih, stres dan kecewa dalam diri dengan cara lebih sihat. Bukanlah terus kita ambil barang ini bila sedih tetapi perlahan-lahan kita bangkit untuk hidup sihat kembali.

Kenapa berkesan: Kita tidak cuba larut lebih lama dalam emosi negatif yang membelenggu diri dalam beberapa hari. Kita cuba untuk hidup lebih sihat dan menghargai hidup. Bersyukur kerana masih dikurniakan kesihatan untuk menggerakkan tubuh badan. “There is one thing no one tells you about exercise: how you feel about what you do transforms the effect it has on you.” (David Amerland)

Barangan fizikal ini berbeza bagi setiap orang dalam kondisi masing-masing. Ada orang selesa dengan menyalurkan rasa sedihnya kepada buku-buku motivasi atau agama, ada orang lain pula lebih selesa mengalih perhatian kepada haruman yang melegakan diserta dengan kit melukis dan mewarna. Mereka akan ralitkan diri untuk melakukan perkara yang mampu membawa kepada mood positif kembali. Ia antara cara matang yang cuba untuk dilakukan agar tidak terjebak ke dalam kancah luang lingkup kesedihan yang berpanjangan.

Ada satu mutiara kata dari Dunia Shuaib tentang hentikan pemikiran dan rasa negatif yang mengganggu diri. “Let today be the day you stop harming yourself with negative thoughts. If you are dwelling on the past, let go! It can’t be undone. If we are worried about the future, trust Allah.

Percaya pada Allah. Jika kita sukar nak melepaskan sekalipun, tetaplah cuba berusaha untuk percaya pada Allah. Kerana setiap apa yang Dia lakukan dan rancangkan pada kita, sebenarnya ada banyak kebaikan cuma pandangan mata kasar kita melihatnya sebagai sesuatu yang menyusahkan dan menyakitkan. Kita seharusnya selalu bersedia dengan keadaan apapun takdir yang bakal berlaku. Dan apabila ia berlaku melibatkan rasa jiwa yang tidak menentu, alihkan pada Allah dan kemudian manfaatkan bantuan barangan fizikal yang dikongsikan manfaatnya tadi. Jika anda, wanita yang berusaha menangani stres, sedih dan ribut jiwa, ikhtiarlah menggunakan salah satu barangan fizikal yang disenaraikan pada satu-satu masa. Moga anda bangkit untuk terus menghadapi hari hadapan dengan senyuman.

Jika anda ingin cuba mengalih atau distract fikiran dan rasa negatif dengan cara berkala tapi pasti, anda boleh cuba dapatkan bantuan dengan menulis jurnal kesyukuran. Bila menulis jurnal ini, secara tidak langsung, kita dapat merasakan kasih sayang Allah kepada kita dalam banyak perkara. Anda boleh dapatkan jurnal kesyukuran ini di web Ekspresi Syukur berserta dengan kit awal memulakan penulisan.

Mengeluh tidak pernah memberi apa-apa. Bangkit dan bergeraklah. Ia akan merubah keadaan.” (Muhammad Bin Abdullah) 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Pelengkap Kegembiraan: Jurnal Kesyukuran

Pelengkap Kegembiraan: Jurnal Kesyukuran
Singkirkan rasa sedih, kecewa dan prasangka kepada rasa bersyukur dan bahagia.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...