Sangat penting untuk kita menghormati perasaan dan jiwa orang lain. Mulut kita ada ketika memang ‘tiada insurans’ bila berkata-kata. Kita rasa kitalah orang yang paling betul dan tepat dalam memberikan pendapat dan jujur dalam berkata. Dalam pada masa kita tak sedar, sebenarnya ada banyak hati mungkin telah kita guris, kecilkan, sindir, perlekeh dan remeh. Bila hati dan perasaan orang lain ‘terasa pedih’ dek kerana ucapan kita, hati-hati. Kerana mungkin apa yang kita ucapkan dan perlekehkan itu bakal makan diri kita sendiri ataupun orang yang kita sayang.
Jadi, bagaimana cara kita dapat mengelakkan diri dari berkata perkara yang boleh menyakitkan hati dan maruah orang lain? Di sini saya kongsikan enam cara bagaimana elakkan diri dari meremehkan orang lain.
Dengar Secara Aktif: Apabila seseorang berkongsi perasaan, ilmu atau maklumat baru kepada anda, berikan perhatian sepenuhnya. Ini menunjukkan bahawa anda sedang menghargai pandangan mereka. Jika pun ada rasa kontra, balas dengan cara yang beradab atau berlapik.
Berempati: Cuba fahami dari mana datangnya perasaan mereka. Walaupun anda tidak pernah mengalami perkara yang sama, anda masih boleh mengiktiraf dan menghargai perasaan mereka. Ada
ketika, orang yang bercakap itu barangkali hanya ingin meluah rasa. Jadi, kita belajar untuk berkongsi rasa dan bersikap sewajarnya.Bersikap Baik: Sentiasa memberi respons dengan penuh kebaikan dan hormat. Ingat, setiap orang sedang berjuang dengan cabaran masing-masing. Mungkin pada pandangan kita masalah orang yang meluahkan itu takdelah besar mana tapi ingat! Allah mungkin memberi ilham kepadanya untuk meluah rasa pada kita kerana kita ada solusinya.
Elakkan Menghakimi: Bukan tugas kita untuk menghakimi perasaan atau reaksi orang lain. Sebaliknya, berikan sokongan dan pemahaman. Jauhi diri dari dari rasa bagus dalam banyak perkara. Ini akan membuatkan diri kita cepat meremehkan orang lain. Perbanyakkanlah istighfar jika ada wujud fikiran sebegitu.
Berkomunikasi Secara Terbuka: Komunikasi terbuka boleh membawa kepada pemahaman dan rasa hormat yang lebih mendalam. Kita mendengar dan membalas kata tanpa ada rasa diri lebih baik dari orang lain. Itu secara tidak langsung menjemput perasaan untuk memandang rendah pada orang yang sedang kita bercakap.
Hormat-Menghormati: Wujudkan perasaan hormat-menghormati ketika berhadapan dengan sesiapa sahaja. Mungkin kita lebih berusia dari orang lain sekeliling kita tapi itu bukan tiket dijadikan alasan untuk memandang rendah orang lain dan meremehkan apa yang dilakukan. Jika ada yang salah, ajari dengan cara yang berhemah dan tidak menyakitkan hati.
Jadi seorang yang matang dalam berbicara. Ucaplah perkataan yang tidak menyakitkan hati orang yang mendengarnya. Nabi s.a.w berpesan, “Barangsiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, maka hendaklah dia berkata baik atau diam.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim). Ingatkan diri, setiap perasaan manusia itu sahih dan layak untuk dihormati. Tiada siapa berhak memperlekehkan orang lain tanpa sebab yang sah. Jika ada kelemahan pada individu itu, tegurlah dengan cara yang berhemah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan