Firman Allah: (لقد كان لكم في رسول الله أسوة حسنة) (maksudnya: Sesungguhnya bagi kamu pada Rasulullah itu contoh yang baik).
DENGAN NAMA ALLAH YANG MAHA PEMURAH LAGI MAHA PENGASIHANI

Talam keladi yang pasti terangkat rasanya


 Assalammualaikum dan salam sejahtera. Alhamdulillah dapat buat kuih talam keladi yang sedap ini. Saya jarang minat kuih ni dulu tapi itulah, barangkali perubahan umur dan hormon, tetiba kuih ni jadi idaman nak cuba. Dan syukur, ianya menjadi dengan jayanya. Allah sahaja yang tahu seronoknya.

Ini saya kongsikan resipinya untuk anda cuba. Mana tahu, ada mak ayah anda yang teringin nak makan kuih lama ni.

Bahan-bahan lapisan santan putih:
300gm keladi dikupas dan dipotong dadu
300ml santan
65gram tepung beras
1 sudu kecil tepung gandum
50gm gula kastor
1/4 sudu kecil garam

Bahan-bahan ungu:
100 ml santan
60gm gula kastor
2 sudu besar tepung beras
1 1/2 sudu besar tepung jagung
1 biji telur gred A
1/4 camca teh perisa keladi ( boleh ganti dengan esen vanila)
Secubit garam
5-6 titik pewarna makanan ungu (violet)


Penyediaan:
1. Rebus keladi hingga empuk, kemudian lenyek keladi dengan garfu, tak perlu hancur. Ketepikan dan biarkan sejuk sedikit. Panaskan periuk kukus, balut penutup kukus dengan tuala dapur bersih. Sementara kukus panas, alas loyang bulat saiz 8 inci dengan plastik bersih (pakai loyang empat segi pun boleh). Sapu permukaan plastik dengan minyak masak. Ketepikan.
2. Satukan semua bahan untuk lapisan bawah kecuali keladi yang telah direbus tadi. Kacau rata dengan whisk hingga tidak berbintil. Tapis dan masukkan keladi dan kacau hingga mesra. Tuangkan ke dalam loyang yang telah disediakan. Kukus dengan api sederhana selama 20 minit atau permukaannya kental.


3. Sementara bahagian bawah masak, siapkan untuk bahagian atas. Satukan semua bahan bahagian atas, kacau rata dengan whisk hingga gula larut. Kemudian tapis. Perlahan-lahan tuang adunan dalam loyang tadi. Sambung mengukus dengan api sederhana selama 25 minit. Bila masak, keluarkan kuih dari pengukus dan sejukkan kuih talam sepenuhnya lebih kurang 1 jam. Potong dengan pisau yang disapu sedikit dengan minyak masak. Siap untuk dihidang talam keladi yang sedap.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...