Firman Allah: (لقد كان لكم في رسول الله أسوة حسنة) (maksudnya: Sesungguhnya bagi kamu pada Rasulullah itu contoh yang baik).
DENGAN NAMA ALLAH YANG MAHA PEMURAH LAGI MAHA PENGASIHANI

Potato Chicken Pot Pie, Sesuai Untuk semua orang


Assalammualaikum & Salam Sejahtera. Potato chicken pot pie ni memang senang bila dah ada doh pastri yang siap. Ini resipi baru saya jumpa nampak dalam food network. Nampak sedap. Gigih akak masak resipi baru ni.

Asalnya nak masak guna resipi Jamie Oliver tapi udahnya belek juga resipi di Pinterest. Akhirnya came outlah resipi ikut citarasa lidah Malaysia. Alhamdulillah sedap juga. Cuma, jika nak pedas, boleh makan dengan sambal atau sos potato chicken pot pie ni. 


Bahan:
1 keping kulit puff pastry (Saya guna jenama Kawan)
3 sudu besar mentega
6-7 biji kentang dipotong dadu
3 keping dada ayam dipotong dadu
1 batang lobak merah didadu
1 biji bawang besar didadu
1/4 cili benggala kuning didadu
1/4 cili benggala merah didadu
1 tangkai cili merah dihiris
4-5 biji cendawan butang dihiris
1 cawan kacang peas
1 cawan air
1 1/2 cawan susu masakan
1 sudu kecil lada hitam
1 sudu kecil thyme
1-2 sudu kecil garam (ikut rasa)
1 biji telur (untuk sapuan)
Loyang atau bekas pembakar


Penyediaan:
1. Panaskan oven pada suhu 200°
2. Panaskan kuali dengan api sederhana. Masukkan mentega. Setelah panas, masukkan bawang. Kacau seketika & kemudian masukkan ayam. Kacau & biarkan masak seketika. Kemudian, masukkan lobak merah, kentang & 1 cawan air. Kacau & biarkan ia masak dalam 10 minit.
3. Masukkan pula cili benggala & cili merah. Kacau sebentar & masukkan cendawan. Selepas itu, tuang susu masakan. Masak hingga mendidih sambil mengacaunya. Akhir sekali masukkan lada hitam, daun thyme & garam secukup rasa. Kacau & tutup api. Tuang inti pie dalam loyang. Ketepikan.
4. Taburkan sedikit tepung gandum atas meja/work surface & kemudian ambil sekeping doh pastri & gelek dengan pencanai (rolling pin) sehingga doh separuh nipis dari asal. Kemudian potong sedikit besar dari saiz loyang. Letakkan doh atas loyang inti & tekan kelilingnya. Sapukan telur atas kepingan pastri & masukkan dalam oven. Masak dalam 17-20 minit hingga warna kulit puf kekuningan & sedikit garing. Setelah masak, keluarkan dari oven dan biarkan ia sejuk sekejap dalam 3-4 minit. Kang melecur mulut kita makan potato chicken pot pie yang panas.


Sambal Daging, sekali cuba nak ratah lagi


Assalammualaikum & Salam Sejahtera.

1st time dalam sejarah hidup, saya dapat masak sendiri sambal ni. Dari start potong daging sampai le settle semua. Kalau di Ampang, selalunya mama yg masak, anaknya jadi sous chef aje.

Alhamdulillah sedap & dagingnya empuk. Jika nak sederhana pedas, gula cili kering kerinting & yang lurus berkilat tu 50-50. Kalau nak pedas, of course lah ambil semua cili lurus berkilat. Baru kaw rasanya.

Bahan:
600-700gm daging dihiris nipis & direbus selama 20 minit. Toskan.
26 tangkai cili kering digunting dua & masak dalam air mendidih dalam masa 5-7 minit. Tapis.
2 biji bawang besar dipotong 4
2 batang serai (1 untuk blend & 1 untuk letak dalam kuah)
1 liter air
1 cawan minyak masak
1/3 cawan air asam jawa
3-4 sudu besar sos tomato
5-6 sudu gula (secukup rasa)
2-3 sudu kecil garam (secukup rasa)
1 batang lobak merah potong suku suku
1 cawan kacang peas dalam tin .

Penyediaan:
1. Panaskan minyak dalam kuali pada api sederhana.
2. Kisar halus cili kering, bawang besar & 1 batang serai dengan 300ml air dahulu. Masukkan bahan kisar ke dalam minyak panas. Kacau dan tambahkan baki 700ml air ke dalamnya. Biarkan cili masak sekejap.
3. Masukkan daging. Kacau sesekali. Kemudian, masukkan lobak merah. Masak lebih kurang 8-10 minit untuk empukkan sedikit lobak.
4. Bila sambal kelihatan hampir masak atau gelap sedikit, masukkan air asam. Kacau & masak dalam 3-5 minit. Masukkan pula sos tomato. Kacau.
5. Masukkan gula & garam. Kacau seketika & kemudian masukkan kacang peas. Gaul sehingga mesra dan rasa. Jika tak cukup rasa masin atau sedikit manis, tambahkan gula dan garam lagi. Jika dah puas hati, tutup api & siap.

Bihun Goreng Kicap yang nak lagi makan


Assalammualaikum & Salam Sejahtera.

Tetiba teringin nak makan bihun ni. Entah kat mana saya makan lately tetiba rasa nak lagi. Alhamdulillah sedap untuk 1st attempt.

Bahan:
1/2 paket bihun yang direndam & lembut
1/2 biji bawang besar dihiris
2 ulas bawang putih dihiris
3 sudu besar cili giling
1/3 cawan air
2 sudu besar sos tiram
5-6 sudu besar kicap lemak manis
2-3 sudu kicap pekat
2 sudu kicap cair
1 batang fish cake dihiris
3-4 batang fish ball dipotong 3
1 biji telur
2 batang sawi pendek dipotong
Sedikit minyak untuk menumis

Penyediaan:
1. Panaskan minyak dalam kuali. Masukkan bawang besar. Kacau seketika & masukkan pula bawang putih. Kacau hingga naik bau & sedikit garing. Masukkan cili giling. Kacau sebentar & masukkan air. Kacau & biarkan masak hingga pecah minyak.
2. Masukkan sos tiram, kicap lemak manis, kicap pekat & kicap cair. Kacau hingga mendidih. Masuk fish cake & fish ball. Kacau seketika. Masukkan pula telur. Setelah separuh garing telurnya, masukkan bihun & sawi. Kacau hingga mesra. Jika tawar, masukkan kicap cair atau sedikit garam. .

Sandwich Daging Burger yang sedap & sihat


Assalammualaikum & Salam Sejahtera.

Nak guna daging biasa, butcher yang selalu order tu tak sihat. Makanya, guna ajelah daging burger.
Jika ikutkan, daging belum proses lebih bagus digunakan untuk panggang atau salai dibuat sebagai inti sandwich. Tapi dek kerana itu yang ada, kita guna aje. But then, kita goreng skit daging ni guna minyak zaitun. Sayur pula, kita letak bebanyak.

Jika suka, anda boleh buat special skit, letak telur rebus yang dihiris (telur goreng dalam gambar tu, ayah mertua request sbb dia x makan daging burger). 

Bahan:
6 keping roti
3 daging burger
Sedikit minyak zaitun untuk goreng atau salai daging
1 biji tomato dihiris bulat
1/2 batang timun dihiris bulat
1/4 bawang besar dihiris nipis
1 atau 1/2 keping keju cheddar
Sedikit cili jeruk jalapeno (boleh aje guna apa2 pickles)
Sedikit mayo
Sedikit mustard
Sedikit sos cili


Penyediaan:
1. Goreng atau salai daging burger dengan minyak zaitun. Jangan terlalu garing. Angkat ketepikan.
2. Letakkan 2 keping roti atas pinggan/papan. Sapukan sedikit mayo di atas sekeping roti. Letakkan 4 hirisan timun. Letakkan daging burger atasnya & kemudian letakkan 2 hirisan tomato.
3. Letakkan pula sedikit bawang besar & cili jeruk. Tuang sedikit mustard & sos cili. Letakkan kepingan keju & akhirnya, letakkan sekeping roti di atasnya. Siap.

Kerabu Mangga, kecur air liur


Assalammualaikum & Salam Sejahtera.

Bila nampak mangga muda aje, mulalah telan air liur.
Dan bila rezeki dah depan mata, saya terus beli 3 biji mangga muda di pasar. RM2 aje.
Dapatlah rezeki sepinggan besar kerabu mangga ni.

Bahan:
2 biji mangga muda yang diracik
10 biji tomato ceri, belah 2
1/4 biji bawang besar hiris nipis
1/3 lemon ambil jusnya
1 su besar udang kering direndam 5 minit
1 genggam ikan bilis, direndam 5 minit
4 tangkai hirisan cili padi merah & hijau

Bahan tumbuk:
1 ulas bawang putih
1 sudu kecil belacan dibakar
2 camca besar gula
5 biji cili padi merah
5 biji cili padi hijau

Penyediaan:
1. Udang kering ditoskan & goreng tanpa minyak sebentar (dalam 2-3 minit) Sejukkan & tumbuk. Ikan bilis ditoskan, & goreng hingga garing. Angkat.
2. Bahan tumbuk halus, tumbuk bawang putih & belacan kemudian masukkan gula & cili padi. Tumbuk hingga lumat. Letakkan bahan tumbuk dalam mangkuk besar.
3. Masukkan mangga muda, bawang besar hiris & tomato ceri. Gaul rata. Tambah udang & jus lemon. Gaul mesra.
4. Tambah ikan bilis goreng (tinggalkan sedikit untuk hiasan), gaul. Alihkan kerabu mangga ke dalam bekas sesuai, taburkan ikan bilis goreng & hirisan cili padi. Siap.

Kelio Ayam, macam rendang tapi bukan rendang


Assalammualaikum & Salam Sejahtera.

1st time masak menu ni. Resipinya ambil di buku masakan Chef Hanieliza. Sedap sangat rasanya. Dah macam ala-ala rendang tapi bukan rendang lah.
Ce anda try. Kot suka. Ini resipinya.

Bahan A:
8 ketul ayam dibersihkan
1/2 cawan air
1 kotak kecil santan
5 helai daun limau purut
2 keping asam gelugur
2 senduk kecil minyak masak
Garam secukup rasa

Bahan B (dikisar):
10 biji bawang merah / 1 biji bawang besar
3 ulas bawang putih
20 tangkai cili kering
5-7 tangkai cili padi
1 inci hali
1 inci kunyit hidup /serbuk
2 batang serai
3 biji buah keras

Penyediaan:
1. Panaskan minyak dalam kuali & tumiskan bahan B hingga wangi & pecah minyak.
2. Masukkan ayam & kacau rata. Bagi matikan darah ayam yang keluar. Kemudian, masukkan air. Kacau seketika & biar ia mendidih. Guna api sederhana. Kacau sesekali.
3. Selepas itu, masukkan santan, asam gelugur & daun limau purut. Kacau sebentar & masukkan garam.
4. Masak hingga kuah memekat & pecah minyak.
5. Sedia dihidang.

Sambal Tumis Sardin


Assalammualaikum & Salam Sejahtera.

Di kala takde idea or malas, menu ini menjadi penyelamat. Boleh makan dengan nasi, roti, lempeng hatta cekodok.

Bahan:
1 tin besar sardin / mackerel
1/2 biji bawang besar hiris bulat
1 senduk nasi penuh cili kisar
3 camca besar sos cili
1/2 cawan jus asam jawa
3-4 batang cili padi potong dua
1 batang serai, dititik
1 biji kentang dipotong 6
1 cawan air
Garam & gula secukup rasa
Sedikit minyak untuk menumis

Bahan tumbuk/blend:
1 biji bawang besar saiz sederhana
2 ulas bawang putih
1 inci halia
1/2 inci lengkuas
1/2 inci belacan

Penyediaan:
1. Panaskan minyak dalam kuali, tumis bahan tumbuk/blend halus hingga harum. Kemudian, masukkan serai & cili kisar, tumis hingga garing. Masukkan pula sos cili, gaul & masakkan sebentar. Masukkan sos sardin tin (jangan masukkan ikan lagi ya). 2. Masukkan air & kentang. Kacau & biarkan kentang masak hingga separuh empuk. Tuang jus asam jawa & masak hingga sedikit pekat. Masukkan cili padi. Kacau sebentar.
3. Masukkan hirisan bawang besar & perasakan dengan garam & gula secukup rasa,. Kacau sebentar & masukkan ikan sardin. Kacau perlahan & masak dengan api kecil hingga kuah memekat. Siap.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...