Petua menjemput rezeki ini tidaklah tertakluk kepada wang sahaja. Rezeki jika dibesarkan skopnya boleh merangkumi kesihatan, hubungan baik dalam keluarga, miliki jiran yang baik, mudah beramal ibadah, dapat bersedekah atau kongsi rezeki, dapat menambah ilmu dan pengalaman baru dah mungkin juga miliki kawan-kawan yang baik dan mudah membantu. Rezeki ini luas definasinya. Dan kali ini, saya ingin kongsikan ilmu baru yang dibaca dalam kitab Bayan Linnas: Penjelasan isu semasa jilid 1 terbitan Karya Bestari. Moga ia membantu saya dan anda dalam mendapatkan rezeki yang baik, dirahmati dan tidak disangka-sangka serta menjadikan kita orang yang lebih bersyukur.
8 petua menjemput rezeki berkat dari Allah:
- Solat subuh berjemaah. Ini kerana banyak kelebihan pelaksanaan solat subuh berjemaah. Inilah yang dilakukan oleh salf-al-soleh.
- Melazimi membaca surah al-Waqiah pada setiap malam. Rasulullah s.a.w bersabda, “Siapa yang membaca surah al-Waqiah pada setiap malam, nescaya dia tidak akan ditimpa kefakiran selamanya.” (HR al-Baihaqi)
- Melazimi istighfar dengan sebanyak-banayaknya setiap hari. “Sehingga aku berkata (kepada mereka): Pohonkanlah ampun kepada Tuhan kamu, sesungguhnya Dia adalah Maha Pengampun. (Sekiranya kamu berbuat demikian), Dia akan menghantarkan hujan lebat mencurah-curah, kepada kamu; dan Dia akan memberi kepada kamu dengan banyaknya harta kekayaan serta anak-pinak ; dan Dia akan mengadakan bagi kamu kebun-kebun tanaman serta mengadakan bagi kamu sungai-sungai (yang mengalir di dalamnya).” (Surah Nuh 71: 10-12)
- Melazimi doa dan taubat terutamanya ketika senang. Daripada Abu Hurairah r.a, Nabi s.a.w bersabda; “Sesiapa yang suka Allah mustajabkan permohonannya ketika dalam kesukaran dan kepayahan, maka hendaklah dia memperbanyakkan doa pada waktu senang.” (HR Tirmizi)
- Melazimi qiamullail. Daripada Bilal Bin Rabah r.a, Rasulullah s.a.w bersabda, “Hendaklah kamu melaksanakan qiamullail kerana ia merupakan perjalanan orang soleh sebelummu dan sesungguhnya qiamullail mendekatkan kepada Allah dan menegah daripada dosa, menghapuskan kesalahan dan menjauhkan penyakit.” (HR Tirmizi)
- Melazimi sedekah. Hal ini bertepatan dengan sebuah hadis bahawa Allah mengutuskan malaikat yang mendoakan kepada pemberi sedekah setiap pagi dan malam. Dan bukan itu sahaja, Allah juga berfirman dalam surah Saba’, “… Dan apa sahaja yang kamu dermakan maka Allah akan menggantikannya dan dialah jua sebaik-baik pemberi rezeki.“
- Menyambung silaturrahim. Hadis daripada Anas bin Malik r.a. berkata, Nabi s.a.w bersabda, “Sesiapa yang mahu Allah kurniakan rezeki dan panjangkan usianya, maka hendaklah dia menyambung silaturrahim.” (HR al-Bukhari)
- Memperbanyakkan selawat ke atas Nabi s.a.w. Antara kelebihan selawat, “Sesiapa yang mengucapkan selawat kepadaku satu kali maka Allah akan berselawat baginya 10 kali dan digugurkan 10 kesalahan (dosa)nya, serta ditinggikan baginya 10 darjat/tingkatan (di syurga kelak).” (HR al-Nasa’i daripada Anas bin Malik)
Buku: Zulkifli Bin Mohamad Al-Bakri. 2018. Bayan Linnas: Penjelasan Isu-Isu Semasa Jilid 1. Karya Bestari. Selangor.


Tiada ulasan:
Catat Ulasan