Assalammualaikum dan salam sejahtera. Meraikan nikmat yang kelihatan kecil sebenarnya tidak mudah. Ini kerana kita selalunya ambil mudah perkara-perkara ini akibat beranggapan ianya tidak menyumbang kepada impak yang besar dalam hidup.
Cuba anda bayangkan. Bayangkan kaki yang anda selalunya mudah melangkah ke mana sahaja hatta ke bilik air, tiba-tiba bila hendak melangkah setapak aje terasa sakit. Hendak turun naik tangga pun terasa mencucuk ke buku lali. Itu belum lagi hendak bersolat. Kita tidak dapat menggerakkan tubuh seperti biasa. Itu yang saya hadapi bila terkena penyakit Plantar Fasciitis dua setengah tahun lalu. Keradangan pada bahagian otot dan anggota kaki ini menyebabkan saya bangun dari katil untuk ke bilik air menjadi sangat payah. Itu belum lagi bila hendak berwuduk, bangkit dari antara dua sujud, turun tangga dan sebagainya yang melibatkan pergerakan kaki. Terasa azab. Sehinggakan terpaksa jumpa pakar fisio untuk redakan kesakitan dan belajar kembali berjalan.
Cuba anda bayangkan pula udara dan oksigen yang anda sedang sedut sekarang ini. Bayangkan anda tidak boleh bernafas seperti biasa. Anda terpaksa membawa tong oksigen (oxygen concentrator) ke mana sahaja sebaik bergerak. Itu belum lagi anda terpaksa membayar harga tong oksigen tersebut yang bernilai lebih kurang RM4800 untuk setahun ataupun anggaran RM20 sehari. Bila habis aje oksigen dalam tong ini, kita terkapai-kapai seperti ikan yang keluar daripada air. Itulah yang dirasai oleh mereka yang berhadapan dengan penyakit kritikal seperti buah pinggang, paru-paru, lelah dan lain-lain. Hidup tidak sama seperti dahulu. Duit harus diketepikan dengan agak banyak demi meneruskan kelangsungan degupan jantung.
Bila kita lihat banyak perkara-perkara kecil tapi memberi kesan besar dalam hidup membuatkan kita belajar menghargai dan mensyukuri. Hargai kerana dengan adanya nikmat kecil ini segala urusan harian kita berjalan lancar. Syukuri kerana Allah masih mahu meminjamkan lagi kepada kita 'pemberian' milik-Nya agar kita dapat terus bernafas dan menyumbang. Meraikan nikmat yang kelihatan kecil ini sudah semestinya perlu diterap kepada diri kita sejak kecil lagi. Namun, tak semua ibubapa atau penjaga tahu tentang isu ini. Cuma apa yang boleh dilakukan sebaik kita 'diberi ilmu oleh Allah' adalah dengan mewar-war tentangnya, berkongsi tentangnya dengan orang lain dan mempraktikkannya.
Setiap nikmat, walaupun tampak kecil dan biasa, adalah anugerah yang patut dihargai. Apabila kita kehilangan sesuatu yang sering dianggap remeh, kecil, tak ada apa-apa, barulah kita sedar betapa besarnya impak nikmat tersebut dalam kehidupan kita. Oleh itu, marilah kita belajar untuk sentiasa bersyukur, menghargai, berterima kasih dan meraikan setiap detik, perkara, dan peluang yang hadir dalam hidup. Dengan meraikan nikmat yang kelihatan kecil ini dengan penuh kesyukuran, kita akan lebih menghargai kehidupan dan mengisinya dengan makna serta perkara yang bermanfaat.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan