Assalammualaikum dan salam sejahtera. Belajar melepaskan dan fokus pada perkara lain bukan semudah diucapkan. Melepaskan perkara yang dah sebati dengan jiwa dan tabiat kita adakala betul-betul mengambil masa. Kita bertarung dengan emosi dalaman sendiri yang orang lain tak nampak.
Lebih 10 tahun saya berjuang dalam diam untuk bangkit semula dari kemurungan, tekanan dan ketakutan. Hanya seorang dua sahaja yang tahu betapa saya 'struggle' untuk teruskan hidup. Depan orang lain, mereka lihat saya takde masalah, happy aje, tak banyak kerja, banyak rehat dan sebagainya. Dalaman, tak ada seorang pun tahu. Hatta adik-beradik dan ibubapa saya pun tak tahu (tapi rasanya bila mereka baca ni, baru mereka tahu. Pandaikan saya simpan rahsia 😉). Pada saya masa itu, masalah saya biar saya cuba selesaikan sendiri. Elak untuk tidak menyusahkan dan membebankan orang lain. Ialah, orang lain pun ada masalah tersendiri, takkan kita nak bebankan mereka berlebihan pula.
Allah tahu saya ada masalah dalaman ini. Semestinya Dia tahu sebab Dia yang beri. Jadinya, Dia juga yang 'menyuluh' saya bagaimana untuk menghadapinya. Step by step, phase by phase saya mula bangkit. Meskipun nampak slow sangat perubahan tu tapi still ada perubahan. Allah 'minta' saya kembali pada Dia mula-mula sekali melalui membaca al-Quran. Ya, dah lama waktu itu saya tak mengaji. Saya tak mengaji sangat sebab ada seorang ustazah ni masa sekolah rendah dulu boleh kata pada anak murid, "Jika awak tak pandai baca quran, jangan mengaji. Berdosa. Nak baca quran kena betul-betul pandai." So, benda tu macam dah tertanam dalam kepala otak saya (budakkan, otaknya macam span. Serap aje apa orang kata dan ajar). Dan bila dah besar ni, baru saya tahu ustazah tu yang tak pandai. Dia tak belajar tentang hadis Nabi s.a.w yang menyatakan orang yang tak pandai baca quran tapi berusaha untuk membaca, akan dapat 2 pahala. Ini hadisnya. Anda boleh amalkan.
Imam Bukhari dan Muslim meriwayatkan daripada Aisyah r.ha, Rasulullah s.a.w bersabda, "Orang yang membaca al-Quran dalam keadaan dia mahir membacanya, (kelak dia akan) bersama para malaikat pembawa risalah, mulia, lagi taat (kepada perintah Allah). Manakala orang yang membaca al-Quran dalam keadaan dia mengulang-ulang bacaannya (kerana tidak mahir membaca al-Quran) serta berasa sukar membacanya, maka baginya dua pahala."
Alhamdulillah, saya dapat membaca kembali al-Quran. Saya juga dipertemukan dengan al-Quran terjemahan yang bagus oleh arwah makcik saya. Dari situ, baru saya tahu bahawa ada banyak kisah menarik, ilmu baru, sains, sejarah, geografi, hukum pembahagian harta, adab perceraian, kejadian alam semesta ada dalam al-Quran. Ia meliputi banyak perkara sebenarnya bukan semata-mata agama sahaja. Ia cara hidup.
Selepas Allah buka mata saya dengan al-Quran, perlahan-lahan saya kembali belajar tentang hadis, sirah, membaca buku motivasi dan kisah travelog orang lain. Allah juga kurniakan saya kerja dalam industri buku selepas saya berhenti kerja. Benda-benda seperti ini banyak membantu saya untuk belajar melepaskan dan fokus pada perkara atau buku yang membahagiakan hati. Saya juga ditakdirkan berkenalan dengan seorang penulis buku kanak-kanak sewaktu kami kursus penulisan bersama. Dari dia juga saya belajar divert ilmu saya ke arah penulisan blog. I share everything that I want and like. Dari kisah biasa-biasa, resipi, ilmu dan juga percutian. Ini semua membantu saya tidak memikirkan sangat masalah atau kekecewaan yang berlaku dalam diri.
Cemburu melihat orang lain berjaya, itu tidak dinafikan kerana sewaktu belajar dulu saya boleh dikatakan bagus dalam pelajaran. Tapi takdir Allah, tak siapa tahu dan jangka. Bila rancangan kita 'ranap', impian kita berkubur, apa yang kita boleh harapkan adalah Allah tak tinggalkan kita dan bantu kita meneruskan kelangsungan hidup. Dan pada waktu itu, jika saya berjaya melepasi satu-satu halangan, happynya hanya Dia tahu. Dan syukur sangat bila Allah 'pertemukan' saya dengan jurnal kesyukuran sewaktu covid. At least saya tahu dan belajar bersangka baik bahawa apa yang Allah beri, takdirkan pada kita itu adalah cara Dia mendidik, mengajar dan mematangkan kita. Kita hanya akan tahu hikmahnya selepas beberapa ketika. Saya fokus banyak pada perkara-perkara lain yang membantu menenangkan hati, menggembirakan jiwa dan menambah ilmu baru kepada diri sejak dari itu. Kalau ada 'ling-long' skit emosi pada hari-hari tertentu, most of the time, saya akan cari novel atau buku yang saya suka untuk lupakan masalah yang ada. Saya cuba elakkan untuk larut dalam mainan emosi negatif.
Hidup ini tak lama, jadi belajar melepaskan dan fokus pada perkara yang bukan sahaja membantu beri ketenangan kepada diri tetapi juga membuatkan hati kita gembira kerana dapat menyumbang kepada kebahagiaan orang lain. What past is past. Just enjoy the moment and create something wonderful in the future.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan