Firman Allah: (لقد كان لكم في رسول الله أسوة حسنة) (maksudnya: Sesungguhnya bagi kamu pada Rasulullah itu contoh yang baik).
DENGAN NAMA ALLAH YANG MAHA PEMURAH LAGI MAHA PENGASIHANI

Sebarkan ilmu demi kemajuan manusia. Jangan kedekut ilmu.

Jom baca kisah menarik ini. Ilmu yang ada adalah untuk dimanfaatkan..

Dia yang ingin memadamkannya...
Abdullah bin Wahab al-Misri datang ke Iskandariah untuk menjaga keselamatan negeri itu di sempadan. Maka rakyat Iskandar datang kepadanya dan meminta beliau untuk mengajar mereka ilmu. Namun, beliau menjawab, “Ini negeri ibadah.”

Beliaupun menumpukan kepada ibadah di samping tugasnya mengawal keselamatan negeri. Dua hari kemudian, seseorang menemui beliau & memberitahu: “Aku bermimpi melihat tuan di dalam sebuah masjid besar menghadap Masjidilharam. Di dalamnya ada Baginda Rasulullah, di sebelah kanan ada Sayidina Abu Bakar dan di sebelah kirinya Sayidina Umar. Kamu duduk di hadapan Baginda.”

Lelaki itu memberitahu lagi, “Di dalam masjid itu juga ada lampu-lampu yang bersinar dengan terang sekali. Kemudian salah satu lampu itu terpadam. Lalu Rasulullah berkata kepadamu: ‘Bangunlah Abdullah, nyalakan lampu itu’. Engkaupun menghidupkannya. Kemudian, perkara sama berlaku pada lampu-lampu lain. Selepas beberapa hari, aku lihat kesemua lampu dalam masjid itu hampir padam. Abu Bakar berkata: ‘Ya Rasulullah, tidakkah engkau melihat lampu-lampu itu?’ Jawab Rasulullah: ‘Ini perbuatan Abdullah. Dia yang ingin memadamkannya.’”

Sejurus mendengar cerita mimpi itu, menangislah Abdullah. Orang itu berkata, “Aku datang untuk menggembirakanmu. Kalau aku tahu mimpi itu membuatmu sedih, aku tidak akan datang menemuimu.”

Abdullah menjawab: “Tidak mengapa. Mimpi itu peringatan bagiku. Aku menganggap ibadah lebih penting daripada menyebarkan ilmu. “

Sejak hari itu, beliau tidak mengabaikan tugas menyebarkan ilmu. Beliau mengabdikan diri kepada rakyat Iskandariah dengan menjadi sumber ilmu.

(Rujukan: Tartib al-Madarik, al-Qadhi Iyad)

Pengajaran: Menyebarkan ilmu adalah ibadah yang penting lagi utama. Umat tidak akan maju jika orang yang berilmu menyimpan ilmunya dan tidak mengajar kepada orang lain.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...