Firman Allah: (لقد كان لكم في رسول الله أسوة حسنة) (maksudnya: Sesungguhnya bagi kamu pada Rasulullah itu contoh yang baik).
DENGAN NAMA ALLAH YANG MAHA PEMURAH LAGI MAHA PENGASIHANI

Pahala Berterusan Selepas Kematian

Assalammualaikum.

Pagi semalam, buat kali keduanya saya dikejutkan dengan pemergian seseorang yang saya kenali. Meskipun tidak mengenalinya secara rapat namun saya amat berharap dan berdoa agar rohnya ditempatkan di kalangan hambaNYA yang dirahmati dan disayangi. Moga kebaikan yang diberi sepanjang hayat mendapat ganjaran baik dari Allah swt.

Sabtu lepas, saya dimaklumkan oleh ibu saya yang atuk saudara saya di sebelah abah telah meninggal dunia sewaktu menjalani pembedahan perut. Umurnya dalam lingkungan 90-an. Manakala pagi ini, saya dimaklumkan oleh ibu mertua saya yang seorang ustaz yang merawat anak saudara saya dan saya satu ketika dulu telah meninggal dunia kerana masalah jantung. Umurnya dalam lingkungan 40-an (barangkali). Ya, jarak umur yang jauh berbeza dengan kadar kesihatan yang berbeza jika dilihat pada angka umur mereka. Namun, kematian itu datang tanpa kita tahu bila waktu dan keadaanya.

Kematian seperti ini pasti menjadi keinginan semua orang. Syahid adalah idaman setiap Muslim yang beriman.

Dan pagi ini, Allah seolah menyuruh saya membaca tafsiran akhir kata-katanya dalam surah Yasin.

"Maka Maha Suci (Allah) yang ditanganNya kekuasaan atas segala sesuatu dan kepadaNya kamu dikembalikan." 
(Yasin: 83)

Dan pagi ini juga, saya terbaca satu artikel di dalam majalah Al-Ustaz: Fiqah Kulinari yang bertajuk 'Pahala Berterusan.' Apakah bekalan atau pahala yang mampu dan boleh kita bawa bila kita sudah tidak bernyawa lagi? Apakah hanya ada jalan tertentu sahaja yang mampu kita raih pahala? Bagaimana pula dengan saya yang belum dikurniakan zuriat? Apakah cara lain yang membolehkan saya untuk mendapat pahala jika ditakdirkan saya meninggal dahulu sebelum mempunyai zuriat.

Moga perkongsian artikel yang mahu saya kongsikan ini menjadi panduan saya dan anda untuk tidak mudah putus asa dalam meraih pahala buat bekalan akhirat kita.

Q: Semua manusia tahu bahawa kehidupan ini hanya sementara. Namun, tidak semua orang bersedia untuk menghadapi kematian.
A: Kehidupan manusia semuanya berakhir dengan kematian sekalipun memiliki umur yang panjang. Kematian ini akan memindahkan manusia dari alam fana ke alam kekal. Orang yang cerdik ialah orang yang meninggalkan berbagai-bagai kebaikan untuk menjadi bekalan dirinya di akhirat. Atas sebab ini, Nabi menenkankan supaya kita melakukan amalan yang berterusan menfaatnya selepas meninggal dunia.

Sabda Nabi, "Apabila seseorang itu meninggal dunia maka terputuslah amalannya kecuali 3 perkara. Sedekah jariah, ilmu yang dimanfaatkan dan anak yang soleh mendoakan untuknya." (Riwayat Muslim)

Dalam hadis ini, Baginda menganjurkan kita supaya mencari harta untuk kita melakukan wakaf yang pahalanya dapat kita peroleh secara berterusan walaupun telah meninggal dunia. Contohnya seperti mewakafkan tanah untuk pembinaan masjid, sekolah atau kemudahan-kemudahan yang lain bagi orang Islam.

Begitu juga Baginda menganjurkan supaya berkahwin agar meperoleh zuriat. Kemudian Allah memerintahkan ibu bapa mendidik anak-anak hasil perkahwinan tersebut dengan didikan yang mulia supaya menjadi anak yang mengenang jasa ibu bapa dan sentiasa mendoakan kebaikan mereka.

Baginda menganjurkan supaya menuntut ilmu yang bermanfaat dan menyampaikan ilmu sama ada dengan mengajar, menubuhkan institusi pengajian atau membuat kitab. Tujuannya agar ilmu tersebut tersebar serta ramai yang akan mendapat manfaatnya.

Rujukan: Dato' Hj. Ismail Kamus. Al-Ustaz Isu 22: Fiqah Kulinari. Telaga Biru. Kuala Lumpur.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...