Firman Allah: (لقد كان لكم في رسول الله أسوة حسنة) (maksudnya: Sesungguhnya bagi kamu pada Rasulullah itu contoh yang baik).
DENGAN NAMA ALLAH YANG MAHA PEMURAH LAGI MAHA PENGASIHANI

Jangan memandang yang muda itu tiada apa

Assalammualaikum semua...

Pagi ini saya nak kongsikan 1 kisah menarik tentang seorang lelaki muda yang pada pandangan umum atau orang yang lebih tua, tidak ada apa-apa atau ilmunya hanya sedikit sahaja berbanding orang yang umurnya lebih berusia (harus hapuskan pemikiran seperti ini kerana setiap orang ada kelebihan yang Allah berikan berbanding yang lain).

Allah mengurniakan Yahya bin Akstam al-Tamimi (w. 242H) fikiran yang cerdas pada usia mudanya. Beliau seorang remaja yang sangat cerdas melebihi ramai orang yang lebih tua daripadanya.

Imam adz-Dzahabi dalam Siyar A'lam an-Nubala' mengiktiraf beliausebagai pakar fiqah yang telah mencapai darjat Mujtahid. Kerana keilmuannya, Khalifah al-Makmum melantik Yahya bin Akstam menjadi Hakim Agama (Qadi) bagi kota Baghdad, ibu kota kerajaan Abbasiyah. Padahal usia beliau pada saat itu tidak lebih daripada 21 tahun. Semua wazir (menteri) kerajaan sering kali meminta nasihat sebelum melakukan sesuatu apa pun.

Suatu hari, seseorang berniat merendah-rendahkan Yahya kerana usianya. Manusia seperti ini selalu ada setiap masa. Ia tidak menilai orang kerana ilmunya akan tetapi kerana umurnya.

Di hadapan orang ramai, orang ini bertanya kepada Yahya, "Berapakah usia Tuan Hakim?"

Yahya bin Akstam sedar apa yang berada di sebalik soalan ini. Beliau menjawab, "Usiaku lebih tua daripada 'Attab bin Asid apabila Rasulullah s.a.w. melantiknya menjadi penguasa di Mekah. Usiaku lebih tua daripada Muadz bin Jabal apabila Rasulullah s.a.w. melantiknya menjadi qadi di Yaman. Dan usiaku lebih tua daripada Kaab bin Siwar apabila Umar al-Khattab mengangkatnya menjadi qadi di Basrah."

Jawapan ini membuat lelaki tersebut terbungkam.

Moral of the story untuk kisah ini, cuba belajar untuk tidak memandang rendah pada sesiapa pun hatta kanak-kanak kecil. Ini kerana ada ilmu yang mereka miliki tetapi tidak ada pada kita. Contoh lain juga boleh dilihat melalui pengkhususan kursus di universiti atau kolej atau maktab. Kenapa kita hanya pandai dalam bidang komputer tetapi tidak seni lukis atau pemasaran? Itu menunjukkan bahawa setiap orang memiliki ilmu yang sesuai untuk dirinya dan dimanfaatkan kepada orang lain. Maka, di sini akan berlakulah perkongsian ilmu dan tolong-menolong antara setiap insan dalam meneruskan kelangsungan hidup di dunia dan di akhirat.


Rujukan: Umar Muhammad Noor. 2014. Ikon Syabab. Telaga Biru Sdn Bhd. Kuala Lumpur.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...