Tekanan sama turut dirasai oleh wanita yang bergelar isteri tapi masih belum dikurniakan cahayamata. Bertahun-tahun mencuba, berikhtiar, mencari jalan sama ada moden mahupun tradisional tapi belum juga dikurniakan Allah dengan permata hati yang diingini. Hati kecil wanita akan mula terdetik, ‘Aku ini memang tak boleh mengandung ke? Aku ada masalah dalam badan yang aku tak tahu ke? Kami berdua normal tetapi kenapa sehingga kini tiada tanda aku mengandung?’ Soalan demi persoalan akan mula timbul mengganggu ketenteraman hidup. Bukan kita sahaja, pasangan kita turut tertanya-tanya dalam hati. Terutama jika sudah lebih 5 tahun bersama tapi masih tiada apa-apa.
Pada situasi begini, sebagai manusia, kita pasti risau dan tertanya-tanya. Kita boleh rasa apa sahaja sebab memang kita punya hati dan perasaan. Cuma jangan terlalu menanamkan pada diri kata-kata negatif yang menjatuhkan diri sendiri. Kata-kata negatif, prasangka tidak baik, menyalahkan pasangan mahupun Allah dan lebih teruk lagi menyalahkan diri sendiri akan kelemahan yang kita tidak pasti kebenarannya sangatlah tidak digalakkan. Ia perlahan-lahan akan memusnahkan diri sendiri dari banyak sudut. Belajarlah untuk melihat segalanya dari sudut positif, sangka baik pada Allah, tambah ilmu agama, pelajari sirah Rasul, Nabi, para sahabat serta tabi' tabiin dan kita perlu lihat kelebihan di masa hadapan yang bakal dikurniakan Allah. Apa yang telah lepas dilayan sangat.
Setiap doa yang kita bisikkan, setiap air mata dalam sujud malam dan solat, semuanya didengar dan dikira. Allah tidak pernah lupakan kita. Kita aje yang sering lupa. Allah sentiasa mendengar. Kadang-kadang kita rasa sepi itu satu hukuman, padahal ia mungkin satu ruang eksklusif yang Allah beri kepada hamba-Nya untuk lebih dekat dengan-Nya. Allah mahu dengar kita meluah segala dalam hati kepada-Nya. Allah mahu kita bersandar harapan padanya. Allah mahu kita bersangka baik banyak-banyak pada-Nya dan juga takdir yang diberikan. Orang selalu berkata, "Cakap memanglah mudah. Cuba letak diri dalam 'kasut' aku." Saya ada dalam situasi 'dalam kasut' itu. Saya sangat faham. Bertahun saya lalui kata perlian, sindiran, perlekehan. Tapi perlahan-lahan saya tahu, 'Ada sesuatu yang Allah mahu aku belajar".
Ada satu hadis Nabi s.a.w yang kita boleh sandarkan kasih sayang Allah ini terhadap hamba-Nya, kita.
Daripada Umar r.a, pernah suatu ketika Rasulullah s.a.w bersama pada sahabat, “Pernah sekumpulan tawanan dihadapkan kepada Rasulullah s.a.w. Ketika itu, ada seorang tawanan wanita berjalan dengan pantas, tiba-tiba dia menemui seorang bayi kecil (anaknya yang hilang) dalam kumpulan tawanan itu. Lalu, dia mendukung, memeluk dan menyusukannya. Maka, Rasulullah s.a.w bersabda, ‘Pada pandangan kalian, adakah wanita ini akan mencampakkan anaknya ke dalam api?’ Kami menjawab, ‘Tidak, demi Allah’. Baginda bersabda, ‘Allah lebih kasih terhadap para hamba-Nya melebihi wanita tersebut terhadap anaknya’.”
Daripada Umar r.a, pernah suatu ketika Rasulullah s.a.w bersama pada sahabat, “Pernah sekumpulan tawanan dihadapkan kepada Rasulullah s.a.w. Ketika itu, ada seorang tawanan wanita berjalan dengan pantas, tiba-tiba dia menemui seorang bayi kecil (anaknya yang hilang) dalam kumpulan tawanan itu. Lalu, dia mendukung, memeluk dan menyusukannya. Maka, Rasulullah s.a.w bersabda, ‘Pada pandangan kalian, adakah wanita ini akan mencampakkan anaknya ke dalam api?’ Kami menjawab, ‘Tidak, demi Allah’. Baginda bersabda, ‘Allah lebih kasih terhadap para hamba-Nya melebihi wanita tersebut terhadap anaknya’.”
(Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
2. Waktu yang Diberi Ini Bukan Sia-sia
Wanita berusia lebih 35 tahun membawa bersamanya pengalaman, kematangan dan kekuatan yang luar biasa. Ini adalah fasa untuk benar-benar mengenali diri, menyembuh luka lama, menguatkan diri, belajar perkara baru dan menumbuhkan rasa kasih sayang terhadap diri sendiri dan bukannya menyalahkan takdir.
Mungkin anda belum dihadirkan pasangan hidup mahupun zuriat penyeri hidup, tapi Allah sudah hadirkan banyak cinta dalam bentuk lain yang kadang-kadang kita terlepas pandang — keluarga, sahabat, kerjaya, kesihatan, rezeki, ilmu dan peluang untuk memberi. Bukankah itu semua layak disyukuri? Terlalu banyak pemberian-Nya yang tak mampu kita tulis, ucapkan dan berterima kasih.