Coxinha, kudapan Brazil yang sedap dan bahan mudah dapat di Malaysia


Assalammualaikum dan salam sejahtera. Kali ni saya nak ajak anda buat coxinha, sejenis kuih atau kudapan yang popular di Brazil. Coxinha ni bentuknya lebih kurang macam air mata atau tear drop atau kekadang orang kata macam peha ayam. Di dalam coxinha ni ada inti. Pertama, mesti ada keju (di Brazil mereka wajib guna keju catupiry tapi sebab di Malaysia takde, kita guna mozarella aje). Kedua, intinya boleh pilih nak letak ayam, daging atau sayur. Terpulang. 

Bahan untuk membuat coxinha ni rasanya semuanya ada di Malaysia kecuali keju catupiry. Jadi, anda bolehlah cuba buat. Tak susah mana. Jika anda buat dalam setengah kilo tepung pun boleh. Banyak boleh dapat jika saiznya tak berapa besar. Coxinha ni boleh dinikmati begitu sahaja atau cicah dengan sos, mayonis, molho rose (sos+mayo) atau sos lada limau. 

Coxinha Brazil dengan inti ayam dan keju

Saya ada bawa balik sikit coxinha yang frozen ke Ampang untuk family saya try makan. Sekali mama boleh tanya, "Kuih ni berapa ringgit?" Saya gelak ajelah sambil jawab, "Ma, kuih ni mana ada jual kat Malaysia. Ni kuih Brazil. Kena buat sendiri." Bila saya goreng coxinha ni, anak-anak adik saya suka rupanya. Mereka kata macam makan kentang dan rasanya sedap bila cicah sos. Seketul stengah jugalah mereka makan. Tapi mama dan abah tak berapa gemar. Tak kena dengan citarasa tekak depa. 

Ini saya kongsikan bahan-bahan dan cara penyediaan coxinha, makanan kesukaan rakyat Brazil (alah, lebih kurang macam karipap, cekodok atau donat yang orang kita suka makan). Bahan ni saya pecahkan kepada inti, doh dan cara menggoreng. Untuk adunan ini, anda boleh dapat dalam 12-15 coxinha. Bergantung pada saiz yang anda nak buat.


Bahan untuk inti ayam:
5-6 ketul ayam bahagian isi yang akan direbus, dicarik halus
1/2 biji bawang besar dipotong kasar untuk merebus ayam
3 ulas bawang putih untuk merebus ayam
1 biji bawang besar, dicincang halus
3 ulas bawang putih, dicincang kasar
2 biji kentang saiz besar
1 biji lobak merah
1 sudu kecil lada hitam
1 sudu kecil paprika
1 sudu kecil garam (atau ikut rasa)
2 liter air untuk merebus
1 biji tomato dipotong kasar
1 sudu besar daun bawang atau kucai dicincang halus (jika tiada tak apa)
3 sudu besar keju mozarella atau apa sahaja keju yang berlemak
2 sudu besar minyak untuk menumis inti

Bahan untuk doh:
2 cawan air rebusan ayam (guna air yang kita rebus untuk inti ayam)
2 cawan susu / air biasa
4 sudu besar mentega
1 sudu kecil garam
5 cawan tepung gandum

Bahan untuk menggoreng coxinha:
1 cawan bread crumbs
2 biji telur
3-4 cawan minyak masak (untuk deep fry)

Penyediaan:
1. Dalam periuk, masukkan ayam, kentang, lobak, bawang besar, bawang putih dan air. Rebus semuanya sehingga ayam dan kentang lembut. Lebih kurang dalam 15-20 minit dah siap. Kemudian, asingkan bahan dan air rebusan dalam 2 mangkuk berbeza. Air rebusan tu nak guna untuk masak doh kulit. 


2. Selepas daging ayam dah masak dan lembut, carik-carikkan halus ia. Kemudian, kentang yang lembut itu 3/4 daripadanya kita lenyekkan ia macam mashed potato. 1/4 tu kita biarkan untuk jadikan isi coxinha berketul. 

Bahan inti coxinha sebelum di masak dan dah siap direbus.

3. Panaskan minyak dalam kuali. Tumis bawang besar hingga layu, kemudian masukkan bawang putih. Setelah sedikit garing, masukkan isi ayam yang sudah dicarik halus. Gaul sebati. Masukkan pula lada hitam, paprika, tomato dan garam. 



4. Kacau hingga mesra dan kemudian masukkan SEPARUH dari kentang lenyak tu dalam kuali berserta dengan lobak dan kentang ketul (yang kita tak lenyek). Masukkan daun bawang atau kucai jika ada. Kacau mesra dan rasa. Jika tawar, tambah sedikit garam. Kacau mesra dan tutup api. Pindahkan ke dalam mangkuk besar dan biarkan ia sejuk sebentar. 

5. Untuk membuat doh pula, kita perlukan periuk yang sedikit besar sebab nak mengadun dalam periuk tu. Panaskan api dan masukkan mentega dan biarkan ia mencair. Kemudian, masukkan air rebusan ayam tadi dan susu. Kacau hingga sedikit mendidih dan masukkan tepung gandum dan kentang lenyek. Kacau sehingga semuanya sebati dan menjadi adunan kental. 

baki kentang lenyek masukkan dalam adunan doh juga.

tepung yang dimasak dalam air rebusan dan susu


6. Bila dah kental dan pejal, tutup api dan pindahkan atas pinggan besar tahan panas. Biarkan ia sejuk dalam 10 minit begitu dan kemudian uli atas table top. Uli sehingga ia pejal dan tak melekat di tangan. 


7. Setelah siap menguli, masukkan adunan besar tu dalam pinggan/mangkuk besar. Kemudian, kita cubit doh saiz coxinha yang kita nak buat (saya sarankan cubit tu besar skit sebab kita nak letak inti jadi mudah nak katup). Jadikan ia bulat dan kemudian leperkan. Untuk leper ni, jangan nipis sebab kita tidak mahu coxinha terkoyak bila isi dimasukkan dan proses membonjot muncungnya dilakukan. 

8. Selepas meleperkan doh, letakkan sedikit keju dahulu kemudian barulah letakkan inti yang digoreng tadi. Perlahan-lahan, anda katup doh seperti membuat dumpling dan jadikan ia muncung di atasnya (seperti bentuk air mata). 


9. Setelah siap satu, teruskan dengan baki doh dan inti yang ada. Boleh letak dalam pinggan atau bekas tertutup jika tak mahu goreng awal. 

Coxinha yang sudah siap intinya dan sedia untuk digoreng atau bekukan.

10. Untuk menggoreng coxinha, anda perlu goreng secara deep fry atau minyak terendam. Gunakan periuk kecil dan masukkan minyak menggoreng dalam ketinggian 1/3 periuk. Guna api sederhana. Sediakan breadcrumbs satu pinggan dan dalam mangkuk lain, sediakan telur yang dikocok. Setelah nampak minyak memanas, ambil sebiji coxinha dan salutkan dengan telur dan kemudian sadurkan dengan breadcrumbs. hingga menutupinya. 


11. Goreng coxinha dalam satu periuk dalam 2-3 biji aje. Jangan banyak. Golek-golekkan ia agar masak sekata. Setelah masak, angkat dan toskan atas relai atau mangkuk berjaring. Kemudian, goreng baki coxinha yang ingin digoreng. Siap aje goreng semua, bolehlah menikmati coxinha Brazil begitu sahaja atau dicicahkan dengan sos pilihan. 

Coxinha perlu digoreng terendam


Coxinha yang enak dimakan panas-panas


Tiada ulasan:

Catat Ulasan