Isnin, 30 September 2024

Sotong goreng tepung rangup macam kat Kuala Perlis


Assalammualaikum dan salam sejahtera. Sejak balik dari Kuala perlis 2 tahun lepas, suami saya kalau pergi kedai makan, kekadang dia akan request sotong goreng tepung. Tapi jika tak sama, dia macam frust. Katanya, sotong goreng tepun Kuala Perlis memang sedap. Nombor satu dalam ranking dia. Katanya, "enak ratah gitu aje. Macam makan ayam goreng."

Entah macam mana, rezeki saya terjumpa Tiktok Chef Crack. Saya save resipi tu. Dan bila ada masa baru ni, saya cuba buat. Alhamdulillah sedap. Rangup. Kadar letupan sotong tu pun kurang (teringat masa muda dulu saya masak sotong goreng tepung di rumah sedara di Labuan, meletup-letup sotong tu dalam kuali. Terjerit-jerit saya. Hahaha...)

Jadinya, ini bahan sotong goreng tepung Chef Crack yang anda boleh cuba. Hopefully anda suka juga menu makanan laut ni.

Bahan:
300gm sotong (cuci dan potong ikut saiz kesukaan)
Garam
1 sudu kecil baking powder.
Bahan Perap:
1 biji telur
1 cawan tepung gandum
1/2 cawan tepung jagung
Lasa sulah
1/2 sudu kecil serbuk kunyit
1/2 sudu kecil serbuk cili
Garam
Air sejuk

Bahan tepung kering:
1 cawan tepung gandum
1 cawan tepung jagung

1/2 sudu kecil serbuk kunyit
1/2 sudu kecil serbuk cili
Garam

Penyediaan:

1. Perap sebentar sotong dengan garam dan baking powder dalam 15 minit. Selepas itu, basuh dan toskan hingga kering.
2. Campur bahan basah dalam satu mangkuk dan adunan jangan cair sangat. Masukkan sotong. Gaul dan perap dalam peti ais sebentar dalam 10 minit.
3. Masukkan bahan kering dalam satu mangkuk. Masukkan minyak menggoreng dalam kuali dengan guna api sederhana. Keluarkan sotong diperap.
4. Setelah minyak panas, masukkan sotong diperap tadi dalam adunan kering dan sadurkannya. Masukkan dalam minyak panas dan goreng sehingga keemasan. Setelah masak, angkat dan toskan. Selesaikan baki menggoreng sotong yang lain sehingga habis.

Jumaat, 27 September 2024

Spicy pasta dengan ayam dan fishcake, menu diet bila rasa kena diet


Assalammualaikum dan salam sejahtera. Kali ni saya cuba resipi spicy pasta baru dari Tiktok. Oleh kerana suami saya sedikit tidak sihat dan doktor sarankan dia turunkan sedikit berat badan, makanya, gigih saya cari dan cuba kembali resipi baru yang sesuai untuk kami. Beberapa menu pasta saya cari dan cuba.

Resipi asalnya guna pasta linguine tapi dek kerana rumah saya ada spaghetti, maka saya buat spaghetti pedas lah. Senang. Jika anda nak guna pasta lain seperti, angel hair, tagliatelle, fettuccini, penne atau rigatoni, boleh aje. Janji pasta. Ini resipinya anda boleh cuba.

Bahan:
1/2 bungkus spaghetti direbus al dante
3 sudu besar minyak zaitun
2 ulas bawang putih
5 batang daun parsli (asingkan batang & daun)
2 sudu besar chili flakes
1 sudu kecil pati ikan bilis/ 1/2 kiub pati ikan bilis
1 cawan air rebusan pasta
2 keping fishcake
2 keping dada ayam
Garam secukup rasa

Penyediaan:
1. Panaskan kuali & letakkan minyak zaitun. Setelah panas, masukkan bawang putih & batang daun parsli. Kacau sebentar.
2. Masukkan chili flakes & pati ikan bilis ke dalam kuali. Tumis sebentar. Kacau dan masukkan pula air rebusan pasta dan isi ayam. Kacau & biarkan mereneh.
3. Masukkan pula pasta, fishcake, daun parsli dan garam secukup rasa. Kacau. Jika rasa nak pedas lagi, boleh tambah chili flakes. Gaul mesra & siap untuk dihidang serta dinikmati bersama tersayang.

Rabu, 25 September 2024

Salad buah-buahan, kudapan sihat tak kira masa


Assalammualaikum dan salam sejahtera. Menu kudapan sihat paling mudah. Letak apa sahaja buah-buahan yang anda suka. Letakkan juga sedikit madu. Salad buah-buahan paling sesuai dan sihat untuk seisi keluarga.

Bahan:
1 biji buah limau sunskist
1 biji buah epal merah
1 biji buah pear
12 biji buah anggur hijau
2 tangkai daun pudina
2 sudu besar madu lebah

Penyediaan:
1. Potong buah-buahan saiz kiub. Masukkan dalam bekas besar. Masukkan beberapa helai daun pudina. Gaul mesra. 'Drizzle' madu lebah atas buah-buahan. Siap untuk dinikmati.

Selasa, 24 September 2024

Menu sihat termudah, sup sayur campur campak apa suka


 Assalammualaikum dan salam sejahtera. Menu sup sayur campur selalunya adalah menu termudah apabila menjamu keluarga dan tetamu. Menu sayur ini boleh dimakan bukan sahaja dengan nasi tetapi juga dengan bihun, mi ataupun pasta.

Untuk pilihan sayurnya, terpulang kepada individu mahu masukkan apa. Jika anda suka ayam atau makanan laut, boleh juga diletakkan sekali di dalamnya. Pada saya, boleh aje letak semua jenis sayur yang ada dalam peti sejuk. Untuk minyak memasak, anda boleh pilih sama ada ingin guna minyak kelapa sawit, minyak jagung ataupun minyak zaitun. Terpulang kepada diri masing-masing. Cuma versi saya, saya masak guna minyak zaitun sebab kuantiti yang digunakan tidak sebanyak mana. Kiranya ini menu sihat saya untuk keluarga.

Bahan:
1/2 biji bawang besar dihiris
2 ulas bawang putih dihiris/dadu
1 batang lobak merah dipotong bulat
2 batang saderi potong serong
5 jambak sawi batang pendek asingkan sayur dan batangnya
1 biji tauhu goreng dipotong dadu
8 biji fish ball
3 urat daun bawang
1 cawan cendawan
1 kiub pati ikan bilis
10 biji tomato kecil
Sedikit cili padi
3 sudu minyak zaitun
1 1/2 liter air
Garam secukup rasa


Penyediaan:
1. Panaskan minyak zaitun dalam periuk. Setelah panas, tumis bawang besar dan bawang putih. Setelah naik bau, masukkan lobak merah. Masukkan 1 liter air. Masak sehingga air mendidih beberapa minit.
2. Setelah mendidih, masukkan batang saderi. Kacau sebentar dan masukkan pula batang sawi dan kiub pati ikan bilis. Biarkan sayur sedikit lembut dan kacau sekali sekala.
3. Masukkan pula tauhu, bebola ikan, cili padi, sawi dan baki 1/2 liter air. Kacau sebentar dan masukkan daun sup, cendawan dan perasakan dengan sedikit garam.
4. Setelah mendidih, masukkan tomato. Kacau dan tutup api. Sedia untuk dihidang sup sayur campur kita.

Ahad, 22 September 2024

Gulai lemak rebung madu dengan udang, resipi mudah semua suka


 Assalammualaikum dan salam sejahtera. Menu kampung gulai lemak rebung madu dengan udang ini buat suami saya bertambah nasi bila makan. Jarang dia suka lauk kampung sayur dan udang ni.

Saya memang suka gulai rebung. Jika makan di luar, jika kedai nasi campur tu ada lauk rebung, pasti saya amik (jika nampak tempting). Dan rezeki kali ni, bila ke pasar, jumpa rebung putih. Kata abang koboi (abg yg jual sayur kampung ni suka pakai topi koboi), rebung ni tak bau dan elok sangat. Nak makan gitu aje pun boleh. Yang jenis putih ni bermusim.

So, apalagi, terus beli 2 pek. Masak untuk buka puasa dua family. Resipi mudah ini saya ambil di web @matgebu . Sedap kejadiannya bila dah masak.

Bahan:
800 gram rebung
200gm udang
2 batang serai, dititik
1 helai daun kunyit, disiat
1 keping asam keping
500 liter air
300 ml pati santan
Garam & gula secukup rasa

Bahan kisar halus:
4 biji cili merah
2 inci kunyit hidup
6 biji bawang merah
2 ulas bawang putih


Penyediaan:
1. Rebung dicuci dan direbus dalam air mendidih yang dimasukkan sedikit garam. Rebus hingga rebung lembut, dan kemudian toskan. Udang digunting muncung tajamnya.
2. Masukkan rebung dan serai dalam periuk. Tambah bahan kisar halus dan kacau. Tuang air hingga rebung tenggelam dan masak hingga mendidih. Masukkan asam keping dan daun kunyit. Masukkan udang, kacau dan masak hingga udang berubah warna.3
3. Tuangkan santan, kacau hingga rata dengan api sederhana. Masukkan garam secukup rasa. Kacau sebentar. Tutup api dan siap untuk dihidang.

Jumaat, 20 September 2024

Pakora, kudapan masyarakat dari Pakistan dan India yang popular di Malaysia


 Assalammualaikum dan salam sejahtera. Pakora 

Pakora atau pakoda, jemput-jemput resipi dari India. Ada negara panggil pakora, ada juga yang panggilnya pakoda. Apapun, ia benda yang sama. Aroma bau rempah ratus memang semerbak satu rumah bila menggoreng. Mama di tingkat atas pun bila turun terus excited nak makan. Jika anda nak letak daun ketumbar, kobis, daun kari, boleh aje.

Bahan:
1 cawan tepung kacang kuda (gram flour)
1/2 cawan tepung beras
1 biji kentang dihiris memanjang
1/2 batang lobak merah dihiris panjang
1 mangkuk kecil bayam yang dipotong kasar
1 biji bawang besar dihiris
1 batang cili merah dihiris
1 batang cili hijau dihiris
2 biji bawang putih + 2 inci halia, ditumbuk lumat
1 sudu kecil ketumbar + jintan manis, ditumbuk
1/2 sudu kecil serbuk kari
1/4 sudu kecil serbuk kunyit
1/2 sudu kecil garam
1 biji telur
3/4 cawan air (kepekatan sederhana)
Minyak untuk menggoreng



Penyediaan:
1. Dalam mangkuk besar, masukkan semua bahan yang dipotong dan ditumbuk. Masukkan air. Gaul dan buat adunan yang tak cair dan tak pekat sangat.
2. Panaskan minyak dengan api sederhana. Bila minyak panas, guna sudu besar, gaul adunan sebentar dan masukkan sesudu campuran tadi ke dalam minyak. Sekali goreng, masukkan dalam 4-5 sudu sahaja campuran bahan tadi.
3. Goreng pakora hingga nampak garing kedua-dua belah bahagian. Setelah masak, angkat dan toskan. Goreng hingga habis adunan. Pakora enak dimakan dengan sos, chatney pudina atau begitu sahaja.

Khamis, 19 September 2024

Gulai lemak labu dan bayam, kombinasi naikkan selera makan orang tua


Assalammualaikum dan salam sejahtera. Menu gulai lemak labu selalunya disukai oleh orang tua kebanyakkannya. Mereka suka kerana bila makan dengan nasi, labu itu sendiri sudah lembut dan tak perlu susah mengunyah. Gigi masing-masing udah tak kuat dan gusi pun tak boleh kunyah benda keras, jadinya, labu antara sayur yang mudah untuk kunyah dan hadam.

Mama suka gulai labu. Tapi dek kerana sejak dia banyak makan ubat dan kurang selera makan, dia cuma boleh makan seketul dua aje. Jika anda ada menjaga orang tua, boleh cuba menu ini untuk bantu mereka ada selera sedikit untuk makan. Ada labu dan ada bayam.

Bahan:
1 biji labu saiz kecil. Potong ikut saiz diingini.
1/2 ikat bayam di cuci bersih
4 ulas bawang merah
12 tangkai cili padi
1 inci kunyit
1 tangkai cili merah
1 kotak kecil santan
1 helai daun kunyit
2 cawan air
Garam secukup rasa

Penyediaan:
1. Kisar bawang merah, cili padi dan kunyit dengan 1 cawan air hingga lumat. Masukkan dalam kuali bersama dengan labu. Masak hingga separuh lembut.
2. Masukkan daun kunyit, bayam cili merah dan santan serta 1 cawan air. Masak dan kacau selalj hingga mendidih. Masukkan garam secukup rasa. Kacau sebentar dan siap.

Laksa asam, resipi mertua yang mampu tambah bermangkuk bila hadap


 Assalammualaikum dan salam sejahtera. Lama tak update blog. Password asyik lupa aje lepas kena hacked dulu. Syukur harini dapat masuk balik. Oh ya, jika nak tengok resipi lain, buku best, boleh ke website saya, www.alfimohd.com. Separuh resipi yang ada di sini saya letakkan di sana juga :)

Selepas 5 bulan tak bersiaran, ini saya sharekan resipi feveret keluarga mertua. Family suami mostly suka laksa asam. Sementelah ayah mertua orang utara. Ini resipinya.

Bahan kuah:
1 tin ikan sardin
7 keping asam gelugor
1 kuntum bunga kantan, dibelah 4
1 genggam daun kesom
1 batang serai, diketuk
1 liter air
Garam dan gula secukup rasa

Bahan kisar halus:
2 biji bawang besar
5 biji bawang merah kecil
1 inci belacan
5 batang cili merah
1 liter air

Bahan lain untuk laksa:
1 pek laksa kering yang direbus
5 biji telur rebus
1 batang timun diracik
1 biji bawang besar didadu/dihiris
1 tangkai cili merah dihiris
6 helai daun salad dipotong kasar
5 biji limau kasturi dibelah dua

Penyediaan:
1. Sediakan periuk dan masukkan bahan-bahan kisar halus, serai & asam gelugor. Kacau rata dan masak hingga mendidih.
2. Masukkan sardin tin dan air dalam pengisar. Kisar hingga halus. Kemudian, masukkan isi ikan, daun kesom & bunga kantan ke dalam periuk tadi. Kacau rata & biarkan mendidih pada api sederhana selama lebih kurang 15 minit.
3. Perasakan dengan garam secukupnya dan sedikit gula. Masak sekejap & rasa, jika ok dan masukkan laksa dalam mangkuk dan ceduk kuahnya. Hidangkan bersama bahan sampingan lain.